GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Mohd Shahrizal Nasir

KETIKA ini tiada siapa yang dapat melihat syurga. Ia dalam pengetahuan Allah SWT namun gambarannya termaktub dalam al-Quran.

Manusia tidak mendapat keistimewaan berada di dalam syurga lagi kerana ketentuannya akan berlaku pada satu masa selepas mereka meninggalkan dunia ini.

Meskipun syurga termasuk dalam perkara ghaib, Allah SWT tetap menjelaskan kenikmatan syurga dalam al-Quran.

Gambaran itu bertujuan memotivasikan manusia supaya terus mencari keredaan Allah SWT.

Bacalah al-Quran dengan memahami maknanya termasuk ayat berkaitan keindahan syurga Allah SWT yang disediakan buat hamba-Nya yang beriman.

 Mulakan tadabbur al-Quran dengan membaca terjemahan ayat al-Quran dalam bahasa Melayu.

 Kehidupan di dunia ini hanya bersifat sementara untuk mengumpul sebanyak mungkin kebaikan bagi melayakkan diri mendapat rahmat dan kasih sayang Allah SWT.

Amalan yang dilakukan manusia belum tentu melayakkan dirinya mendapat syurga kerana segalanya bergantung kepada rahmat-Nya.

Persoalannya, sejauh mana manusia menginginkan syurga Allah SWT? Allah SWT menjelaskan perihal syurga menerusi firman-Nya yang bermaksud: “Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amalan yang baik untuk mendapat) keampunan daripada Tuhan kamu, dan (mendapat) syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan untuk orang yang bertakwa.” (Surah Ali Imran, ayat 133)

Imam al-Qurtubi menjelaskan ayat itu dalam Al-Jami’ li Ahkam al-Quran, katanya: “Para ulama menjelaskan bahawa syurga telah tercipta dan telah ada sekarang.

‘Berdasarkan firman Allah SWT: “…yang disediakan untuk orang yang bertakwa.” Dan keyakinan seperti itu telah ada keterangan secara jelas dalam hadis yang menceritakan tentang Israk. Baik yang terdapat dalam Sahihayn (Sahih al-Bukhari dan Shahih Muslim) mahupun kitab hadis lainnya.’”

Ayat itu memberi kefahaman, syurga Allah SWT sudah ada ketika ini dengan segala kenikmatan disediakan Allah SWT untuk para hamba-Nya yang berjaya.

 Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya syurga terdiri daripada seratus tingkat, jarak antara dua tingkatnya seperti jarak antara langit dan bumi, Allah menyediakannya untuk orang yang berjihad pada jalan-Nya.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

 Kadangkala mulut manusia mengatakan dirinya inginkan syurga namun perbuatan yang dilakukannya tidak mencerminkan apa yang diucapkan lidahnya.

Dalam Surah ar-Rahman, Allah SWT menyatakan keadaan syurga dengan cukup jelas. Antaranya, menerusi firman-Nya bermaksud: “Pada kedua-dua syurga itu terdapat dua mata air yang mengalir.” (Surah ar-Rahman, ayat 50)

Kemudian firman Allah SWT bermaksud: “Pada kedua-dua syurga itu terdapat dua macam daripada tiap-tiap jenis buah-buahan (yang biasa dan yang luar biasa).” (Surah ar-Rahman, ayat 52)

 Firman Allah SWT pada ayat seterusnya bermaksud: “Mereka (ahli syurga bersenang-senang di tempat masing-masing dalam syurga itu dengan) berbaring di atas hamparan-hamparan, yang lapisan-lapisan sebelah dalamnya daripada sutera tebal yang bersulam, dan buah-buahan kedua-dua syurga itu dekat (kepada mereka) untuk dipetik.” (Surah ar-Rahman, ayat 54)

Pada ayat 56 surah ar-Rahman pula, Allah SWT menjelaskan mengenai bidadari syurga: “Di dalam syurga-syurga itu terdapat para bidadari yang pandangannya tertumpu (kepada mereka semata-mata), yang tidak pernah disentuh sebelum mereka oleh manusia dan jin.”

Rasulullah SAW juga menjelaskan mengenai syurga dalam sabdanya yang bermaksud: “Sesungguhnya roh orang Mukmin itu adalah burung yang bergantung pada pohon syurga. Hingga Allah mengembalikan roh itu ke badannya pada hari kiamat nanti.” (Hadis riwayat Ahmad)

Begitulah kehebatan Allah SWT menciptakan syurga dengan segala kenikmatan luar biasa untuk hamba-Nya yang taat.

 Semua gambaran syurga pada ayat al-Quran dan hadis itu perlu dihayati supaya ia dapat memotivasikan diri untuk menggandakan amal ibadat.

 Sekiranya masih ada lagi umat Islam terpesona dengan kenikmatan dunia, maknanya dia belum memahami hakikat kenikmatan syurga Allah SWT.

Semua manusia layak mendapat ganjaran syurga asalkan setiap perintah Allah SWT dipatuhi dengan kesedaran bahawa kehidupan di dunia adalah untuk bercucuk tanam bagi meraih hasilnya dengan ganjaran syurga nanti.

Penulis pensyarah Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Terengganu

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Julai 2019 @ 8:43 AM