ZIKIR ibadat yang sunahnya dilakukan secara bersendirian. FOTO Arkib NSTP
ZIKIR ibadat yang sunahnya dilakukan secara bersendirian. FOTO Arkib NSTP
Nor Asree Mohd Noh

Umat Islam menyambut bulan yang selama ini ditunggu-tunggu, Ramadan. Apabila menyebut Ramadan, selain ibadat puasa wajib dilaksanakan pada siang hari, pastinya umat Islam tidak ketinggalan dengan ibadat berbentuk jama'i yang dilakukan bersama komuniti setempat seperti sahur, iftar, solat Tarawih dan tadarus al-Quran.

Selain itu, budaya bersedekah dan tolong-menolong dalam kalangan masyarakat seperti amalan bertukar-tukar kuih-muih antara jiran tetangga, acara memasak lauk berbuka untuk anak yatim atau usaha menyediakan moreh untuk ahli kariah selepas bertadarus atau apa saja aktiviti bersifat kemasyarakatan tetap dijalankan dengan istiqamah saban tahun ketika berada dalam bulan mulia ini.

Amalan seperti ini sangat dituntut oleh agama dan secara tidak langsung dapat menambahkan kelazatan beribadat dan mengeratkan ukhuwah sesama umat Islam.

Selain amalan bersifat jama'i, Islam turut tidak terlepas menggalakkan penganutnya melakukan sesuatu amalan secara fardiy atau bersendirian antaranya zikir kepada Allah SWT.

Zikir adalah suatu ibadat yang sunahnya dilakukan secara bersendirian.

Zikir berasal daripada bahasa Arab iaitu zikr yang bermaksud ingat atau sebut, bererti mengingati Allah Jallawa'ala atau menyebut nama-Nya. Ia mempunyai bacaan dan sebutan tertentu yang sebaik-baiknya diambil daripada apa yang terdapat atau warid daripada ayat al-Quran al-Karim atau hadis Nabi SAW yang juga secara umumnya mencakupi doa.

Terdapat banyak ayat al-Quran dan riwayat hadis mengenai perintah dan suruhan agama mengenai zikir. Antaranya ialah firman Allah SWT: "Ingatilah Aku (berzikirlah kepada-Ku), nescaya Aku akan mengingati kamu dan bersyukurlah kepada-Ku, janganlah kamu kufur terhadap-Ku." Al-Baqarah ayat 152

Dalam surah yang lain, firman-Nya: "Wahai orang yang beriman, berzikirlah kepada Allah dengan zikir yang banyak." Al-Ahzab ayat 41

Hadis riwayat Abu Musa RA daripada Nabi SAW, baginda bersabda: "Perumpamaan orang mengingati Tuhannya dan orang tidak mengingati Tuhannya adalah seperti orang hidup dan orang yang mati." Hadis Riwayat al-Bukhari

Bagi konteks Ramadan, umat Islam dituntut supaya tidak meninggalkan zikir pada setiap hari khususnya bacaan zikir pagi dan petang. Penulis secara peribadi berpandangan ramai dalam kalangan umat Islam tidak mengambil berat mengenai amalan ini. Hal ini kerana terdapat segelintir masyarakat berasakan zikir hanya dilakukan selepas solat atau dalam majlis tertentu seperti yang dibudayakan di sesetengah tempat.

Firman Allah Azzawajalla: "Wahai orang yang beriman, berzikirlah kepada Allah dengan zikir yang banyak, dan bertasbihlah kepada-Nya pada waktu pagi dan petang. " Al-Ahzab ayat 41-42

Dalam firman yang lain: "…dan bertasbihlah dengan memuji Tuhanmu sebelum terbit matahari dan sebelum ia terbenam." Surah Taha ayat 130

