FOTO hiasan. FOTO NSTP
FOTO hiasan. FOTO NSTP
Prof Dr Taufiq Yap Yun Hin

Allah SWT mendidik Nabi Muhammad SAW untuk bersikap lemah lembut, rendah hati dan berakhlak baik ketika berinteraksi dengan manusia dan menjalankan usaha dakwahnya.

Allah SWT berfirman dalam Surah Ali Imran, ayat 159 yang bermaksud: “Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) daripada Allah (kepadamu wahai Muhammad), engkau bersikap lemah-lembut kepada mereka (sahabat-sahabat dan pengikutmu) dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari daripada kelilingmu. Oleh itu maafkanlah mereka (mengenai kesalahan yang mereka lakukan terhadapmu) dan pohonkanlah ampun bagi mereka dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan soal-soal keduniaan) itu. Kemudian apabila engkau berazam (sesudah bermesyuarat untuk membuat sesuatu) maka bertawakallah kepada Allah, sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang bertawakkal kepada-Nya.”

Baginda juga diminta tidak bersikap kasar, apatah lagi keras hati kerana pastinya orang akan menjauhkan diri daripadanya. Sudah tentu itu merugikan kerana matlamat untuk menyampaikan keindahan Islam tidak akan tercapai.

Rasulullah SAW turut diajar untuk memaafkan kesalahan mereka yang lampau dan tidak mengungkitnya lagi. Malah, Baginda mendoakan supaya mereka diberikan pengampunan atas apa yang dilakukan.

Itulah ciri-ciri peribadi yang terbina dalam diri Rasulullah SAW sehinggakan masyarakat Makkah yang pernah marah dan benci kepada Baginda begitu kagum dengan peribadinya.

Dalam peristiwa Fathu Makkah, masyarakat Arab Makkah ketika itu sangat menentang Nabi tetapi akhirnya menerima Islam beramai-ramai kerana sikapnya yang tidak berdendam walaupun Baginda pernah dihalau, dicela dan dihina.

Tidak berlaku sebarang kekerasan dan pertumpahan darah sama sekali. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Tidaklah sama kebaikan dan kejahatan. Tolaklah (kejahatan) itu dengan cara yang lebih baik, maka tiba-tiba orang yang antaramu dan antara dia ada permusuhan seolah-olah menjadi teman setia. Sifat-sifat yang baik itu tidak dianugerahkan melainkan kepada orang-orang yang sabar dan tidak dianugerahkan melainkan kepada orang-orang yang mempunyai keberuntungan yang besar.” (Surah al-Fushilat, ayat 34-35)

Seseorang yang menyampaikan Islam hendaklah mempunyai sifat lembut dalam hati mereka. Jika kita berkasar seperti mengutuk dan menyalahkan orang lain, walaupun apa yang kita katakan itu benar, orang tidak berminat untuk mendengar malah membenci perangai kita.

Sifat sabar sangat penting dalam menghadapi pelbagai cabaran. Allah SWT memerintahkan Nabi Musa dan Nabi Harun menggunakan kata-kata yang lembut ketika bertemu dengan raja zalim, Firaun.

Justeru, seseorang yang menyampaikan risalah Islam semestinya memiliki sifat berikut:

1. Mengajak manusia menuju ke arah kebaikan.

2. Bertindak sama ada secara lisan atau perbuatan dengan bijaksana dan berhikmah.

3. Tidak menghukum atau menjatuhkan hukuman dan merendahkan maruah atau kedudukan seseorang dengan menggunakan label tertentu di mata manusia.

4. Mempermudahkan urusan dan bukan menyulitkan keadaan. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Allah menghendaki kemudahan bagimu dan tidak menghendaki kesukaran bagimu.” (Surah al-Baqarah, ayat 185)

5. Mempunyai adab dalam urusan sesama manusia.

Penulis Presiden Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA) dan Profesor di Universiti Putra Malaysia

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 September 2018 @ 12:33 PM