BERDOALAH memohon kepada Allah SWT agar wabak Covid-19 segera lenyap.
BERDOALAH memohon kepada Allah SWT agar wabak Covid-19 segera lenyap.
Addin

Setiap manusia yang hidup di dunia mempunyai hasrat dan keinginan.Ada kalanya keinginan yang diminta itu menjangkaui kemampuan diri sendiri. Namun, percayalah setiap hasrat dan keinginan yang baik maka ia sesuatu yang harus. Tidak menjadi satu kesalahan untuk memohon kepada Allah SWT agar keinginan itu dimakbulkan-Nya, asalkan tidak melanggar batasan syarak.

Setiap hari kita berdoa memohon bantuan dan pertolongan Allah SWT. Itulah sifat hamba yang tidak mempunyai sebarang kuasa melainkan atas kurniaan-Nya yang Maha Esa. Malah berdoa termasuk dalam perbuatan ibadah seperti dijelaskan oleh Rasulullah SAW dalam hadisnya yang bermaksud: "Doa adalah ibadah." Hadis Riwayat at-Tirmidzi

Lebih-lebih lagi dalam suasana sekarang, kita belum menang dalam menghentikan penularan wabak Covid-19. Tidak kiralah sama ada menjadi mangsa Covid-19 atau tidak, kita semua perlu berdoa agar Allah SWT mengurniakan keselamatan dan keafiatan yang berpanjangan.

Oleh itu, usah berhenti berdoa mengharapkan pertolongan daripada Allah SWT. Malah ibadat solat yang difardukan kepada kita lima kali dalam sehari juga satu permohonan doa. Inilah bukti jelas bahawa manusia tidak akan dapat lari daripada memohon bantuan daripada Allah SWT.

Sebagai contoh, bacaan dalam solat ketika duduk antara dua sujud membawa maksud: "Wahai Tuhanku, ampunilah aku, rahmatilah aku, cukupilah aku, angkatlah darjatku, kurniakan rezeki kepadaku, berilah petunjuk kepadaku, sihatkanlah aku dan ampuniah segala kesalahanku." Secara jelas menunjukkan bacaan dalam solat semuanya untaian doa dan harapan kita kepada Allah. Doa agar kita dikurniakan kesihatan yang baik juga termasuk dalam permintaan harian kepada Allah SWT.

Allah SWT menjelaskan Dia tidak akan sesekali menghampakan permohonan dan harapan setiap hamba-Nya. Selagi hamba-Nya itu mengakui hanya Dia yang selayaknya diimani, selagi itu pintu rahmat Allah terbuka luas untuknya. Janji ini dirakamkan oleh Allah SWT pada ayat 60 dalam Surah Ghafir yang bermaksud: "Dan Tuhan kamu berfirman: Berdoalah kamu kepada-Ku nescaya Aku perkenankan doa permohonanmu."

Sesungguhnya Allah SWT tidak akan sekali-kali memungkiri janji-Nya. Namun, adakalanya disebabkan pemahaman yang salah terhadap agama, akhirnya manusia gagal merasai nikmat beragama dengan agama yang diterima di sisi-Nya. Contohnya, berapa ramai orang yang berdoa, namun mereka tidak tahu apa yang didoakan. Bagaimana mungkin doa itu akan dimakbulkan oleh Allah SWT sedangkan orang yang memohon tidak mengetahui butiran permohonannya.

Berdoa menggunakan bahasa Arab adalah sesuatu yang baik, namun ia tidak bermakna doa dalam bahasa Melayu atau apa saja bahasa lain tidak didengari oleh Allah SWT Yang Maha Mendengar. Doa perlulah lahir daripada hati dan diucapkan dengan penuh pengharapan. Jika sesuai dengan keadaan, berdoalah dengan bahasa yang difahami kerana ia lahir daripada hati sendiri. Berdoa bukan sekadar menzahirkan perbuatan menadah tangan, tetapi ia membabitkan hati yang sedar dan mengharapkan doa dimakbulkan oleh Allah SWT. Rasulullah SAW bersabda dalam sebuah hadis yang bermaksud: "Berdoalah kamu kepada Allah dalam keadaan kamu yakin dengan penerimaannya (mustajab). Ketahuilah sesungguhnya Allah tidak menerima doa daripada hati yang lalai dan alpa." Hadis Riwayat at-Tirmidzi

Tanpa hati yang khusyuk dan tanpa keyakinan doa itu akan dimakbulkan oleh Allah SWT, pastinya ia tidak menepati ciri-ciri insan yang mendambakan pertolongan daripada-Nya.

