Lizam Ridzuan


MULANYA hanya mengikuti suami sebagai pembantu, lalu timbul minat untuk memasangnya sendiri.

Itulah kisah bagaimana Nora Elyana Elly, 35, terbabit dalam perniagaan memasang pendingin hawa yang kebanyakannya hanya dilakukan kaum lelaki.

Kini dia bukan lagi melakukan tugas menghulurkan spanar, skru atau gerudi malah segala urusan pemasangan dibuat sendiri sambil dibantu pekerja-pekerja lain.

"Saya memang sukakan aktiviti lasak, maka untuk kerja-kerja memasang pendingin hawa ini meskipun nampak berat dan kasar saya mampu melakukannya kerana minat."

"Walaupun kompresor dan unit dalaman pendingin hawa nampak berat umpamanya, saya mampu mengangkatnya," katanya yang berasal dari Kluang, Johor.

Menubuhkan Nora Aircond Selangor pada 2015, perniagaan itu semakin berkembang dan kini mereka sudah mempunyai 10 pekerja dan apa yang menariknya 6 daripadanya adalah wanita.

Nora mempunyai misi mahu merekrut lebih ramai wanita menyertainya bagi tujuan kerja ini atas beberapa faktor dan antaranya ialah keselesaan pelanggan.

"Urusan pemasangan pendingin hawa dilakukan pada hari biasa namun kebanyakannya hanya ada suri rumah sahaja di rumah maka sudah pasti akan ada sedikit kekangan sekiranya yang memasang semuanya lelaki."

"Untuk itu saya menyediakan pekerja wanita yang bukan sahaja boleh mengangkat kompresor dan memanjat tangga malah cekap melakukannya sehingga siap dalam suasana yang lebih selesa," katanya.

Jika mengikuti perkembangan perniagaannya, kedai yang sekarang ini pada asalnya untuk stor simpanan barang-barang dan stok namun pada 2022 ia dibuka kepada orang ramai bagi memudahkan pengusaha lain mendapatkan barangan dan alat ganti di situ.

KETIKA menjalankan kerja di rumah pelanggan.
KETIKA menjalankan kerja di rumah pelanggan.

Katanya jika dahulu, mereka perlu ke kedai lain untuk mendapatkan alat ganti jika kehabisan namun kini urusan kerja lebih mudah, lancar dan pantas kerana semua barangan keperluan kerja ada di kedai itu.

Kerjanya yang teliti dan hati-hati juga mengurangkan risiko ketika bertugas dan Nora tidak pernah mengalami sebarang kecederaan sepanjang tujuh tahun mengusahakan perniagaan ini yang ada kalanya perlu memanjat tangga yang tinggi.

"Sekiranya sesuatu perkara itu tidak dapat dilakukan sendiri, saya akan meminta bantuan rakan-rakan pekerja lain ataupun suami sendiri bagi memastikan keselamatan semua," katanya yang memiliki empat cahaya mata.

Cabaran utamanya ialah persepsi orang ramai terhadap keupayaannya dan pekerja kerana rata-rata daripada mereka adalah wanita jadi ada kalanya sinis.

Namun selepas melihat hasil kerja, semuanya berpuas hati dan promosi daripada mulut ke mulut menjadikan bilangan pelanggan bertambah dari hari ke hari dan ramai juga wanita yang ingin menyertai mereka bagi menjalankan kerja ini.

Mengenai perancangan masa hadapannya, Nora ingin menambah lagi bilangan pekerja wanita selain merancang meluaskan perniagaannya ke negeri-negeri lain.

Nora juga menyarankan walaupun fizikal wanita itu lembut namun tidak boleh diaganggap lemah serta bukan halangan untuk melakukan apa yang disukai dan diminati.

ABDUL Rahman (kanan), Siti Norhariani (tengah) dan Nora.
ABDUL Rahman (kanan), Siti Norhariani (tengah) dan Nora.

"Kepada suami di luar sana boleh terus menyokong isteri dalam apa juga bidang yang diceburi dan saya juga menyokong apa juga usaha golongan wanita yang mempunyai minat untuk kerjaya seperti kami," katanya.

Keunikan Nora bukan sekadar memasang pendingin hawa, tetapi kisah di sebaliknya yang dia adalah isteri kedua suaminya Abdul Rahman Abdul Rahim, 36 dan paling menarik tinggal serumah bersama madunya, Siti Norhariani, 36.

Malah mereka juga melakukan kerja bersama-sama dalam membangunkan perniagaan itu. Siti Norhariani lebih menumpukan kepada pengurusan kedai manakala Nora pula fokus kepada operasi kerja-kerja luar.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Oktober 2023 @ 7:01 AM