SAARANI Mohamad. FOTO Bernama
SAARANI Mohamad. FOTO Bernama
Balqis Jazimah Zahari


Ipoh: Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad dan 10 barisan Exco kerajaan negeri bersetuju untuk menyumbangkan sebulan gaji masing-masing selama tiga bulan untuk disalurkan kepada Tabung Bencana Covid-19.

Saarani mengumumkan perkara berkenaan yang diputuskan dan dipersetujui dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK), hari ini.

Beliau berkata, sumbangan itu sebagai inisiatif kerajaan negeri membantu rakyat di negeri itu dalam berdepan pandemik Covid-19 dan Sekatan Pergerakan Penuh atau Total Lockdown.

"Sumbangan sebulan ini membabitkan saya Menteri Besar Perak dan 10 barisan Exco kerajaan negeri ini.

"Datuk Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim; Penasihat Undang-Undang Negeri Perak, Azmir Shah Zainal Abidin dan Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Zulazlan Abu Hassan akan mengikut seperti mana yang diputuskan untuk kakitangan kerajaan," katanya pada sidang media yang diadakan secara maya selepas mempengerusikan Mesyuarat Kerajaan Negeri di sini hari.

Terdahulu,NSTP melaporkan Sebahagian Imbuhan Tetap Keraian (ITK) bagi Pengurusan Tertinggi dan Gred 44 hingga Gred 56 serta Imbuhan Tetap Khidmat Awam (ITKA) bagi Gred 29 hingga Gred 41 yang dinikmati oleh penjawat awam ketika ini akan disumbangkan kepada Akaun Amanah Bencana dalam tempoh tiga bulan.

Sumbangan membabitkan lebih 800,000 penjawat awam itu bagaimanapun tidak termasuk petugas barisan hadapan serta penjawat awam Gred 1 hingga Gred 28 yang dianggarkan berjumlah lebih RM30 juta.

Sebelum ini, media turut melaporkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan sebagai tanda sokongan, barisan jemaah Menteri bersetuju untuk tidak mengambil gaji selama tiga bulan mulai Jun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Jun 2021 @ 3:42 PM