BERMULA hanya suka-suka, potensi Shania digilap sebagai pemain ragbi profesional.
BERMULA hanya suka-suka, potensi Shania digilap sebagai pemain ragbi profesional.
Hafiz Ithnin


"SAYA tidak pernah menyesal, tetapi bergelar atlet pada usia muda menjadikan saya lebih matang dan bijak menguruskan masa untuk peribadi, akademik selain sukan itu sendiri," kata anak kelahiran Penampang, Sabah itu kepada penulis.

Malah, atlet muda berusia 22 tahun itu kini masih melanjutkan pengajian dalam Diploma Sains Sukan di Universiti Teknologi Mara (UITM) di Shah Alam masih berjuang dalam pasukan ragbi wanita kebangsaan.

Lebih manis, meskipun berdepan jadual agak padat pada usia remajanya kerana bergelar pemain ragbi negeri, pemilik nama Shania Suinani Baduk ini masih mampu mencatatkan keputusan baik ketika menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dalam sains tulen.

Katanya, arena sukan ragbi memerlukan disiplin tinggi kerana ia membabitkan pelbagai latihan inklusif seperti kepantasan, badan yang tegap dan bijak membaca pergerakan pihak lawan.

Menceritakan kembali dia menyertai sukan ragbi, ketika berusia 14 tahun dia bersama rakan-rakan sekolah yang lain diajak bermain ragbi secara suka-suka. Ketika itu, gurunya yang juga jurulatih, Josephine Joseph atau lebih mesra disapa Cikgu Jo mula melihat potensi dirinya.

"Bermula dari hanya suka-suka, bakat saya dilihat Cikgu Jo yang berasakan saya mempunyai potensi sebagai pemain ragbi profesional.

"Akhirnya saya dibawa Cikgu Jo untuk menyertai Kelab Angel Warrior di Sabah iaitu kelab ragbi wanita yang memberi peluang untuk saya menerokai arena ini lebih luas lagi termasuk menyertai pelbagai kejohanan," katanya.

Tambahnya, pada 2018 dia mendapat sokongan daripada Cikgu Jo untuk menyertai pemilihan dalam Sukan Malaysia (Sukma) pada tahun itu bagi mewakili Sabah dan ternyata bakatnya semakin mewangi apabila terpilih mewakili negeri sendiri.

Tidak sekadar itu, dia yang bermain di posisi standoff pada Sukma 2018 bersama pasukannya membawa pulang pingat emas untuk Sabah.

"Pada 2019 saya berjaya menembusi pasukan ragbi kebangsaan wanita sehingga kini. Paling manis sudah tentu apabila membawa pingat gangsa dalam Sukan Sea di Filipina pada 2019 bersama pasukan ragbi wanita negara.

"Bagi saya, walaupun ia satu pencapaian yang baik, tetapi belum puas kerana ingin terus menyumbang pingat selain gangsa pada masa depan. Secara peribadi saya meletakkan sasaran mendapatkan pingat perak dalam Sukan Sea akan datang untuk Malaysia," katanya.

SHANIA bersama keluarga menyambut Krismas.
SHANIA bersama keluarga menyambut Krismas.

Anak sulung dari tiga beradik hasil perkongsian hidup Terence Baduk dan Susan Pudin itu begitu bersyukur kerana sentiasa mendapat sokongan keluarga dalam sukan ragbi disertainya.

Katanya, di awal pembabitan dalam sukan ragbi, ibunya agak kurang selesa kerana risau keselamatan anaknya yang berkecimpung di sukan sinonim dengan pergerakan lasak atas padang.

"Selepas saya menunjukkan pelbagai kejayaan bukan sahaja dalam bidang sukan, malah akademik dan ibu menjadi antara insan yang sentiasa menyokong saya untuk terus mara atas padang.

"Malah, saya juga diusik keluarga yang melihat raut wajah ketika beraksi atas padang begitu garang yang sebenarnya berbeza dengan peribadi di luar padang iaitu suka mengusik dan membuat lawak," katanya.

Tambahnya, peribadi berbeza atas padang iaitu kelihatan lebih garang dan agresif penting kerana ia menunjukkan tahap serius dirinya ketika ingin menumpaskan pasukan lawan.

"Ketika berlawan kita perlu dalam keadaan serius kerana saya dan pasukan mempunyai tanggungjawab untuk negara dalam sukan ini. Jadi, tidak boleh sambil lewa.

"Bagi saya ketika berlatih dan berada atas arena perlawanan yang sebenarnya disiplin yang begitu tinggi perlu ditunjukkan sebagai atlet. Jika tidak, sia-sia latihan yang dilakukan setiap hari," katanya.

Meskipun bergelar atlet, Shania berkata, dia amat menitikberatkan keseimbangan dengan dunia akademik sebagai sokongan pada masa depan sekiranya tidak mampu lagi beraksi dalam sukan itu.

"Dalam dunia sukan ini kebiasaannya usia menjadikan kita tidak mampu lagi memberi prestasi yang baik dan saya berasakan akademik amat penting supaya boleh membina kerjaya saya pada masa depan," katanya.

Katanya, dia amat menggalakkan wanita menceburi sukan ragbi kerana ia amat menyeronokkan dan mampu membina gaya hidup lebih sihat.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Februari 2023 @ 7:00 AM