SELAIN dapat menghapuskan dosa, istighfar dan mengucapkan tahmid juga dapat mendatangkan rezeki yang murah.
SELAIN dapat menghapuskan dosa, istighfar dan mengucapkan tahmid juga dapat mendatangkan rezeki yang murah.
Prof Madya Dr Azlan Shaiful Baharum

PERSEPSI  manusia  terhadap  rezeki  pelbagai. Manusia  seringkali  melihat  rezeki  hanya  dari  material  saja.  Pada hal  masih banyak  jenis  rezeki  yang  dapat  kita  rasakan,  seperti  keluarga yang  bahagia,  rakan-rakan  yang  baik,  persekitaran  yang  menyegarkan  dan  sebagainya.  Ada  segelintir  manusia  yang  merasakan  sumber  rezeki  hanya  hasil  kerja  keras  dan  usahanya  saja.  Sedangkan  Allah SWT  telah  menyediakan pelbagai  jalan  menuju  rezeki  yang  telah  disebutkan  dalam  al-Quran.  Rezeki,  jodoh, dan  kematian  sudah  ditakdirkan  oleh Allah SWT, dan  akan  tetap  menjadi  rahsia-Nya. Oleh  sebab itu,  sebagai  manusia  kita  wajib  berusaha  untuk  mendapatkan rezeki  tersebut.  Selain  itu,  ia  mesti  diiringi  dengan  doa  yang  sebaik-baiknya  kepada  Allah SWT.  Selebihnya,  kita  serahkan pada  takdir  dan  ketentuan  Allah SWT.

Rezeki  yang telah  terjamin

Sebagai  manusia  di  muka  bumi  yang  diberikan  akal  dan  fikiran  oleh Allah SWT,  hendaklah  memanfaatkan  nikmat tersebut  dalam  mencari  rezeki.  Ini  kerana Allah SWT  telah menjamin  rezeki  seseorang  sejak  mulai  dari  kandungan ibunya  lagi.  Firman  Allah  SWT  dalam  Surah  Hud  ayat 6 maksudnya:  "Dan  tiadalah  sesuatu pun  dari  makhluk-makhluk  yang  bergerak  di  bumi  melainkan  Allah  jugalah  yang  menetapkan rezekinya  dan  mengetahui  tempat  kediamannya  dan  tempat  ia disimpan.  Semuanya  itu  tersurat  di  dalam  Kitab (Lauh mahfuz) yang  nyata  (kepada  malaikat-malaikat  yang  berkenaan)."

 

Rezeki  asbab usaha  individu

Sumber  rezeki  kedua  adalah  dari  hasil usaha  manusia. Allah SWT tidak  akan  menutup  rezeki  bagi  umatnya  yang  telah bersungguh-sungguh  berusaha  serta  berdoa  demi  mendapatkan  rezeki  dari-Nya. Dan Allah  akan  memberikan yang  setimpal  dengan a apa  yang  telah  diusahakan.  Firman Allah  dalam  Surah  An-Najm  ayat 39 maksudnya:  "Dan  sesungguhnya tidak  ada  (balasan)  bagi  seseorang  melainkan  (balasan)  apa yang  diusahakannya."

 

Rezeki  asbab  bersyukur

Sebanyak  mana  rezeki  yang  kita  peroleh,  hendaklah  kita sentiasa  mensyukurinya.  Ini  kerana  dengan banyak bersyukur, Allah  akan  menambahkan  nikmat  itu  berkali ganda  kepada kita.  Dijelaskan  dalam  firman  Allah  Surah  Ibrahim  ayat 7 maksudnya:  "Demi  sesungguhnya! Jika  kamu  bersyukur  niscaya  Aku  akan  tambahi  nikmatKu  kepada kamu, dan demi  sesungguhnya,  jika  kamu  kufur  ingkar sesungguhnya  azab-Ku  amatlah  keras."

 

Rezeki  tidak  terduga

Selanjutnya  rezeki  yang  tidak  terduga.  Pernahkah  kita mendapat  sesuatu  rezeki  yang  tak  terduga  dari  seseorang,  seperti  hadiah,  pakaian  atau  makanan  atau  benda-benda  lain?  Sudah  tentu  itu  juga  dinamakan  rezeki.  Tidak  semesetinya wang ringgit  semata-mata. Jika  seseorang  beriman  dan  bertakwa  pada Allah  SWT,  maka  hal  yang  tidak  diduga ini akan  mudah  untuk  diperoleh.  Firman  Allah  dalam  Surah  At-Talaaq  ayat  2-3 maksudnya:  "Sesiapa  yang  bertakwa  kepada  Allah,  nescaya  Dia  akan  menjadikan  baginya  jalan  keluar  dan  memberinya  rezeki  dari  arah  yang  tidak  disangka-sangkanya." 

Rezeki  asbab istighfar

Selain  dapat  menghapuskan  dosa, istighfar  dan  mengucapkan tahmid  juga  dapat  mendatangkan  rezeki  yang  murah  dan  tidak disangka-sangka.  Firman  Allah  dalam  Surah  Nuh  ayat  10-11 maksudnya:  "Beristighfarlah  kepada  Tuhanmu,  sesungguhnya  Dia adalah Maha  Pengampun,  pasti  Dia  akan  mengirimkan  hujan kepadamu  dengan lebat dan  memperbanyak  harta."

