SEBAGAI Muslim yang beriman sudah tentu berasa sangat yakin dan percaya terhadap kekuasaan Allah SWT.
SEBAGAI Muslim yang beriman sudah tentu berasa sangat yakin dan percaya terhadap kekuasaan Allah SWT.
Dr Zuraimy Ali

Melayari kehidupan dengan sempurna dan membina kebahagian diri bersama insan tersayang merupakan impian bagi setiap insan. Namun hakikatnya kehidupan ini sentiasa menghadapi tentangan yang dahsyat sehinggakan sebahagiannya menggoncangkan iman dan menggugat kesabaran. Perjuangan setiap insan tidak pernah lekang daripada ujian dan mehnah tribulasi yang melanda manusia. Ini adalah sebahagian pengalaman hidup dan cara membentuk pemikiran dan tindakan yang lebih matang bagi menghadapi suasana yang sukar dijangka. Cabaran ini sentiasa hadir sama ada ia menguji manusia dari sudut kekurangan harta benda, ujian kekeluargaan, rakan sekerja, sikap masyarakat dan lain-lain lagi.

Justeru, bagi mendepani keadaan berikut sudah pasti Islam sentiasa mengemukakan rangka tindakan yang tepat bagi menghadapi ujian tersebut dengan jalan tenang. Ketenangan itu hadir tepat pada masanya jika setiap insan sentiasa beramal dengan apa yang telah digariskan oleh Islam. Beberapa perkara yang sangat dituntut bagi setiap Muslim adalah sentiasa mengadu dan berdoa kepada Allah SWT dengan doa yang ma'thur berdasarkan keterangan al-Quran mahupun Hadith Nabi SAW. Nabi SAW bersabda yang bermaksud: "Tidaklah seorang Muslim berdoa yang tidak mengandungi dosa dan tidak bertujuan memutuskan silaturahim, melainkan Allah SWT akan mengabulkannya dengan tiga cara: Allah akan mengabulkan doanya sesegera mungkin, Allah akan menyimpan (menjadikannya pahala) baginya di akhirat kelak dan Allah akan menjauhkan daripadanya kejelekan." (Riwayat Ahmad)

Jika ditelusuri serta ditadabbur ayat al-Quran dengan jiwa yang tenang pasti setiap Muslim mendapati keajaiban di dalam hidupnya. Ini kerana setiap kita mengetahui bahawa di dunia ini ujian yang paling berat terpikul di bahu ialah para nabi sehingga ada yang digelar sebagai Nabi Ulul Azmi kerana begitu banyaknya ujian dan tentangan yang dihadapi dalam menyebarkan Islam. Al-Quran merekodkan banyak kisah mengenai beberapa pengaduan nabi-nabi kepada Allah SWT. Ini merupakan sebahagian cara bagi menunjukkan bahawa kehidupan manusia perlu sentiasa dilazimi dengan doa dan pengaduan sebanyak mungkin kepada Allah SWT bagi merungkaikan banyak masalah yang dihadapi. Sebagai contoh doa Nabi Ayub AS yang mengadu dan berdoa kepada Allah SWT agar diberikan kesembuhan daripada sakit sebagaimana yang dinyatakan di dalam al-Quran yang bermaksud: "Dan (sebutkanlah peristiwa) Nabi Ayub, ketika ia berdoa merayu kepada Tuhannya dengan berkata: "Sesungguhnya aku ditimpa penyakit, sedang Engkaulah sahaja yang lebih mengasihani daripada segala yang mengasihani." (Surah al-Anbiya', ayat 83)

Kehidupan dunia ini sentiasa dipenuhi dengan pelbagai bentuk kerosakan sehingga menyebabkan sebahagian daripadaPAGE SIAP:10 izzat - rama18 Dolah-Lan (tngu grafik)13 Zalifah-Lan manusia gagal menyelesaikan pelbagai kemelut yang berlaku. Namun jika setiap Muslim meyakini dan bersangka baik terhadap Pencipta serta yakin terhadap rayuan doanya maka sebahagian bebanan yang terpaksa ditanggung semakin ringan bahkan mendapat ketenangan apabila segala urusan itu dikembalikan kepada Tuhan. Yakinilah kebesaran Allah SWT dan akuilah tentang kelemahan diri. Apabila Muslim sentiasa mengadu kelemahan diri dan meletakkan doa pergantungan yang kuat terhadap Allah SWT sudah pasti seorang itu akan mendapati keajaiban di dalam hidupnya. Seluruh kehidupan pasti berubah dan ini dapat dilihat tentang kisah Nabi Yunus AS tatkala berdoa kepada Allah SWT dalam keadaan gelap gelita ketika berada di dalam perut ikan Nun sebagaimana yang dinyatakan al-Quran yang bermaksud: "Dan (sebutkanlah peristiwa) Zun-Nun, ketika ia pergi (meninggalkan kaumnya) dalam keadaan marah, yang menyebabkan ia menyangka bahawa Kami tidak akan mengenakannya kesusahan atau cubaan; (setelah berlaku kepadanya apa yang berlaku) maka ia pun menyeru dalam keadaan yang gelap-gelita dengan berkata: "Sesungguhnya tiada Tuhan (yang dapat menolong) melainkan Engkau (ya Allah)! Maha Suci Engkau (daripada melakukan aniaya, tolongkanlah daku)! Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang yang menganiaya diri sendiri." (Surah al-Anbiya', ayat 87) 

Justeru, sebagai Muslim yang beriman sudah tentu berasa sangat yakin dan percaya terhadap kekuasaan Allah SWT. Jika kehidupan dunia ini terlalu berat untuk dilalui maka serahkanlah urusan ini kepada Allah SWT. Sentiasa mengadu dan berdoa kepada-Nya agar dibukakan jalan yang terbaik dan diberikan rahmat serta keberkatan hidup. Usahlah berputus asa dari rahmat-Nya.

Penulis Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) Universiti Teknologi MARA cawangan Perlis

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 January 2023 @ 7:00 AM