Oleh Mohd Shahrizal Nasir

Dalam kehidupan ini pelbagai perkara dilihat sebagai kejayaan mengikut kaca mata insan. Seseorang dikira berjaya apabila mendapat keputusan dalam peperiksaan dengan sejumlah A yang diperoleh. Ada juga orang mendapat kejayaan kerana dinobatkan sebagai tokoh tertentu dalam bidang yang diceburinya. Tidak kurang juga yang merasakan bahawa mendapat pekerjaan yang bagus sebagai satu kejayaan dalam hidup.

Semua jenis kejayaan tersebut merupakan perkara yang diharuskan dalam Islam. Manusia diberi peluang untuk mencipta kejayaan dalam hidup asalkan semua perkara tersebut tidak bertentangan dengan ketetapan Allah SWT. Malah Allah SWT mengingatkan manusia agar tidak melupakan keperluan untuk mencapai kejayaan di dunia.

Allah SWT berfirman dalam al-Quran bermaksud: "Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan Hari Akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia..." (Surah al-Qasas, ayat 77)

Meskipun manusia diberi peluang untuk mencipta kejayaan di dunia sehingga mereka mencapainya, Allah SWT turut menjelaskan tentang kejayaan di akhirat. Malah Allah SWT telah merakamkan perkataan al-fawz al-'azim dalam al-Quran yang merujuk makna 'kejayaan yang amat besar'. Sesungguhnya tiada bandingan antara kejayaan ciptaan manusia di dunia dengan kejayaan yang disediakan oleh Allah SWT untuk para hamba-Nya yang memenuhi kriteria ditetapkan.

Antara golongan yang mendapat kejayaan yang amat besar ialah mereka yang beriman kepada Allah SWT dan Rasul-Nya. Golongan ini patuh dan tunduk dengan ketetapan Allah SWT termasuk berkaitan urusan berkaitan pembahagian harta pusaka. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui setiap perkara yang terbaik untuk manusia bagi mengurus kehidupan mereka di dunia ini.

Allah SWT berfirman maksudnya: "Segala hukum yang tersebut adalah batas-batas (syariat) Allah. Dan sesiapa yang taat kepada Allah dan Rasul-Nya, akan dimasukkan oleh Allah ke dalam syurga yang mengalir dari bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya; dan itulah kejayaan yang amat besar." (Surah an-Nisa', ayat 13)

Golongan yang sentiasa melakukan perbuatan yang benar termasuk berkata benar juga antara golongan yang akan dimasukkan ke dalam syurga. Kejayaan mereka yang sentiasa memilih untuk menjadi orang yang berada di atas jalan kebenaran menjadi sebab mereka dimasukkan ke dalam syurga dan mengecapi kejayaan yang amat besar.

Ini dijelaskan oleh Allah SWT menerusi firman-Nya bermaksud: Allah berfirman: "Inilah hari (kiamat) yang (padanya) orang yang benar (pada tutur kata dan amal perbuatan) mendapat manfaat daripada kebenaran mereka; mereka beroleh syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya. Allah reda akan mereka dan mereka pula reda akan Dia (Allah). Itulah kejayaan yang amat besar." (Surah al-Ma'idah, ayat 119)

Orang Muhajirin dan Ansar yang hidup bersama Rasulullah SAW dengan mereka berkorban jiwa dan raga untuk memastikan Islam tertegak di atas dunia ini juga antara golongan yang mendapat kejayaan yang amat besar. Kesusahan dan penderitaan yang ditanggung oleh mereka dibalas dengan ganjaran syurga yang mengalir di bawahnya banyak sungai.

