ZAWANI nekad lahir tenaga kerja muda berkemahiran.
ZAWANI nekad lahir tenaga kerja muda berkemahiran.
Siti Zarinah Sahib


TIADA pengalaman dalam bidang menyelenggara pendingin hawa namun Zawani Zakaria dan suaminya membuktikan mereka mampu menceburi perniagaan yang banyak dimonopoli bukan Bumiputera. Ujar wanita kelahiran Shah Alam ini, realitinya dia sama sahaja seperti wanita berkerjaya lain dan tidak pernah berimpian untuk memiliki perniagaan sendiri.

“Benar saya dilahirkan bukan dalam keluarga berniaga. Sejak kecil ayah mengharapkan saya kerja makan gaji dan berjaya bergelar akauntan,” katanya.

Apa yang membuatkan wanita ini bersungguh-sungguh untuk membuka perniagaan sendiri disebabkan ingin berdekatan dengan suami yang ketika itu bekerja di luar kawasan dalam bidang minyak dan gas.

“Selepas berbincang bentuk pekerjaan yang membuatkan kami dekat, apa yang terlintas di fikiran adalah berniaga. Saya dan suami cuba menyenaraikan jenis perniagaan yang mampu bertahan dalam jangka panjang. Akhirnya selepas meneliti beberapa perkara kami memilih untuk menjalankan perkhidmatan menyelenggara pendingin hawa kerana tidak memerlukan modal yang besar.

“Ia juga berdasarkan kajian yang menunjukkan dalam keadaan cuaca panas di Malaysia hampir semua rumah di kawasan bandar memiliki sekurang-kurangnya satu pendingin hawa di rumah,” katanya.

Menyedari langsung tiada pengalaman dalam bidang berkaitan, suami memulakan peranan dengan belajar menerusi individu yang mahir dalam bidang berkaitan. Hampir setahun dia mempelajari elok belok mengenai peralatan yang kini menjadi satu keperluan di rumah. Akhirnya selepas setahun dia menyatakan kesediaan untuk berhenti kerja.

“Ketika itu saya masih bekerja sebagai akauntan dan belum mempunyai keberanian untuk melepaskan kerjaya makan gaji. Saya berfikiran sekiranya berlaku sebarang masalah, saya masih boleh diharap bagi membantu kewangan keluarga,” katanya.

Daripada setahun ke setahun suami berjaya membuktikan kemampuannya sehingga perniagaan semakin berkembang. Bermula dengan seorang pekerja kemudian semakin bertambah sehingga dia menyatakan keperluan untuk memiliki pejabat sendiri.

“Saya terkejut apabila suatu hari suami membuka pelan perancangan sehingga lima tahun ke hadapan. Saya melihat betapa dia serius meneroka bidang ini sehingga mampu membentuk kumpulan pekerja mahir dalam bidang penyelenggaraan yang dulunya banyak dimonopoli bukan Bumiputera.

“Apabila suami bertanya sama ada saya sudah bersedia melepaskan jawatan, ketika itu saya masih ragu-ragu. Sehinggalah suatu hari saya menelek dan membelek pendingin hawa, melihat ilmu yang perlu saya timba. Lalu timbul semangat untuk membuktikan yang saya mampu melakukannya. Saya tekad melepaskan jawatan sebagai akauntan pada 2017 dan memberikan sepenuh tumpuan kepada perniagaan,” katanya.

ZAWANI bersama kakitangannya.
ZAWANI bersama kakitangannya.

CABARAN MENANGANI GOLONGAN MUDA

Bagi melancarkan perjalanan syarikat, perkara pertama dilakukan wanita ini adalah membuat promosi serta penjenamaan semula. Bermula dengan nama Kedai Air Cond, Zawani menukar kepada Geng Air Cond agar lebih mudah diingati.

“Alhamdulillah ia menunjukkan perkembangan positif apabila lebih ramai pelanggan mendapatkan maklumat menerusi dalam talian. Pelanggan juga mula bertambah daripada kawasan perumahan kini meluas kepada perindustrian, korporat, pusat beli-belah dan juga lapangan terbang. Kesemua ini memerlukan kefahaman dan cara pengendalian berbeza berbanding vendor yang lain,” katanya.

Sebagai wanita yang terbabit dalam kerjaya lelaki, Zawani mengakui dia perlu meluaskan pengetahuan kepada perkara asas mengenai pendingin hawa. Malah dia tidak boleh menolak sekiranya diminta untuk melakukan tugas-tugas asas ini.

“Sebenarnya sistem yang ditampilkan semuanya sama. Apa yang membezakannya adalah cara pengendalian menerusi tahap pengetahuan dan juga kemahiran.

“Syarikat kami berdaftar di bawah Jabatan Tenaga Manusia dan juga Jabatan Alam Sekitar. Jadi kesemua juruteknik yang mengendalikan kerja penyelenggaraan mempunyai pengalaman dalam bidang ini serta mengikut sistem operasi standard,” katanya.

Selain persaingan harga antara cabaran dalaman adalah ingin mengekalkan pekerja Bumiputera sebagai salah satu prinsip bagi mengetengahkan dan menaikkan ekonomi orang Melayu.

“Sebenarnya pekerja Bumiputera sangat hebat dalam kemahiran namun kurang diketengahkan. Jadi kami berazam untuk membawa sekali golongan ini ke peringkat yang lebih tinggi,” katanya.

Jelas Zawani, sejak menceburi bidang perniagaan cabaran paling besar adalah menangani tenaga kerja yang terdiri daripada golongan Gen Y. Sambil mengakui cara pendekatan yang diguna perlu berbeza.

BANGGA dengan pencapaian.
BANGGA dengan pencapaian.

“Golongan Gen Y kurang sabar, jadi kami perlu tahu keperluan mereka sebelum melatih anak muda ini menjadi pekerja yang lebih berdaya saing. Ada ketika kerenah mereka sukar dijangka. Apabila berlaku masalah mereka tidak boleh mengakui kesalahan itu. Ada pula terus mengambil keputusan berhenti kerja apabila ditegur ketua.

“Sudah tentu sebagai ketua kami perlu menggunakan pendekatan lebih berkesan dan berbeza untuk setiap individu bagi memastikan mereka bersemangat dan memberikan yang terbaik dalam kerjaya,” katanya yang memiliki lapan juruteknik dan dua pekerja di bahagian pentadbiran secara sepenuh masa.

Hampir dua tahun menjalankan perniagaan, walaupun berhadapan cabaran namun apa yang dilalui Zawani tidak pernah mematahkan semangat untuk memberikan yang terbaik serta meningkatkan kemahiran dalam bidang teknikal. Malah dia tidak pernah menyesal kerana meninggalkan kerjaya akauntan kerana merasakan berniaga bersama suami adalah pilihan yang tepat.

Selain membangunkan tenaga kerja muda agar mempunyai kemahiran tinggi, Zawani dan suami juga dalam perancangan membuka cawangan Geng Air Cond di beberapa negeri seperti Pulau Pinang dan Johor Baharu tidak lama lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Julai 2019 @ 5:00 AM