FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Oleh Datuk Mohd Ajib Ismail

Pada era kewujudan pelbagai pelantar media yang menjadi sumber rujukan kehidupan masa kini, segelintir masyarakat kadangkala seakan-akan keliru untuk memilih antara teladan yang baik dengan buruk sehingga menjadikan tingkah laku menjengkelkan serta menyalahi syariat sebagai perbuatan boleh diterima dan disanjungi. Situasi itu bertambah buruk dengan budaya tidak sihat terutama di media sosial yang mendorong individu mengidolakan figura tertentu tanpa mengambil kira aspek akhlak dan moral.

Elemen sensasi dan kontroversi seolah-olah menjadi syarat wajib untuk seseorang lebih dikenali sehingga leka bergelumang dosa serta terang-terangan mempromosikan kemaksiatan.

Sebahagian anggota masyarakat seolah-olah hilang perasaan malu kerana sanggup melakukan maksiat secara terbuka dengan bangga tanpa sebarang usaha untuk bertaubat dan kembali mendekatkan diri kepada Allah SWT. Dalam hal ini, Rasulullah SAW mengingatkan dalam sebuah hadis yang bermaksud: "Setiap umatku diberikan kemaafan melainkan golongan al-mujahirin. Sesungguhnya di antara perbuatan mendedahkan dosa itu adalah seorang lelaki itu melakukan perbuatan dosa pada satu malam. Kemudian dia bangun pagi dalam keadaan Allah menutup keaiban dirinya. Lalu dia menceritakan kepada orang lain dengan katanya: 'Wahai si fulan, semalam aku melakukan perbuatan dosa itu dan ini.' Sedangkan dia tidur dalam keadaan Allah menutup keaiban dirinya, lalu dia bangun dan mendedahkan apa yang Allah tutupkan daripada dirinya." (Riwayat al-Bukhari)

Berbangga dengan perlakuan maksiat dan menganggap perkara biasa dalam masyarakat disifatkan sebagai petanda akhir zaman. Allah SWT berfirman dalam Surah an-Nur ayat 19 bermaksud: "Sesungguhnya orang yang suka hebah tuduhan yang buruk dalam kalangan orang yang beriman, mereka akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya di dunia serta di akhirat dan (ingatlah) Allah mengetahui (segala perkara) sedang kamu tidak mengetahui (yang demikian)." Ayat ini menjelaskan golongan yang suka menghebahkan perbuatan keji dan memalukan seperti zina akan diazab oleh Allah SWT.

Lebih parah apabila kebajikan pula dilakukan untuk mengaburi mata orang ramai agar melupakan perbuatan dosa dan maksiat yang dikerjakan. Firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah ayat 42 yang bermaksud: "Dan janganlah kamu mencampuradukkan yang benar itu dengan yang salah, dan kamu sembunyikan yang benar itu pula padahal kamu semua mengetahuinya."

Ajaran Islam menegah perbuatan mencampuradukkan kebenaran dengan kebatilan bukan hanya dalam aspek akidah, tetapi syariah dan akhlak kerana akan mengelirukan serta mengaburi kebenaran.

Perbuatan mengaburi kejahatan dengan kebaikan adalah jejak langkah iblis sebagaimana kisah dia diusir dari syurga dan berpura-pura baik lalu menggoda Nabi Adam AS dan Hawa agar perbuatan derhakanya tidak dilihat salah. Firman Allah dalam Surah Taha ayat 120-121 bermaksud: "Setelah itu maka syaitan membisikkan (hasutan) kepadanya, dengan berkata: 'Wahai Adam, mahukah aku tunjukkan kepadamu pohon yang menyebabkan kau hidup selama-lamanya dan kekuasaan yang tidak akan hilang lenyap?'. Kemudian mereka berdua memakan daripada pohon itu, lalu terdedahlah kepada mereka aurat masing-masing dan mereka mulailah menutupnya dengan daun dari syurga dan dengan itu derhakalah Adam kepada Tuhannya, lalu tersalah jalan (daripada mencapai hajatnya)."

