KEADAAN lengang di ibu kota selepas bermulanya total lockdown malam kelmarin.
KEADAAN lengang di ibu kota selepas bermulanya total lockdown malam kelmarin.
Mohd Noor Ikhram Hussin

Pukulan pandemik gelombang ketiga ini sangat dahsyat kepada kita semua. Tindakan sekatan pergerakan penuh (total lockdown) yang diambil oleh kerajaan adalah inisiatif ihsan agar nasi tidak menjadi bubur. Ini juga bermakna, banyak perkara yang tidak boleh kita lakukan serta mengakibatkan impak psikologi kebimbangan andai tanpa kawalan. Kata-kata seperti: "SOP ni sentiasa berubah serta tidak jelas, saya takut tidak dapat sesuaikan diri dengan segera..." "Saya dah penat dengan SOP, tetapi data tidak turun juga…" Ini antara contoh tanda kelesuan pandemik yang sedang dihadapi masyarakat secara umumnya. Ketika lesu, usah pula kita lupa jasa wira dan wirawati barisan hadapan negara, hampir dua tahun menggempur dan bertahan demi kita. Mereka juga punya keluarga, emosi dan jiwa. Jangan tunggu dan bertanya tanggungjawab siapa, tetapi kitalah sebagai insan berlumba menjadi orang pertama menghulurkan bantuan.

Semakin kuat iman, semakin berat cubaan, tanda semakin Allah cinta kita sebagai hamba-Nya. Rasulullah  SAW  bersabda: "Sesungguhnya balasan terbesar daripada ujian yang berat. Jika Allah mencintai suatu kaum, maka Allah akan memberikan cubaan kepada mereka. Barangsiapa reda, maka Allah pun reda. Dan barangsiapa murka (tidak suka pada cubaan tersebut), maka baginya murka Allah." (Hadis Riwayat Tirmizi: No.2396)

Justeru, mekanisma mengatasi (coping mechanism) adalah kemampuan kita untuk responsif dalam situasi tidak selesa, kesusahan serta tekanan semasa tempoh sekatan pergerakan penuh ini. Mekanisma mengatasi yang dipilih nanti adalah kaedah yang dapat memandu emosi bagi menempuhi sekatan pergerakan penuh. Kita sendiri akan menentukan strategi pilihan mekanisma mengatasi secara positif yang akan menentukan kesejahteraan jangka masa panjang. Sebagai contoh, dengan melihat peluang di sebalik total lockdown musibah pandemik Covid-19, kita menghasilkan pula peluang yang mendatangkan keuntungan pada diri serta insan sekeliling yang dikasihi.

Manakala, pilihan mekanisma mengatasi secara negatif, sudah pasti akan menjejaskan kesejahteraan kesihatan fizikal serta mental, akhirnya mengakibatkan masalah berganda. Seperti kes-kes kaunseling yang pernah saya kendalikan, ada yang memilih makan terlalu banyak atau tidak seimbang, minum arak, salah guna dadah, merokok vape atau mencederakan diri sendiri yang disangka 'ubat' tetapi mengakibatkan masalah lain dalam kehidupan.

Dalam keadaan kita berhadapan dengan cabaran total lockdown dalam sesetengah keadaan perasaan yang dirasai juga sukar untuk dikawal. Bertenang dan ambillah masa untuk berfikiran rasional dalam keadaan ketidaktahuan masa depan. Fokus kepada apa yang ada di tangan iaitu perkara yang masih dan boleh dikawal. Ia adalah langkah positif pertama yang terbaik ke arah kesejahteraan mental dalam suasana kawalan pergerakan penuh ini.

Bagaimana saling menyokong

Berikut beberapa faedah yang mungkin boleh ditimbangtara yang boleh dilakukan semasa suasana total lockdown walau jauh dari mata. Dahulukan dalam ingatan bahawa setiap insan menghadapi serta menerima sesuatu perkara berlainan antara satu sama lain. Baik kepada kita, belum tentu ia baik kepada insan lainnya. Kemudian tanyakan kepada mereka apa yang boleh kita tawarkan bantuan dalam lingkungan kemampuan.

Tawarkan masa dan telinga untuk mendengar luahan hati mereka secara tertib. Percayalah, kadangkala manusia hanya mahu didengar walau tanpa penyelesaian. Alangkah indahnya jika kita punya masa dan sedia meluangkan masa untuk menjadi pendengar. Kehausan untuk didengar ialah petanda kehausan kasih sayang dan cinta. Manusia tercari-cari siapa yang sudi menjadi pendengar untuk diluahkan segala dan semua. Kadangkala manusia bukan inginkan penyelesaian, tetapi mereka hanya inginkan penghargaan, apabila tersedia mendengarkan luah serta keluhan.

Sebagai insan, tanyakan khabar ahli keluarga, ibu ayah kita. Andai mereka tidak berdaya, carilah jiran kenalan untuk bertanya serta belikan keperluan. Khuatir di lidah ibu ayah berkata tidak mengapa, tetapi mereka bergelut ketidakcukupan kerana tidak mahu timbul risau kepada anak-anaknya. Daftarkan mereka untuk mengambil imunisasi vaksin yang disahkan oleh agamawan dan pakar perubatan. Pujuklah hati mereka dan kita agar tetap bersabar dengan ujian total lockdown ini. Ia demi keselamatan mereka yang kita kasihi. Juga menjulang arahan umara dan ulil amri sebagai ladang pahala. Adik-beradik pula, inilah waktunya darah daging kita ini diutama. Makan minum mereka walau sedikit usahakan biar sama dirasa. Tanyakan juga khabar jiran tetangga, mereka adalah 'ahli keluarga' terdekat kita.

Dalam suasana pandemik Covid-19 ini juga apabila berhadapan dengan total lockdown, lakukanlah sesuatu yang menimbulkan impak positif kepada kita dan mereka yang dirasakan perlu diberikan sokongan. Wujudkan suasana ceria agar mereka tahu kita sentiasa bersama mereka tidak kira dalam gembira atau duka. Seandainya terbatas untuk berhubungan, layarkan melalui media sosial contohnya tulisan, poster, video yang memberi kata-kata semangat kepada mereka.

Pada waktu ini, buat pemimpin tidak kira dari peringkat apa pun, inilah masanya empati anda buat yang dipimpin. Teladan perbuatan adalah lebih berkesan daripada lisan. Bantuan daripada pemimpin yang dilantik memegang amanah akan melegakan rakyat yang susah. Paksalah hati dengan melakukan secara santun, agar rakyat dapat merasakan keikhlasan. Sekian lama kita harungi, anjurkanlah majlis zikir, selawat dan munajat di siaran media massa. Doakan pejuang barisan hadapan terus gagah cekal mempertahankan Malaysia daripada serangan musuh halus. Semoga negara Malaysia tercinta ini dilindungi dan dirahmati daripada malapetaka. Sebagaimana firman Allah SWT: "Tidaklah berguguran sehelai daun pun melainkan Dia (Allah) mengetahuinya" (Surah Al An'am ayat 59). Setelah kita berusaha, usah lupa Allah pemilik segala.

Penulis Pegawai Psikologi Kanan, Bahagian Pengurusan Psikologi, Jabatan Perkhidmatan Awam

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Jun 2021 @ 5:59 AM