SAIFUL Bahrin menunjukkan dua batik sarung kilang dijualnya dengan corak batik moden kontemporari yang lebih murah dan mendapat sambutan pelanggan di Kuala Terengganu. FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli.
SAIFUL Bahrin menunjukkan dua batik sarung kilang dijualnya dengan corak batik moden kontemporari yang lebih murah dan mendapat sambutan pelanggan di Kuala Terengganu. FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli.
Ahmad Rabiul Zulkifli


BATIK sarung kilang dengan pelbagai corak kontemporari selain harga lebih murah kian mendapat sambutan, sekali gus menyebabkan batik sarung asli Terengganu semakin kurang permintaan.

Tinjauan Harian Metro ke Pasar Besar Kedai Payang (PBKP), Kuala Terengganu mendapati rata-rata peniaga menjual batik sarung kilang berbanding batik sarung asli Terengganu berikutan kos murah, sekali gus mampu memberi keuntungan lebih tinggi.

Batik sarung kilang yang didakwa dihasilkan di Kota Bharu, Kelantan dan Thailand dijual dengan harga antara RM13 hingga RM15 sehelai manakala batik sarung asli Terengganu dihasilkan melalui kaedah tradisional tempatan pula dijual dengan harga antara RM20 hingga RM35 sehelai bergantung kepada corak.

Peniaga, Saiful Bahrin Mohamad Hassan, 41, dari Kampung Losong berkata, dia menjual semua jenis batik sarung iaitu batik sarung asli Terengganu, batik sarung kilang dan batik sarung Indonesia.

Bagaimanapun, katanya, batik sarung kilang mempunyai permintaan lebih tinggi berbanding batik sarung lain menyebabkan ia lebih banyak dijual di kedainya.

“Harga jualan batik sarung asli Terengganu agak mahal dan keuntungan tidak banyak menyebabkan ia semakin kurang dijual di PBKP.

“Malah, corak batik moden mengikut citarasa pelanggan muda turut menjadikan ia lebih mendapat sambutan.

“Memang ada pelanggan dari luar meminati batik sarung Terengganu, tetapi jumlahnya tidak ramai kerana pelanggan kebiasaannya tertarik dengan batik sarung kilang,” katanya ketika ditemui di kedainya di PBKP, hari ini.

Saiful Bahrin berkata, peniaga biasanya akan menerangkan kepada pelanggan perbezaan di antara batik sarung kilang dengan batik sarung asli Terengganu bagi mengelak kekeliruan.

“Tidak timbul isu menipu dalam berniaga kerana rata-rata peniaga jujur dalam menjelaskan perbezaan antara batik sarung asli Terengganu dengan batik sarung kilang.

“Dalam hal ini, pelanggan boleh membuat pilihan berdasarkan bajet mereka, jika mahu batik sarung asli Terengganu harganya lebih mahal tetapi kualiti kainnya jauh lebih baik dan jika memilih batik sarung kilang, ia lebih murah dengan corak moden seiring dengan peredaran zaman,” katanya.

Peniaga lain, Suzana Abd Ghani, 46, berkata, dia sebelum ini menjual batik sarung asli Terengganu, namun mula berhenti menjualnya selepas batik sarung kilang lebih banyak dan mendapat sambutan di pasaran.

“Memang corak pada batik sarung kilang lebih moden, tetapi batik sarung asli Terengganu juga mengalami proses transformasi tersendiri serta mempunyai tarikan dan keunikan tersendiri.

“Biasanya batik sarung asli Terengganu mempunyai cop menandakan ia dihasilkan melalui kaedah tradisional.

“Batik sarung kilang mempunyai cop tetapi ia boleh mengelirukan pelanggan kerana ada tertera perkataan batik sarung asli Terengganu sedangkan ia tidak asli kerana cara perbuatannya menggunakan mesin,” katanya.

Suzana berkata, peniaga perlu memainkan peranan penting dalam memberi maklumat kepada pelanggan mengenai perbezaan dua jenis batik sarung itu bagi mengelak salah faham yang boleh memburukkan industri batik Terengganu secara keseluruhannya.

“Pelanggan boleh menilai berdasarkan kain batik sarung itu, batik sarung asli Terengganu mempunyai dua permukaan luar dan dalam kain sama warna manakala sebaliknya bagi batik sarung kilang kerana warna pada bahagian dalam kainnya lebih cerah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 April 2019 @ 9:51 PM