MENCABAR minda dengan pertandingan dam.
MENCABAR minda dengan pertandingan dam.
Oleh Nurul Husna Mahmud


Program Semarakkan Malaysiaku di Pusat Sukan serta Rekreasi Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) anjuran Bahagian Khidmat Komuniti dan Pembangunan Modal Insan MBPJ baru-baru ini, diraikan penuh meriah.

Program menyasarkan belia kediaman bangunan bertingkat itu bertujuan mengurangkan masalah sosial di samping mengajak golongan berkenaan menyertai aktiviti lebih sihat. Riak peserta teruja menyertai pelbagai aktiviti baik rohani serta sukan rekreasi sedia diatur pihak penganjur.

Program itu juga hasil kolaborasi dengan badan sukarela Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) serta Kolej Saito dan Innovatif.

Menurut Penolong Pengarah Bahagian Khidmat Komuniti dan Pembangunan Modal Insan MBPJ, Nor’ain Adam, program itu antara usaha pihaknya menarik golongan berisiko tinggi ikut sama unitnya lebih komited menangani isu gejala tidak sihat.

“Dengan kapasiti kami terhad dari segi kewangan, kami tepaksa memilih sesetengah penempatan mahupun sebahagian belia daripada lokasi tertentu untuk menyertai kami kali ini.

“Biarpun tidak dapat membawa semua belia daripada semua zon penempatan rumah bertingkat sekitar bandar raya Petaling Jaya, objektif kami iaitu mahu mereka giat dalam aktiviti berfaedah tercapai.

“Lihat saja dalam program ini, mereka begitu teruja menyertai aktiviti seperti bengkel rohani membabitkan kelas sembelihan ayam, kemudian permainan rakyat serta sukan lasak,” katanya berharap lebih banyak agensi menyertai MBPJ bagi penganjuran karnival sedemikian pada skala lebih besar.

Bagi peserta aktiviti Permainan Rakyat, Nurul Ayuni Mad Noor, kali pertama memasuki karnival mini pengalaman menyeronokkan.

“Ini kali pertama saya sertai karnival ini. Saya bertanding mewakili belia tempat saya, Desa Mentari untuk kategori permainan congkak.

“Dapat bertanding dan bermain dengan peserta daripada zon lain tidak membuatkan gementar sebaliknya mengujakan. Namun saya berasa agak berdebar.

“Maklumlah, kategori sukan rakyat ini terbuka dan ada peserta cilik menyertai acara ini. Saya sudah lama tidak bermain congkak dan tentu kalau kalah itu sesuatu melucukan.

“Mujurlah saya mara dalam setiap pusingan dan berjaya mara ke peringkat akhir. Mengelak daripada rasa tertekan saya ‘set’ kan mental, saya menyertai untuk berseronok dan menimba pengalaman baru dengan rakan tidak pernah saya temui sebelum ini,” katanya.

Tambah pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Sunway itu, secara keseluruhan program itu memenuhi jangkaannya.

“Banyak program lain menarik perhatian saya selain sukan rakyat. Contohnya aktiviti memanjat tembok. Jika ada lagi program serupa dianjurkan pihak MBPJ, saya ingin mencuba acara lain,” katanya.

Sementara itu, penuntut Kolej Inovatif, Mohd Amir Arif Azami, gembira dapat menyertai karnival terbabit. Penuntut Diploma Perbankan Islam itu berkata dia tidak pernah menyertai acara memanjat tembok sebelum ini.

“Kalau tiada karnival ini, rasanya sukar remaja atau pelajar seperti saya dapat mencuba mahupun mengenali sukan memanjat tembok.

“Acara sebenarnya seperti kejohanan persahabatan tetapi hampir sebahagian besar antara kami baru kali pertama memanjat tembok.

“Awal pertandingan kami diberi pendedahan mengenai aspek keselamatan sukan memanjat. Kemudian diberi peluang untuk sesi percubaan sebelum sesi pertandingan.

“Satu kepuasan apabila saya dapat sampai ke tahap tertinggi. Mungkin disebabkan saya sering me­ngunjungi gimnasium memberikan kelebihan berbanding rakan jarang melakukan senaman,” katanya.

Amir berharap lebih banyak aktiviti mahupun karnival mini sebegitu dianjurkan bagi membuka peluang golo­ngan kurang berkemampuan merasai pengalaman sama.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Oktober 2015 @ 5:01 AM