Sabda Nabi SAW: "Aku duduk bersama satu kaum untuk berzikir kepada Allah Taala dari waktu solat Subuh hingga matahari terbit adalah lebih aku sukai daripada memerdekakan empat hamba keturunan Nabi Ismail (iaitu hamba yang paling berharga dan terpilih) dan aku duduk bersama satu kaum berzikir kepada Allah dari waktu solat Asar hingga matahari terbenam lebih aku sukai daripada memerdekakan empat hamba." Hadis Riwayat Abu Dawud

Dalil ini menunjukkan kepentingan berzikir pada waktu pagi dan petang untuk dilakukan setiap hari. Antara kitab yang menghimpunkan mengenai zikir yang lengkap ialah Al-Azkar oleh pengarangnya Imam al-Nawawi dan Hisnu al-Muslim oleh Sheikh Said bin Ali bin Wahf al-Qahtani serta Al-Wabil Al-Sayyib oleh Imam Ibnu al-Qayyim.

Kitab ini boleh dijadikan panduan kerana ia mudah diperoleh dan kandungannya dibahagikan mengikut tajuk tertentu termasuk zikir pagi dan petang.

Bagi sesetengah rakyat Malaysia yang terlibat dengan aktiviti usrah, sememangnya mereka terbiasa dengan kitab Al-Ma'thurat karangan Imam Hassan al-Banna yang kandungannya terdiri daripada zikir dan doa untuk diamal pada pagi dan petang.

Bagaimanapun, kini terdapat buku himpunan zikir seperti ini dijual di pasaran hasil usaha pelbagai ilmuwan tanah air mahupun Indonesia yang motifnya juga sama iaitu memberikan panduan bagi umat Islam mengamalkan agama. Jika diamati dengan mendalam, setiap bacaan zikir pagi dan petang itu mempunyai makna dan fadilat tersendiri.

Menurut Sheikh Majdi bin Abdul Wahab al-Ahmad dalam kitabnya Syarah Hisnu al-Muslim, menjelaskan terdapat tidak kurang 60 manfaat zikir yang semuanya berlandaskan sumber dalil yang jelas.

Sebagai contoh, sekiranya seseorang membaca ayat al-Kursi, Allah akan melindungi dirinya daripada gangguan syaitan, bagi yang mengucapkan sayyidul istighfar akan dijanjikan pembacanya dengan syurga jika mati pada hari berkenaan dan berselawat ke atas Nabi akan diberikan syafaat oleh Baginda di akhirat kelak.

Jika dirujuk kandungan makna zikir pagi dan petang, secara umumnya ia merujuk kepada puji-pujian kepada Tuhan, zat yang Maha Agung, permohonan kepada Allah supaya dipelihara keimanan dan perlindungan daripada segala kemudaratan, gangguan, azab dan sifat tidak baik yang dibenci Islam, tagihan hamba untuk mendapat kebaikan pada waktu pagi dan petang, pengakuan mengenai kelemahan diri sebagai hamba, penyerahan diri sentiasa kepada Allah SWT dan kebergantungan kepada-Nya tanpa putus asa, rayuan untuk dikurniakan kesihatan tubuh badan, rezeki yang baik, ilmu bermanfaat serta amalan yang diterima oleh Allah.

Rentetan daripada Ramadan ini, diharapkan umat Islam mengambil azam baharu dengan menjaga zikir pagi dan petang, untuk menambah amalan pada bulan mulia ini.

Walaupun hukumnya sunat, amatlah rugi apabila ia ditinggalkan kerana inti pati dalam zikir itu yang mencukupkan keperluan utama dalam hidup seseorang Muslim.

Inilah masa yang paling tepat dan sesuai iaitu ketika berada dalam madrasah Ramadan untuk melatih diri mengamalkan zikir setiap hari supaya dapat membaiki Ramadan lalu dengan penambahan amal soleh baharu dan kelak (pada bulan lain), ia akan terbiasa serta menjadi darah daging. Tidak kiralah sesibuk mana pun seseorang itu, akan diberikan masa untuk diri mengingati Allah SWT.

Penulis Pensyarah Fakulti Bahasa dan Pendidikan, Kolej Universiti Islam Melaka

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 April 2021 @ 8:28 AM