Mohd Shahrizal Nasir

ALLAH SWT memiliki nama-nama yang menunjukkan keagungan-Nya. Firman Allah SWT bermaksud: “Dan Allah mempunyai nama-nama yang baik (yang mulia), maka serulah (dan berdoalah) kepada-Nya dengan menyebut nama-nama itu, dan pulaukanlah orang yang berpaling daripada kebenaran dalam masa menggunakan namaNya. Mereka akan mendapat balasan mengenai apa yang mereka telah kerjakan.” (Surah al-A’raf, ayat 180)

Antara nama-nama Allah SWT yang mulia ialah Ar-Razzaq.  Merujuk nama Ar-Razzaq, Allah SWT mengurniakan rezeki yang banyak kepada hamba-Nya. Allah SWT mengurniakan rezeki kepada makhluk-Nya dalam pelbagai bentuk.

Firman Allah SWT bermaksud: “Sesungguhnya Allah Dialah sahaja (Ar-Razzaq) iaitu yang memberi rezeki (kepada sekalian makhluk-Nya, dan Dia-lah sahaja) yang mempunyai kekuasaan tidak terhingga, lagi yang maha kuat kukuh kekuasaan-Nya.” (Surah az-Zariyat, ayat 58)

Cuba perhatikan orang yang berada di sekeliling kita. Mereka dikurniakan rezeki yang cukup sehingga membolehkan hidup dengan baik tidak kira sama ada mereka itu orang beriman atau sebaliknya.

Allah SWT berkuasa mengurniakan rezeki yang banyak kepada setiap makhluk-Nya. Rezeki bukan hanya berbentuk wang ringgit, sebaliknya mencakupi pelbagai perkara seperti makan, minum, zuriat, pekerjaan, masa lapang, keluarga, kesihatan, kesejahteraan dan banyak lagi.

Sepanjang hidup ini, kita sudah menikmati pelbagai jenis rezeki. Mungkin disebabkan sudah sekian lama menikmatinya, ada manusia melupakan Allah SWT.

Justeru, setiap Muslim perlu menyedari hakikat rezeki yang diterima itu datangnya daripada Allah SWT. Tidak ada satu bentuk rezeki pun yang tidak termasuk dalam kurniaan Allah SWT.

Memang benar, setiap manusia berusaha mendapat rezeki namun usaha manusia masih bergantung kepada ketentuan Allah SWT.

Firman Allah SWT bermaksud: “Dan tiadalah sesuatu pun daripada kalangan makhluk yang bergerak di bumi melainkan Allah jualah yang menanggung rezekinya dan mengetahui tempat kediamannya dan tempat kembalinya. Semuanya itu tersurat dalam Kitab (Lauh Mahfuz) yang nyata (kepada para malaikat yang berkenaan).” (Surah Hud, ayat 6)

Kadangkala kita sendiri menyedari diri tidak berkuasa menentukan sesuatu rezeki itu benar-benar dapat dimiliki.

Contohnya, pada tangannya ada sesuap nasi yang ingin dimakan. Namun, atas sebab tertentu, nasi itu tidak dapat disuap ke dalam mulut kerana  terjatuh ke tanah.

Biarpun rezeki itu sudah berada di tangan, namun manusia masih tidak mempunyai kuasa mutlak untuk mengatakan nasi itu benar-benar miliknya.

Ada orang melepasi saringan temu duga untuk mendapat pekerjaan. Segalanya berjaya diharungi dengan baik. Namun, atas ketentuan Allah SWT, dirinya tidak dapat memegang jawatan dipohon atas faktor kesihatan.

Begitulah antara gambaran betapa setiap rezeki tertakluk sepenuhnya atas ketentuan Allah SWT. Dialah yang berkuasa memberi dan menahan sesuatu rezeki.

Allah SWT juga mengurniakan rezeki hatta kepada haiwan. Semuanya atas ketentuan-Nya yang Maha Berkuasa. Usah hampiri jalan syirik dengan meminta-minta daripada dukun atau bomoh agar dikurniakan rezeki.

Terus minta kepada Allah SWT agar dikurniakan rezeki dengan jalan usaha dan doa. Bersabarlah dalam memohon rezeki daripada Allah SWT kerana Dia tidak sama sekali menghampakan permintaan hamba-Nya yang baik.

Allah SWT mengurniakan rezeki kepada sesiapa sahaja yang dikehendaki-Nya  asalkan hamba itu berusaha mendapatkannya. Apabila rezeki yang dihajati masih belum diperoleh sedang-
kan usaha dan doa acap kali dilakukan, jangan menyalahkan takdir.

Ada kalanya Allah SWT tidak mengurniakan sesuatu yang diminta, tetapi Dia mengurniakan sesuatu yang kita perlukan. Keperluan itulah lebih baik daripada kemahuan kerana Dia Maha Mengetahui segalanya.

Penulis pensyarah Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Terengganu

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 September 2019 @ 11:21 AM