"Dan orang yang terdahulu mula-mula (berhijrah dan memberi bantuan) daripada orang Muhajirin dan Ansar dan orang yang menurut (jejak langkah) mereka dengan kebaikan (iman dan taat), Allah reda akan mereka dan mereka pula reda akan Dia serta Dia menyediakan untuk mereka syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya; itulah kejayaan yang amat besar." (Surah at-Taubah, ayat 100)

Manusia tidak boleh sekadar mengakui beriman kepada Allah SWT tanpa melakukan amalan soleh. Keimanan kepada Allah SWT mesti dibuktikan dengan pelaksanaan amal soleh bagi membuktikan keimanannya. Bagi golongan yang beriman dan beramal soleh, maka Allah SWT akan mengampuni segala dosa kesalahan yang pernah dilakukan. Ini kerana setiap manusia tidak akan terlepas daripada melakukan kesilapan dan hanya Rasulullah SAW sahaja yang terpelihara daripada sebarang dosa.

Rasulullah SAW bersabda yang mafhumnya: "Kesemua anak Adam itu melakukan kesilapan, dan sebaik-baik orang yang melakukan kesilapan itu adalah mereka yang bertaubat." (Hadis riwayat Ibn Majah)

Allah SWT menjelaskan perihal golongan yang beriman dan beramal soleh akan mendapat keampunan-Nya dan akan diberi kejayaan yang amat besar. "(Ingatkanlah) masa Allah menghimpunkan kamu pada hari perhimpunan (untuk menerima balasan), itulah hari masing-masing nampak kerugiannya. Dan (ingatlah), sesiapa yang beriman kepada Allah serta mengerjakan amal soleh, nescaya Allah mengampunkan dosa-dosanya dan memasukkannya ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya; yang demikian itulah kejayaan yang amat besar." (Surah at-Taghabun, ayat 9)

Orang  beriman daripada kalangan lelaki mahupun perempuan akan mendapat kejayaan yang amat besar di akhirat nanti. Hal ini adalah janji Allah SWT yang dimaktubkan dalam al-Quran dan sesungguhnya Dia tidak akan sekali-kali memungkiri janji-Nya. Tidak ada beza antara lelaki dan perempuan di sisi Allah SWT asalkan masing-masing beriman kepada-Nya.

Firman Allah SWT bermaksud: "Allah menjanjikan orang yang beriman, lelaki dan perempuan, (akan beroleh) syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; mereka kekal di dalamnya dan beroleh tempat-tempat yang baik di dalam Syurga 'Ad serta keredaan daripada Allah yang lebih besar kemuliaannya; (balasan) yang demikian itulah kejayaan yang amat besar." (Surah at-Taubah, ayat 72)

Pada ayat yang lain, Allah SWT menjelaskan kejayaan yang akan dikecapi oleh golongan lelaki dan perempuan yang beriman dengan firman-Nya: "(Ingatlah) ketika engkau melihat (pada hari kiamat); orang yang beriman, lelaki dan perempuan, cahaya (iman dan amal soleh) mereka bergerak cepat di hadapan mereka dan di sebelah kanan mereka (semasa mereka berjalan serta dikatakan kepada mereka): Berita yang mengembirakan kamu pada hari ini, (kamu akan beroleh) syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, kekal kamu di dalamnya; yang demikian itu adalah kejayaan yang amat besar." (Surah al-Hadid, ayat 12)

Berdasarkan kesemua ayat-ayat Allah SWT yang menyatakan tentang al-fawz al-'azim iaitu kejayaan yang amat besar, jelaslah bahawa yang dimaksudkan dengan kejayaan tersebut ialah ganjaran syurga oleh-Nya. Allah SWT menyediakan syurga sebagai satu tempat untuk mengiktiraf kejayaan hamba-Nya yang taat ketika hidup di dunia. Golongan yang mendapat kejayaan yang amat besar tersebut akan kekal berada dalam syurga dengan menikmati segala nikmat kurniaan-Nya. Allah SWT reda kepada mereka dan mereka juga reda terhadap segala ketentuan baik daripada Allah SWT untuk mereka.

Penulis Pensyarah Pusat Pengajian Bahasa Arab, Fakulti Bahasa Dan Komunikasi,  Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 January 2022 @ 6:00 AM