GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Dr Zamihan Mat Zin al-Ghari

ALLAH merupakan kata nama khas bagi Tuhan sebenar yang layak disembah. Kalimah syahadah adalah kalimat keramat alam buana.

Ertinya, tiada Tuhan yang sebenar yang wujud, layak disembah dan menjadi tumpuan makhluk melainkan Allah.

Kewujudan zat, sifat dan perbuatan Allah adalah semenjak azali lagi. Tiada sesuatu pun yang mendahului kewujudan, kebesaran dan keagungan-Nya. Dan kewujudan Allah kekal selama-lamanya.

Segala puji bagi Allah yang bersifat dengan segala sifat kesempurnaan. Dia yang memulakan penciptaan makhluk dan mengembalikannya.

Dia melakukan apa sahaja yang Dia kehendaki. Pemilik Arasy yang mulia dan pemilik seksaan yang sangat keras. Pemberi petunjuk kepada hamba yang terpilih kepada jalan yang lurus.

Pemberi nikmat kepada manusia selepas mengucapkan dua kalimah syahadah (tauhid) dengan menjaga akidah mereka daripada kegelapan keraguan yang membimbing mereka ke arah mengikut Rasul-Nya yang terpilih. Dan mengikut para sahabatnya yang mulia dan dimuliakan dengan sokongan menzahirkan kepada mereka pada zat-Nya, perbuatan-Nya dengan keindahan sifat-Nya yang hanya dirasai oleh orang yang mentaati-Nya. (Surah Toha ayat 8).

"Dialah Allah yang memperkenalkan kepada makhluk-Nya bahawa Dia yang Esa pada zat-Nya. Tidak ada sekutu bagi-Nya. Dialah Yang tunggal dan tiada yang menyamai-Nya. Dialah Allah tempat tumpuan dan tiada yang sebanding dengan-Nya." (Surah al-Ikhlas ayat 1-4)

Dialah Allah yang azali dan tiada permulaan bagi-Nya. Dialah Allah yang berkekalan wujud-Nya dan tiada akhir bagi kewujudan-Nya, kekal selamanya dan tidak ada penghujung bagi-Nya. Dia sentiasa dan sentiasa selamanya bersifat dengan sifat kekuasaan (kekerasan).

FirmanNya: "Dia Allah tidak pernah mengalami rasa lemah, mengantuk dan tidur." (Surah al-Baqarah ayat 255)

Dia yang pertama dan tiada yang mendahului-Nya. Dialah yang akhir, yang zahir dan yang batin dan hanya Dialah yang mengetahui atas setiap segala sesuatu. (Surah al-Baqarah ayat 255)

Ketahuilah bahawa Allah SWT bukan jisim yang berupa dan bukan jauhar yang terbatas dan tidak ada kadar ke atas-Nya. Dia tidak menyamai segala jisim dan tidak menerima pembahagian dan bahawa Dia Allah SWT bukan jauhar dan bukan menjadi tempat bagi jauhar, bukan aradh (sifat baharu) dan bukan zat yang bersifat dengan aradh. (Surah al-Ikhlas ayat 4)

Dia Allah sesekali tidak menyamai makhluk dan makhluk tidak menyamai-Nya.

Allah SWT berfirman: "Tiada sesuatupun yang sebandingan dengan-Nya." (Surah al-Syura ayat 11)

Allah SWT tidak dibataskan oleh kadar tertentu dan tidak dikandung oleh kawasan, tidak dilingkungi oleh sudut atau ruangan dan tidak dirangkul oleh bumi dan langit.

Nabi SAW bersabda: "Allah itu wujud dan tidak ada sesuatu pun sebelum-Nya, tiada sesuatu pun di atas-Nya dan tiada sesuatu pun selain-Nya." (Riwayat al-Bukhari)

Allah SWT 'mustawin' atas Arasy dengan makna yang dikehendaki-Nya sebagai istiwa' yang maha suci daripada bersentuh, tetap, melekat, bertempat dan berpindah. Dia tidak ditanggung oleh Arasy. Bahkan Arasy dan para Malaikat yang memikul Arasy dengan kelembutan sifat kudrat-Nya dan dikawal dalam genggaman kuasa-Nya. (Surah al-An'am ayat 18)

Bahkan Dia Allah SWT, Tuhan yang maha tinggi darjat daripada Arasy dan langit sebagaimana tinggi darjatnya daripada bumi dan tanah. Namun begitu Dia sangat hampir dengan segala makhluk yang ada dan lebih hampir daripada urat leher manusia. (Surah Qaf ayat 16)