Rezeki asbab berkahwin

Berkahwin  juga  termasuk  salah  satu  sumber  rezeki  untuk seseorang. Oleh  yang  demikian,  janganlah  takut  untuk berkahwin, kerana Allah  telah  berjanji  dalam  Surah  An-Nur  ayat  32 maksudnya:  "Dan  kawinkanlah  orang-orang  bujang  (lelaki  dan  perempuan)  dari  kalangan  kamu dan orang-orang yang  saleh dari  hamba-hamba kamu,  lelaki  dan  perempuan. Jika  mereka miskin, Allah  akan  memberikan  kekayaan  kepada  mereka  dari limpah  karunia-Nya  karena  Allah  Maha  Luas (rahmat-Nya dan  limpah  karunia-Nya),  lagi Maha  Mengetahui."

Rezeki  asbab  kelahiran zuriat

Kebiasaannya  salah  satu  alasan  seseorang  takut  untuk berkahwin  kerana  takut  tidak  dapat  memberikan  nafkah kepada  pasangannya  dan  anaknya.  Bahkan  keadaan  itu menyebabkan mereka  bimbang  untuk  memiliki  zuriat  sendiri.  Sedangkan  anak  ialah  salah  satu  sumber  rezeki  bagi  ibu bapanya.  Firman  Allah  dalam  Surah  Al-Isra`  ayat  31 maksudnya:  "Dan  janganlah kamu  membunuh  anak-anak mu  karena  takut miskin. Kamilah yang  akan  menanggung  rezeki  mereka  dan juga (rezeki)  bagimu."

 

Rezeki  asbab kerap  bersedekah

Yakinlah  bahawa  limpahan  rezeki  akan  datang melalui  amalan bersedekah. Hal  ini  tercatat  dalam  Surah  Al-Baqarah  ayat 245 maksudnya:  "Siapakah  orangnya  yang (mahu)  memberikan  pinjaman kepada  Allah  sebagai  pinjaman  yang  baik  (yang  ikhlas)  supaya  Allah  melipatgandakan  balasannya  dengan  berganda-ganda  banyaknya? Dan (ingatlah), Allah  jualah  Yang  menyempit  dan Yang  meluaskan  (pemberian  rezeki) dan  kepada-Nyalah  kamu  semua  dikembalikan."
 Oleh  sebab  itu,  janganlah  takut  untuk  tidak  dikurniakan  rezeki, kerana  rezeki akan  datang  dari  pelbagai  sumber  yang  telah  ditentukan  oleh Allah SWT.

 

Rezeki  asbab  menjauhi godaan  syaitan

Allah SWT  mengasihi  orang yang  berusaha  bersungguh-sungguh  dalam  menepis  godaan  dan  tipu  daya  syaitan, yang  sentiasa  berusaha  memesongkan  umat  manusia  ke  lembah kehinaan. Allah SWT  berfirman  dalam  Surah  Al Baqarah  ayat 168 maksudnya :  "Wahai  sekalian manusia,  makanlah  yang halal  lagi  baik  dari  apa  yang  terdapat  di  bumi dan  janganlah  kamu mengikuti  langkah-langkah  syaitan;  karena  sesungguhnya syaitan  itu  adalah  musuh  yang  nyata  bagi kamu."

 

Rezeki  asbab  banyak  infaq  ke  jalan Allah 

Orang yang  sentiasa  meyakini  bahawa  berbelanja  ke  jalan Allah SWT  akan  dikurniakan  rezeki  yang  berlipat kali  ganda,  sudah  tentu  tidak  akan  berfikir  Panjang  untuk  mengeluarkan wang ringgit nya  demi  mencari  keredaan Allah SWT.  Firman-Nya  dalam  Surah  Al Baqarah  ayat  245:  "Siapakah yang  mahu  memberi pin jaman  kepada  Allah,  pinjaman  yang baik  (menafkahkan hartanya  di  jalan  Allah),  maka  Allah  akan meperlipat gandakan  pembayaran  kepadanya dengan  lipat sebanyak-banyaknya. Dan Allah  menyempitkan dan  melapangkan (rezeki)  kepada  seiapa  yang  dia  kehendaki)  dan  kepada-Nyalah  kamu  dikembalikan."

 

Rezeki  asbab  keimanan  dan  ketakwaan  yang  mantap

Allah SWT sangat  menyayangi  dan  mengasih  hamba-hamba-Nya yang  sentiasa  berusaha  meningkatkan  keimanan  dan  ketakwaan  mereka  dari  semasa  ke  semasa dengan  melakukan segala  perintahnya  dan  meninggalkan segala  larangannya.  Mereka  berusaha siang  dan  malam  untuk  memastikan  tahap iman  dan  takwa  mereka  di  tahap  yang  terbaik  serta  di pandang oleh Allah SWT. Allah  berfirman dalam  Surah  Al  A'Raf a yat 96:  "Jikalau  sekiranya  penduduk  negeri-negeri  beriman  dan  bertakwa,  pastilah  Kami  akan  melimpahkan  kepada  mereka berkat  dari  langit  dan  bumi,  tetapi  mereka  mendustakan  (ayat-ayat  Kami)  itu,  maka  Kami  seksa  mereka  disebabkanperbuatannya."

Moga  Allah SWT  murahkan  rezeki  kita  semua  dengan  asbab kebaikan  dan  amal  saleh  yang  kita  lakukan  setiap  hari,  bukan bermusim atau  kerana  sesuatu  keuntungan  duniawi  semata-mata.  Buatlah  semua  ikhlas  kerana Allah SWT.  Percayalah rezeki  yang halal  lagi  barakah  itu  akan  datang  bergolek. 

Penulis  Profesor  Madya Bahasa Arab  dan  Komunikasi,  Fakulti  Pengajian  Bahasa Utama,  Universiti  Sains Islam Malaysia (Usim)

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 January 2022 @ 5:59 AM