PROSES menuang warna memberi kepuasan kepada Razzatul Fatrah.
PROSES menuang warna memberi kepuasan kepada Razzatul Fatrah.
Hafiz Ithnin


"SAYA puas apabila dapat melihat proses campuran cat yang membentuk corak unik dan akhirnya karya seni ini menjadi tarikan kepada ramai orang untuk memilikinya," jelas gadis berusia 26 tahun itu kepada penulis.

Bagi Razzatul Fatrah Mohd Hamdan, dia gemarkan aktiviti karya seni sejak kecil lagi. Bermula dari melukis sehingga kini dia bergiat aktif dalam seni akrilik.

Pemilik Diploma Arkitek dari Kolej Kemahiran Tinggi Mara yang bergraduasi pada 2019 itu juga melihat seni akrilik semakin dihargai dan hasilnya mempunyai permintaan tinggi.

Dia mula aktif dan mempelajari seni itu di saat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 2019 yang ketika itu dia ingin mencuba seni itu di atas kanvas.

Jelasnya, melihat kepada keunikan hasil yang diperoleh di atas kanvas itu, dia beralih kepada fabrik dan seterusnya kepada produk yang lain seperti sarung telefon bimbit, cawan dan bekas minuman.

"Apabila saya mula kongsikan pengalaman menghasilkan seni ini di sosial media, tidak sangka mendapat permintaan orang ramai untuk memiliki corak akrilik terutama untuk sarung telefon, bekas air dan cawan.

"Bagi pengikut saya di media sosial, seni akrilik ini adalah satu karya kerja tangan yang unik kerana ia memerlukan daya kreativiti artis untuk mencorakkannya di atas produk," katanya.

Katanya, sejak seni akrilik yang dihasilkannya popular di media sosial, dia tidak menang tangan untuk menghasilkan pelbagai jenis corak yang diinginkan pelanggan yang bukan sahaja dari Malaysia, malah sehingga ke negara jiran seperti Singapura, Brunei dan Indonesia.

"Kebanyakan pelanggan menginginkan seni akrilik ini untuk produk bekas air dan sarung telefon kerana ia menjadi satu seni yang eksklusif untuk mereka sahaja.

"Perkara ini tidak dinafikan kerana apabila setiap corak dihasilkan menerusi gabungan pelbagai warna itu, sukar untuk mendapat hasil kedua yang sama. Jadi, karya itu sekali gus menjadi sesuatu yang eksklusif kepada si pemilik," katanya.

Tambahnya, meskipun mempunyai peminat karya itu sehingga luar negara, tetapi Razzatul Fatrah hanya dapat memenuhi permintaan pelanggan dari Malaysia dan Singapura.

"Permintaan dari Indonesia dan Brunei juga tinggi, tetapi saya tidak dapat memenuhi kehendak mereka memandangkan kos penghantaran lebih mahal daripada harga produk.

"Jadi, ia tidak berbaloi kepada pelanggan itu sendiri. Saya juga berusaha mencari cara bagi memenuhi permintaan daripada dua negara itu, tetapi masih menemui jalan buntu," katanya.

BOTOL air antara yang mendapat sambutan tinggi.
BOTOL air antara yang mendapat sambutan tinggi.

Razzatul Fatrah berkata, dia hanya melakukan aktiviti seni akrilik itu di rumah dan kerja menghasilkan seni itu adalah sentuhan peribadinya seratus peratus.

"Saya mempunyai pembantu, tetapi dia hanya melakukan kerja yang bukan seni seperti membungkus. Perkara ini kerana pelanggan saya hanya mahukan sentuhan peribadi saya untuk barangan yang mereka inginkan.

"Saya juga terharu dengan permintaan tinggi dari masa ke masa dan tidak sangka ia mendapat sambutan cukup luar biasa. Kini, menjadi artis akrilik adalah kerjaya saya," katanya.

Bercerita mengenai cabaran akuinya, sebagai artis akrilik, ada pelbagai cabaran yang perlu dihadapi antaranya apabila proses menyiapkan terganggu akibat serangga melekat atas cat corak yang belum kering.

"Apabila perkara ini berlaku, saya perlu membuat pembetulan kepada corak itu secara manual dan ia mengambil masa. Jadi, secara tidak langsung memberi kesan kepada tempoh menunggu pelanggan mendapatkan barangan mereka.

"Bagi pelanggan yang memahami mengenai seni kerja tangan ini mereka biasanya lebih mengerti dan tidak kisah menunggu. Tapi, bagi mereka yang baru kali pertama mungkin mengambil masa memahami keadaan seni kerja tangan ini yang kadangkala berdepan situasi luar jangka," katanya.

Katanya, melihat kepada perkembangan yang positif seni itu, dia bercadang membuka sebuah bengkel di kawasan rumahnya di Negeri Sembilan bagi memberi peluang orang ramai datang dan mencuba sendiri proses membuat seni akrilik itu.

"Kini proses untuk membangunkan bengkel itu sudah pun bermula dan mungkin pada Julai depan dapat disiapkan sepenuhnya.

"Saya ingin orang ramai lebih memahami mengenai seni akrilik ini dihasilkan dan mereka juga dapat melihat keindahan proses penghasilannya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Mac 2024 @ 7:00 AM