Dan Allah menyaksikan ke atas setiap sesuatu kerana hampir-Nya tidak menyamai hampir segala jisim sebagaimana zat-Nya tidak menyamai zat segala jisim. (Surah al-Baqarah ayat 186)

Sesungguhnya Allah SWT tidak bertempat pada sesuatu dan begitu juga sesuatu tidak bertempat pada-Nya. Maha suci Dia daripada dikandung oleh masa dan tempat. Bahkan Dia wujud sebelum kejadian masa dan tempat dan Dia sekarang sentiasa begitu. (Surah al-Nahl ayat 74)

Sesungguhnya Allah SWT berbeza daripada makhluk-Nya dengan segala sifat-Nya. Dan tidak terdapat yang lain pada zat-Nya dan tidak terdapat zat-Nya pada sesuatu yang lain.

Maha suci Allah daripada sesuatu yang berubah dan berpindah. Tidak bertempat sesuatu yang baharu pada zat-Nya dan tidak kedatangan pada zat-Nya oleh sifat yang baharu.

Bahkan maha suci segala sifat-Nya daripada hilang dan maha suci sifat kesempurnaan-Nya daripada bertambah kesempurnaan. (Surah al-Hasyhr ayat 22-24)

Sesungguhnya diketahui kewujudan zat-Nya dengan akal. Zat-Nya dapat dilihat dengan pandangan sebagai nikmat daripada-Nya dan lemah lembut-Nya terhadap orang yang berbakti di negeri akhirat yang kekal dan menyempurnakan nikmat-Nya dengan memandang kepada zat-Nya yang maha mulia. (Surah al-Qiyamah 22-23)

Sesungguhnya Dialah Allah yang mempunyai zat yang wajibul wujud (wajib ada). Dia mempunyai alam malaikat, alam malakut, alam izzah dan alam jabarut, milik-Nya kekuasaan, kekerasan, penciptaan dan perintah.

Dialah Tuhan yang Esa dengan penciptaan dan pengwujudan. Dia mencipta makhluk dan perbuatan mereka. Dia menetapkan rezeki dan tempoh ajal mereka. Tidak terlepas makhluk daripada genggaman kekuasaan-Nya. Tidak dapat diatasi suatu yang dikuasai oleh-Nya dan tidak berkesudahan sesuatu yang diketahui oleh-Nya. (Surah Yaasin ayat 82)

Sesungguhnya Allah SWT maha mengetahui dengan semua sesuatu dari bawah bumi hingga ke langit tertinggi. Tidak terlepas daripada pengetahuan-Nya sesuatu di langit dan bumi walau sebesar zarah sekalipun.

Dia mengetahui segala lintasan hati, cetusan perasaan dan bisikan hati dengan sifat ilmu yang azali di mana Dia sentiasa bersifat dengannya pada azali. Bukan dengan ilmu yang baharu yang terhasil pada zat-Nya dengan bertempat dan berpindah. (Surah al-Zumar ayat 62-63)

Sesungguhnya Dia Allah SWT berkehendak akan segala yang ada dan mentadbir akan segala yang baharu. Tidak berlaku dalam kerajaan-Nya sedikit atau banyak, kecil atau besar, baik atau jahat, manfaat atau mudarat, iman atau kufur, iktiraf atau engkar, kejayaan atau kerugian, pertambahan atau kekurangan dan ketaatan atau pendurhakaan melainkan dengan qada dan qadar-Nya, kebijaksanaan dan kehendak-Nya. Maka apa yang dikehendaki terjadi dan apa yang tidak dikehendaki tidak akan terjadi. (Surah al-Ana'am ayat 59)

Demikianlah beberapa hakikat ketuhanan Allah yang wajib diketahui dan ditaati bagi seluruh umat Islam. Barang siapa yang yakin dan percaya dengan semua ini maka dia selayaknya dikatakan berpegang dengan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Sebaliknya barang siapa yang menolak dan meragui semua kenyataan ini dia selayaknya dikira tidak beriman dengan Allah dan hari akhirat. Kekufuran dan kefasikan hanya merugikan dirinya di dunia dan akhirat. Hanya kepada Allah kita berserah dan kepada-Nya juga kita kembali.

Penulis Penolong Pengarah Kanan Bahagian Penerbitan, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim)

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Disember 2020 @ 5:59 AM