WUJUD trend yang semakin membimbangkan apabila wanita memilih untuk tidak berkahwin dan hidup bersendirian
WUJUD trend yang semakin membimbangkan apabila wanita memilih untuk tidak berkahwin dan hidup bersendirian
Muhammad Saufi Hassan


TIADA calon suami yang sesuai, masalah kewangan dan memberi tumpuan kepada kerjaya menjadi punca kebanyakan wanita kosmopolitan memilih untuk hidup bersendirian.

Trend wanita tidak berkahwin pada ketika ini dilihat semakin membimbangkan sekali gus memberi kesan langsung kepada tahap kesuburan.

Berdasarkan Jabatan Perangkaan Malaysia, kategori usia wanita antara 25 hingga 29 tahun yang belum berkahwin meningkat 37.8 peratus pada 2010 berbanding 10 tahun sebelum itu iaitu pada tahap 29.8 pada tahun 2000.

Malah berdasarkan kajian yang diterbitkan dalam jurnal 'Institutions and Economies' bertajuk 'Correlates and Consequences of Delayed Marriage in Malaysia' hasil kerjasama Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) dengan Universiti Malaya (UM) pula mendedahkan wanita cenderung berkahwin kali pertama pada umur lewat 20-an.

Kajian itu menyatakan bahawa wanita secara purata berkahwin pada usia kira-kira 26 tahun dan itu adalah trend perkahwinan pertama dari 1970 hingga 2014.

Dilihat kembali kepada kajian itu, terdapat beberapa faktor yang menjadikan trend wanita tidak berkahwin ini semakin meningkat dan antara faktor yang merekodkan peratusan tertinggi adalah ketiadaan calon sesuai iaitu 35.7 peratus.

Kelewatan wanita untuk mendirikan rumah tangga akan memberi kesan langsung kepada tahap kesuburan serta kesukaran untuk memperoleh cahaya mata.

Berdasarkan perangkaan umum, wanita yang berkahwin pada usia 20 hingga 22 tahun akan memperoleh kira-kira tiga orang anak.

Manakala bagi wanita yang berkahwin pada usia 26 tahun, akan memiliki kira-kira dua orang cahaya mata

Nisbah berkenaan akan terus berkurangan jika usia wanita berkahwin semakin bertambah.

Sementara itu, Pensyarah di Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV), Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Madya Dr Mohd Shukri Hanapi berkata, dalam perspektif Islam, perkahwinan adalah sunnah Rasulullah SAW dan sunnah Nabi serta fitrah yang sesuai dengan naluri manusia.

KATEGORI umur wanita antara 25 hingga 29 tahun yang belum berkahwin meningkat 37.8 peratus pada 2010 berbanding 10 tahun sebelum itu iaitu pada tahap 29.8 pada tahun 2000.
KATEGORI umur wanita antara 25 hingga 29 tahun yang belum berkahwin meningkat 37.8 peratus pada 2010 berbanding 10 tahun sebelum itu iaitu pada tahap 29.8 pada tahun 2000.

Beliau berkata, mereka yang bersikap mahu hidup membujang jelas bertentangan dengan sunnah Rasulullah SAW serta mensia-siakan nikmat kurniaan Allah SWT dalam kehidupan dunia.

"Islam melarang umatnya daripada hidup membujang, iaitu tidak mahu berkahwin dengan tujuan untuk menjauhkan diri daripada mengecapi kenikmatan hidup di dunia dan mengelakkan diri daripada merasai kebahagiaan hidup berkeluarga serta tidak ingin mempunyai zuriat.

"Sebenarnya, dengan perkahwinan itu akan berkembanglah umat dan pengikut Nabi Muhammad SAW dan Baginda merasa bangga dan bergembira dengan sebab ramai umatnya.

"Hal ini dinyatakan dalam hadis yang diriwayatkan daripada Sa'ad bin Abi Waqqas RA bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, 'Berkahwinlah kamu dan beranak pinaklah kamu dengan banyaknya, sesungguhnya aku akan berbangga dengan kamu berbanding umat-umat lain pada hari akhirat nanti' daripada Riwayat Abu Dawud dan al-Hakim," katanya.

Beliau berkata, mereka yang enggan berkahwin (mahu hidup membujang) seumur hidupnya, padahal mereka mampu menunaikan tanggungjawab terhadap isterinya atau suaminya daripada segi zahir dan batin bermakna mereka mengharamkan sesuatu perkara yang halal terhadap diri mereka.

"Justeru, mereka boleh dianggap orang yang menentang hukum Allah SWT dan sunah Rasul-Nya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 January 2024 @ 7:00 AM