KELINCAHAN Anis Syamimi beraksi di padang mendapat perhatian ramai pihak.
KELINCAHAN Anis Syamimi beraksi di padang mendapat perhatian ramai pihak.
Muhamaad Razis Ismail


SEBAIK tiba di padang di Presint 5, Putrajaya penulis melihat pasukan ragbi wanita Majlis Sukan Negeri Wilayah Persekutuan sedang menjalani latihan intensif yang sudah bermula seawal jam 8 pagi.

Setiap daripada mereka sangat fokus dan memberi komitmen untuk memastikan segala perancangan dapat direalisasikan di atas padang.

Biarpun sudah berlatih tanpa henti lebih sejam, mereka dilihat masih lagi cergas dan bersemangat.

Sekali sekala terdengar jeritan Pengarah Ragbi Wanita Malaysia merangkap Presiden Persatuan Ragbi Labuan, Abdul Rashid Adlie memberi arahan di luar padang.

Salah seorang daripada mereka yang sedang menjalani latihan adalah Anis Syamimi Amni Md Badrul, 19, yang baharu sahaja diserap masuk ke pasukan terbabit beberapa bulan yang lalu.

Beraksi di posisi yang 'backline,' Anis Syamimi perlu memiliki kelajuan yang mantap dan juga perlu laju mengesan corak permainan supaya dapat melakukan keputusan dengan pantas bagi memecahkan benteng pertahanan pasukan lawan

Biarpun bertubuh kecil, ia tidak menghalang anak jati Kuala Lumpur ini mempamerkan aksi cemerlang dalam sukan yang baru diceburi sejak setahun lalu.

Kelincahan dan kepantasan yang dimiliki anak bongsu daripada empat beradik ini berjaya menarik perhatian ramai pihak. Kemampuannya melakukan 'side step' ketika sedang berlari pantas untuk memperdaya pasukan lawan amat digeruni.

Antara pencapaian yang pernah diraih termasuk tempat ketiga di Kejohanan Pra SUKMA di Kelantan mendapatkan johan cup di Kejohanan HSN Pahang 7s Youth Rugby u20 bersama pasukan Pulau Pinang

Anis Syamimi berkata, sejak dari sekolah dia sudah aktif dengan menyertai pelbagai sukan termasuk bola sepak, olahraga dan ragbi sentuh.

Katanya, hanya pada tahun lalu, dia diajak rakannya untuk cuba menyertai sukan ragbi rempuh.

"Pada mulanya saya sertainya secara suka-suka dan cuba sesuatu yang baru kerana ragbi rempuh ini agak lasak. Saya ambil masa dua bulan untuk biasakan diri dan lama-kelamaan timbul minat.

"Siapa sangka saya ditawarkan untuk bermain dengan pasukan Pulau Pinang selama setahun sebelum ditawarkan beraksi dengan pasukan ragbi tujuh sebelah Majlis Sukan Negeri Wilayah Persekutuan pada tahun ini yang turut dibarisi beberapa pemain kebangsaan.

"Melalui pasukan ini, saya banyak belajar perkara baharu daripada jurulatih berpengalaman dan pemain yang pernah mewakili negara," katanya.

Menurutnya, pada mulanya ibunya agak keberatan untuk membenarkannya terbabit dengan ragbi rempuh kerana bimbang dengan keselamatannya.

"Ibu mana yang tidak bimbang apabila anak perempuannya ingin sertai sukan yang lasak seperti ini kerana risiko kecederaan agak tinggi.

"Biarpun begitu, lama-kelamaan ibu boleh terima dan menjadi antara penyokong terkuat bersama ayah apabila saya dapat buktikan kemampuan diri dalam sukan ini," katanya.

Anis Syamimi mengakui, sepanjang terbabit dengan sukan itu dia pernah mengalami kecederaan termasuk kecederaan kaki dan jari apabila dipijak pasukan lawan.

ANIS Syamimi (tengah, depan) bersama jurulatih dan rakan sepasukan.
ANIS Syamimi (tengah, depan) bersama jurulatih dan rakan sepasukan.

"Bagaimanapun, saya anggap ini antara cabaran yang perlu dihadapi sebagai pemain ragbi dan ia sama sekali tidak mematahkan semangat untuk terbabit dengan sukan ini," katanya.

Biarpun ramai yang beranggapan ragbi adalah sukan yang ganas, sebaliknya bagi Anis Syamimi melihat daripada sudut positif.

"Sukan ini banyak membantu membina karakter individu. Antaranya ia dapat membantu kita untuk lebih mudah bekerjasama dan juga mampu memantapkan disiplin individu seperti yang dikatakan khalayak ramai 'rugby is a hooligan games played by gentleman," katanya.

Mengulas lanjut, di luar padang, Anis Syamimi mengakui dia seorang yang sangat berbeza berbanding ketika sedang beraksi di dalam padang.

"Di luar, saya seorang yang kurang bercakap. Sebaliknya apabila melangkah masuk ke dalam padang karakter saya terus berubah, apabila menjadi seorang yang lantang menyuarakan pendapat dan lebih aktif ketika bermain.

"Ragbi adalah sukan berpasukan, selain kekuatan fizikal dan mental, komunikasi amat penting untuk menjadi sebuah pasukan yang baik," katanya.

Ditanya perancangan masa hadapan, Anis Syamimi ingin terus terbabit secara serius dengan sukan ini ke peringkat yang lebih tinggi.

"Saya mengimpikan untuk bermain dengan pasukan negara sekali gus dapat memberi inspirasi kepada wanita lain terbabit dengan sukan ini," katanya.

Sementara itu, Abdul Rashid ketika ditemui berkata, Anis Syamimi memiliki potensi yang besar untuk menjadi antara pemain ragbi wanita yang disegani di negara ini.

"Biarpun masih baharu, dia mempunyai keinginan yang tinggi untuk bersaing secara sihat dan berjaya diterjemahkan di dalam mahupun luar padang.

"Saya yakin dengan umur masih muda, kemampuan dan bakat ini saya mempunyai masa depan yang cerah dalam sukan ragbi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Jun 2024 @ 7:03 AM