TENUNAN yang sederhana tetapi eksklusif.
TENUNAN yang sederhana tetapi eksklusif.

Sinonim dengan kegunaannya ketika menghadiri majlis rasmi, perkahwinan, adat istiadat diraja dan digayakan ketika menyambut lebaran, kain tenun bercorak mula mendapat tempat di hati masyarakat negara ini.

Tenunan bercorak ialah hasil jalinan tenun benang pakan dan loseng yang berwarna.

Ia terbahagi kepada tenun benang kapas atau benang sutera. Di samping itu, terdapat benang emas yang diselitkan untuk mengimbangi motif jalur atau garis kecil dan ini memperlihatkan keindahan tenunan bercorak.

Kepelbagaian dan keindahan sarung tenunan bercorak dibahagikan kepada kain corak melintang, memanjang, ragi, corak Rawa (Bugis) dan corak Muar.

Corak ini juga muncul di Kelantan, Terengganu dan Pahang. Di Pahang sendiri terkenal dengan istilah tenunan sutera Pahang yang dipercayai sudah dibawa masuk ke negeri berkenaan sejak abad ke-17 oleh orang Bugis.

Jenis tenunan ini disebut sebagai tenunan bercorak kerana tidak terdapat bentuk motif yang digunakan kecuali ruang, petak dan jaluran.

Dari segi penciptaan ragam hiasnya adalah bersifat sederhana. Tenunan corak Mandar menggunakan corak kotak yang lebih halus dengan susunan warna lebih gelap seperti warna merah hati, biru, ungu tua, hijau hempedu, coklat perang dan coklat hitam selain sesuai untuk pakaian lelaki.

Tenunan corak singkang menggunakan warna cerah seperti merah, kesumba, merah jambu, hijau serindit dan kuning langsat malah berhias corak songket benang emas serta lebih sesuai dipakai golongan wanita.

Produk tenun pada hari ini bukan sahaja terhad pada penghasilan fabrik saja, tapi sudah meluas dan diketengahkan sebagai nilai tambah dalam hiasan kediaman.

Menerusi idea tanpa batas, tekstil warisan budaya ini turut direka menjadi alas meja, sarung bantal dan perhiasan unik di sudut atau ruang kediaman.

Selain itu juga, kain tenun turut dijadikan tali leher dan aksesori seperti kotak pensel, dompet dan beg tangan.

Maklumat lanjut di www.kraftangan.gov.my.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Ogos 2015 @ 5:02 AM