CEKAP mengendalikan peralatan.
CEKAP mengendalikan peralatan.
Nurul Husna Mahmud


'IRON lady' adalah gelaran yang sesuai bagi menggambarkan wanita pemilik nama Ku Noor Azila Ku Saad, 37, ini.

Anak jati kelahiran Felda Keratong 6, Bandar Chanis, Muadzam Shah, Pahang ini antara wanita yang memulakan perniagaan dalam bidang penyelenggaraan pendingin hawa dan penyambungan elektrikal dalam bangunan di bandar itu.

Menurut Ku Noor Azila, menjadi salah seorang pengusaha kontraktor wanita dalam bidang teknikal yang dimonopoli kaum adam ada baik dan buruknya. Namun, dia lebih suka memandang aspek positif untuk terus maju dalam perniagaannya itu.

"Tidak dinafikan penyertaan saya sebagai kontraktor atau pekerja teknikal membaik pulih pendingin hawa dan penyambungan elektrikal di Muadzam Shah ini meraih perhatian ramai orang. Malah, saya pernah viral seketika apabila berkongsi gambar kerja dalam kumpulan Facebook.

"Reaksi saya terima pelbagai, ada baik dan sebaliknya. Maklumlah kerja teknikal sebegini bukan kebiasaan wanita. Skop kerja ini perlu memanjat dan bagi kebanyakan wanita ada kurang selesa dengan situasi sedemikian.

"Bagi klien pula setiap kali saya berjumpa 'tauke-tauke' besar untuk dapatkan tawaran kerja baik pulih atau selenggara pendingin hawa, setiap kali itu juga mereka tanya 'bolehkah saya baik pulih dan servis pendingin hawa terutama model saiz industri?'

"Saya tidak mudah melatah sebaliknya meminta mereka beri peluang untuk saya lakukan kerja terbabit terlebih dahulu. Saya dibantu suami, Zamzuri Ismail, 49, buktikan dengan setiap kerja selenggara itu dilakukan sehabis baik," katanya.

Tambah Ku Noor Azila, dia bukan pemilik syarikat yang gemar berpeluk tubuh atau hanya berharap kepada pekerja semata-mata sebaliknya lebih suka 'turun padang' dan melakukan kerja itu bersama-sama.

"Saya usahakan perniagaan ini sejak 2019 iaitu sebelum Covid-19 kerana minat dengan kerja teknikal. Sebelum itu saya berniaga di pasar malam membabitkan pakaian Muslimah seperti tudung dan sebagainya.

"Kemudian ambil keputusan kembangkan perniagaan dalam bidang lain pula. Saya pilih bidang penyelenggaraan pendingin hawa dan penyambungan elektrikal sambil belajar dan timba pengalaman daripada suami sendiri.

KU Noor Azila cekap baik pulih serta selenggara pendingin hawa, mahir penyambungan elektrikal.
KU Noor Azila cekap baik pulih serta selenggara pendingin hawa, mahir penyambungan elektrikal.

"Saya mulakan dengan ambil upah servis di rumah orang sehingga tahap yang lebih mencabar iaitu di pasar raya atau bangunan komersial. Saya turut lakukan kerja itu bersama kakitangan saya.

"Apabila mereka lihat saya boleh panjat dan baiki sendiri, rata-rata kagum apatah lagi saya adalah perempuan serta tidak kekok atau takut untuk lakukan kerja baik pulih atau selenggara pendingin hawa," katanya.

Tambah Ku Noor Azila selain suami, arwah bapanya, Ku Saad Ku Chim adalah individu yang banyak memberi dorongan dan mengasah minatnya sejak kecil.

"Dalam keluarga saya, ada empat beradik perempuan dan saya adalah anak bongsu. Saya rapat dengan bapa yang juga kontraktor ketika hayatnya.

"Beliau yang asuh saya menjadi tahan lasak, maklumlah dalam keluarga tiada anak lelaki. Tugas di rumah biasanya dilakukan lelaki seperti memanjat, menukar lampu dan sebagainya diberikan kepada saya.

