Muhamaad Razis Ismail

KALI pertama berhubung dengannya menerusi telefon, dengan tutur katanya yang lembut, penulis tidak dapat bayangkan bagaimana wanita ini boleh menjadikan tukang besi sebagai kerjaya pilihan.

Kebiasaannya kerja berat seperti ini dimonopoli lelaki kerana memerlukan kekuatan fizikal dan mental yang tinggi.

Bukan sahaja mampu menjalankan kerja mengimpal, dia juga perlu memotong, mencanai dan memasang produk yang dihasilkan.

Kadangkala dia perlu memulakan kerja jam 12 tengah malam untuk memasang pagar atau jeriji besi bagi mengelakkan ia mengganggu operasi perniagaan pelanggan.

Bagaimanapun, Hannah Sarah Nordeen, 24, membuktikan bahawa wanita juga mampu menjalankan kerja berat seperti lelaki.

Ketika penulis tiba, Hannah Sarah sibuk menjalankan kerja mengimpal pagar di kedai milik suaminya, Shafie Mamat, 35, di Kampung Kubang Kual, Rantau Panjang.

Sambil berbual, tangan Hannah Sarah cukup lincah mengimpal besi untuk memastikan tempahan pagar daripada pelanggannya disiapkan dalam masa ditetapkan.

 HANNAH Sarah belajar mengimpal daripada suaminya.
HANNAH Sarah belajar mengimpal daripada suaminya.

Hannah Sarah berkata, dia menjadi tukang besi sejak enam tahun lalu kerana minatnya yang mendalam terhadap pekerjaan lasak sejak dari kecil.

Sebelum ini, dia bekerja sebagai pembantu am di restoran makanan segera sebelum berhenti kerana tidak kena dengan jiwanya.

“Saya tidak pernah mengikut pembelajaran secara formal berkenaan teknik mengimpal. Semuanya belajar secara sendiri daripada suami.

“Pada awalnya kerja mengimpal besi sangat rumit kerana saya perlu memotong besi untuk menjadikan bentuk dan ukuran yang dikehendaki.

SHAFIE (kiri) terus memberi tunjuk ajar kepada isterinya, Hannah Sarah.
SHAFIE (kiri) terus memberi tunjuk ajar kepada isterinya, Hannah Sarah.

“Alhamdulillah, dalam masa tiga bulan saya mampu melakukan sendiri kerja mengimpal besi termasuk untuk membuat pagar rumah, tangga dan pintu jeriji besi,” katanya.

Menurutnya, biarpun ramai orang beranggapan kerja ini tidak sesuai kepada wanita kerana perlu bergelumang dengan minyak dan panas namun ia menghasilkan kepuasan serta pendapatan lumayan.

“Setiap hari saya berdepan persepsi negatif masyarakat yang pelik melihat seorang wanita boleh melakukan kerja mengimpal.

“Saya sudah lali dengan perkara itu dan hanya mampu buktikan melalui hasil kerja yang dilakukan,” katanya.

Anak kedua daripada empat beradik itu mengakui sebagai wanita dia tidak memiliki kekuatan seperti lelaki.

“Bagaimanapun, ia tidak semestinya menjadi penghalang. Pada saya kelebihan wanita ini adalah mereka cukup ‘cerewet’ dan teliti dalam menjalankan kerjanya.

“Daripada situ, saya akan pastikan setiap produk yang dihasilkan termasuk pekerja lain mesti berkualiti. Saya sentiasa pasang niat, bahawa mencari rezeki sambil membantu orang lain yang memerlukan,” katanya.

Ditanya mengenai perancangan masa depan, Hannah Sarah berhasrat untuk mendalami teknik mengimpal ke peringkat lebih tinggi.

PEMERIKSAAN ke atas pagar yang sudah siap dilakukan Hannah Sarah.
PEMERIKSAAN ke atas pagar yang sudah siap dilakukan Hannah Sarah.

“Pada masa sama, saya akan cuba kutip seberapa banyak pengalaman dalam mengembangkan perniagaan ini bersama suami,” katanya.

Sementara itu, Shafie berkata, dia sentiasa memberi sokongan sepenuhnya terhadap minat isterinya dengan kerja lasak.

“Sebelum ini, isteri hanya melihat sahaja saya membuat kerja, sebelum secara perlahan-lahan, dia pelajari teknik mengimpal.

“Tidak sangka dalam tempoh tiga bulan, dia mampu menguasai teknik mengimpal dengan baik.

“Melihat kesungguhannya itu, saya membenarkannya menjadikan tukang besi sebagai kerjaya asalkan tidak mengabaikan tanggungjawab sebagai isteri,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 January 2020 @ 6:00 AM