Selain itu, perlu difahami bahawa Allah SWT memakbulkan doa permohonan seseorang hamba dengan mengurniakan sesuatu yang terbaik buatnya. Ada kalanya kita berasakan sesuatu perkara itu terbaik buat diri dan ia amat diperlukan, namun ketahuilah Allah Maha Mengetahui segala-galanya.

Firman Allah SWT dalam al-Quran bermaksud: "…dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah yang mengetahui (semuanya itu) sedang kamu tidak mengetahuinya." Surah al-Baqarah, ayat 216

Di sinilah pentingnya iman yang tinggi dalam diri Muslim sejati. Bagi orang yang beriman kepada Allah SWT, dia akan sentiasa reda dengan ketentuan Allah kepadanya.

Berdoalah juga supaya kita dijauhkan daripada perbuatan maksiat. Perbuatan dosa dan maksiat akan menyebabkan doa yang dimohon ditolak oleh Allah SWT. Bagi Muslim yang berdoa dalam keadaan dirinya jauh daripada sebarang dosa dan maksiat, maka doanya akan termasuk dalam satu daripada tiga kategori.

Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: "Tiada seorang Muslim yang berdoa dengan tiada dosa atau memutuskan silaturahim, melainkan Allah akan memberikan kepadanya satu daripada tiga perkara: sama ada disegerakan mustajab, atau disimpan untuk diberikan pada hari akhirat atau dijauhkan keburukan yang sepadan dengannya." Hadis Riwayat Ahmad

Jelaslah bahawa Allah SWT tidak akan sama sekali menghampakan permintaan hamba-Nya.

Kita juga dianjurkan berdoa pada waktu yang dimustajabkan doa oleh Allah SWT. Terdapat banyak hadis yang menjelaskan waktu terbaik untuk berdoa. Antaranya ialah pada sepertiga akhir malam. Ini berdasarkan hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: Sesungguhnya Rabb kami Tabaraka wa Ta'ala turun setiap malam ke langit dunia hingga berbaki sepertiga akhir malam, lalu berfirman: "Sesiapa yang berdoa maka Aku akan kabulkan. Sesiapa yang memohon, pasti Aku akan perkenankan dan sesiapa yang meminta ampun, pasti Aku akan mengampuninya." Hadis Riwayat al-Bukhari

Doa adalah senjata bagi setiap Muslim yang beriman. Sebagai makhluk ciptaan Allah SWT, sememangnya kita amat kerdil dan berhajat kepada pertolongan daripada-Nya setiap masa. Manfaatkanlah peluang ini dan jangan sesekali menjadi hamba-Nya yang sombong.

Berdoalah memohon kepada Allah SWT agar wabak Covid-19 segera lenyap dari bumi Malaysia yang tercinta ini. Dalam hal ini, setiap umat Islam di Malaysia perlu bersama-sama sebulat hati memohon agar Allah SWT mengurniakan keselamatan dan keafiatan buat seluruh rakyat dalam negara ini.

Kita belum menang, jadi teruskanlah berdoa memohon perlindungan dan penjagaan keselamatan daripada Allah SWT.

Lebih penting lagi, marilah kita sama-sama berdoalah agar mendapat kebahagian di dunia dan akhirat. Permohonan inilah yang diajar oleh Allah SWT kepada umat Islam seperti termaktub dalam al-Quran. Firman Allah SWT dalam al-Quran bermaksud: "Dan di antara mereka pula ada yang (berdoa dengan) berkata: Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan peliharalah kami daripada azab neraka." Surah al-Baqarah, ayat 201

Penulis pensyarah Pusat Pengajian Bahasa Arab,

Fakulti Bahasa

Dan Komunikasi, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Disember 2020 @ 7:37 AM