SUAMI pendorong terkuat dalam pembabitan bidang teknikal Ku Noor Azila.
SUAMI pendorong terkuat dalam pembabitan bidang teknikal Ku Noor Azila.

"Saya juga kerap dibawa bapa membantu membuat kerja yang biasa buruh binaan lakukan. Ikat batu, pasang atap dan sebagainya untuk bina rumah atau bangunan. Apabila saya mahu jalankan perniagaan berbeza, saya pilih untuk ceburi bidang yang hampir sama.

"Bukan sahaja tidak terbeban, malah urusan menjadi lebih mudah kerana saya sudah tahu sedikit sebanyak bidang berkenaan dan pelajari kuasai kemahirannya," katanya.

Selain bapa, ibunya juga arif dengan minatnya terhadap aktiviti lasak termasuk pembabitan dalam sukan permotoran.

"Ibu saya juga kerap berseloroh saya adalah anak 'lelaki' dalam keluarga kerana memiliki personaliti lasak. Saya suka kerja bertukang dan lebih selesa dalam persalinan seluar.

"Kalau saya disuruh pakai baju kurung atau fesyen yang tampak terlalu feminin, saya akan menolak kerana pakaian sedemikian bagi saya menyebabkan pergerakan 'terbatas.'

"Saya juga sangat sukakan sukan permotoran sehingga menyandang jawatan penting termasuk Presiden Kelab Motosikal Wanita di Felda Keratong 6. Selain itu, saya juga Timbalan Presiden Kelab Motosikal Cross dan satu-satunya 'bunga' dalam kelab berkenaan," katanya.

Tidak hanya berkongsi kisah indah sahaja, beliau juga tidak lari daripada ujian apabila pernah menanggung hutang dilakukan pihak lain.

MAHIR menyelenggaran atau membaik pulih penghawa dingin.
MAHIR menyelenggaran atau membaik pulih penghawa dingin.

"Kalau cerita kisah pasang surut perniagaan, ada satu momen masih tidak boleh lupa sehingga hari ini. Ketika mula-mula mencari modal untuk memulakan perniagaan teknikal ini dengan modal perniagaan dari pinjaman Rakan Amanah Ikhtiar Malaysia.

"Saya bersama rakan kumpulan pernah menanggung hutang rakan Amanah Ikhtiar yang tidak bertanggungjawab sejumlah RM10,000. Individu itu memberi alasan meminjam untuk balik kampung halaman dan mulakan hidup selepas ada masalah dengan suami.

"Tidak lama selepas itu, wanita itu hilangkan diri dan nilai pinjaman itu ditanggung saya bersama rakan Amanah Ikhtiar Malaysia yang lain dalam kelompok yang sama.

"Memang saya tertekan, tetapi tetap alihkan masalah itu dengan bekerja keras. Lama-kelamaan perniagaan bertambah baik dan hutang dapat dilangsaikan," katanya.

Harapannya, wanita di luar lebih berani mencabar diri dan berdikari membolehkan kehidupan dinikmati lebih baik.

"Perkongsian saya ini diharap membuktikan tiada perkara mustahil untuk wanita melakukan perkara yang digemari meskipun di luar kebiasaan. Asalkan ia tidak mendatangkan mudarat untuk diri dan keluarga.

"Saya juga bersyukur dapat sokongan pasangan yang memahami apabila memberi restu dan sering menemani saya melakukan aktiviti digemari seperti konvoi motosikal dan menunggang motosikal lasak (motorcross)," katanya.

TIDAK gayat apabila kerja menyelenggara penghawa dingin memerlukan Ku Noor Azila memanjat.
TIDAK gayat apabila kerja menyelenggara penghawa dingin memerlukan Ku Noor Azila memanjat.

Malah, beliau juga tidak menyangka anak sulungnya, Balqish Nor Atia, 18, turut mengikut langkahnya apabila memilih pengajian dalam bidang kimpalan sebagai ilmu dan kemahiran untuk masa depan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Disember 2021 @ 6:20 AM