Iblis kekal dalam kesesatan dan menyesatkan umat manusia sebagaimana yang dinyatakan dalam Surah al-Hijr ayat 39 yang bermaksud" "Iblis berkata: 'Wahai Tuhanku! Kerana Engkau telah menjadikan daku sesat, (maka) demi sesungguhnya aku akan memperelokkan segala maksiat kepada Adam serta zuriatnya di dunia ini dan aku akan menyesatkan mereka semuanya." Justeru, sudah menjadi tabiat iblis mengaburi perbuatan buruk manusia agar kelihatan baik dan membisikkan pujian terhadap perbuatan itu agar manusia seronok melakukan maksiat.

Hakikatnya setiap manusia yang melakukan kemaksiatan hendaklah bertaubat dan berazam untuk tidak mengulangi perbuatan dosa dan maksiat. Imam Nawawi menjelaskan jika kemaksiatan berlaku antara seorang hamba kepada Allah SWT, maka untuk bertaubat perlulah memenuhi tiga syarat iaitu segera hentikan semua kemaksiatan, menyesal kerana melakukan kemaksiatan dan berniat tidak mengulangi perbuatan maksiat itu untuk selama-lamanya. Firman Allah dalam Surah an-Nisa' ayat 17 yang bermaksud: "Sesungguhnya penerimaan taubat itu disanggup oleh Allah hanya bagi orang yang melakukan kejahatan disebabkan (sifat) kejahilan kemudian mereka segera bertaubat, maka (dengan adanya dua sebab itu) mereka diterima Allah taubatnya dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana."

Sedarilah bahawa pembalasan terhadap perbuatan maksiat dan mungkar yang dilakukan bukan hanya menimpa pelakunya semata-mata sebagaimana sabda Rasulullah SAW dalam sebuah hadis daripada Ummul Mukminin, Zainab binti Jahsy beliau berkata: "(Pada suatu hari) Rasulullah SAW masuk ke dalam rumahnya dengan keadaan cemas sambil bersabda: 'La ilaha illallah, celaka (binasa) bagi bangsa Arab daripada kejahatan (malapetaka) yang sudah hampir menimpa mereka. Pada hari ini telah terbuka dari dinding Yakjuj dan Makjuj seperti ini" dan baginda menemukan hujung jari dan hujung jari sebelahnya (jari telunjuk) yang dengan itu mengisyaratkan seperti bulatan. Saya (Zainab binti Jahsy) lalu bertanya: 'Ya Rasulullah! Apakah kami akan binasa sedangkan dalam kalangan kami masih ada orang yang soleh?' Lalu Nabi SAW bersabda: 'Ya, jikalau kejahatan sudah terlalu banyak." (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Apabila kejahatan dan kemungkaran berleluasa maka bencana serta kebinasaan akan turut menimpa semua yang berada di sekelilingnya. Justeru segala kemungkaran dan kemaksiatan hendaklah sentiasa dicegah dan dihapuskan agar tidak terjadi malapetaka yang menimpa seluruh masyarakat.

Marilah kita berazam kembali mendekatkan diri kepada ajaran Islam yang sebenar dan beristiqamah untuk melakukan kebaikan lebih-lebih lagi dalam situasi kehidupan akhir zaman yang mencabar. Teruskanlah amalan untuk menegakkan amar makruf dan nahi mungkar melalui pelbagai program dakwah serta penguatkuasaan undang-undang syariah demi keselamatan hidup di dunia dan akhirat. Sabda Rasulullah SAW dalam sebuah hadis yang bermaksud: "Barangsiapa mencontohkan dalam Islam suatu contoh yang baik, ia akan mendapatkan pahalanya dan pahala orang yang melakukannya setelahnya tanpa berkurang sesuatu apa pun daripada pahala mereka. Dan barangsiapa yang mencontohkan dalam Islam suatu contoh yang buruk, ia menanggung dosanya dan dosa orang yang mengerjakannya setelah dia tanpa berkurang sesuatu pun daripada dosa mereka." (Riwayat Muslim)

Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) sebagai pihak berkuasa agama di peringkat Wilayah Persekutuan pula akan sentiasa bekerjasama dengan pelbagai agensi seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) demi memastikan amalan maksiat tidak dipromosikan secara berleluasa dalam kalangan masyarakat.

Penulis Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi)

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Februari 2024 @ 7:00 AM