myMetro

Kuala Lumpur: Cuaca panas terik dan kering mengakibatkan peningkatan permintaan elektrik hampir di seluruh negeri di Semenanjung dan ia secara tidak langsung mempengaruhi tabiat penggunaan peralatan elektrik khususnya pendingin hawa dalam kalangan pengguna domestik.

Ramai pengguna yang merasai bahang panas akan menghidupkan pendingin hawa untuk tempoh yang panjang bagi merendahkan suhu dalam rumah berbanding penggunaan sebelum fenomena El Nino ini melanda.

Ini dapat dilihat apabila permintaan elektrik untuk Disember tahun lalu hingga Mac tahun ini meningkat.

Ketua Kluster Kejuruteraan, Teknologi dan Alam Bina Prof Datuk Dr Ahmad Darus berkata, pendingin hawa secara relatifnya menggunakan lebih banyak elektrik berbanding peralatan lain.

Ini kerana pendingin hawa menggunakan kompresor yang digerakkan oleh motor untuk penjanaan udara sejuk dan proses itu menggunakan jumlah tenaga elektrik yang tinggi.

“Setiap kali kita menghidupkan pendingin hawa, kompresor akan bergerak dan ketika itu jumlah tenaga elektrik yang digunakan akan tinggi.

“Pendingin hawa tidak seperti peralatan elektrik lain seperti lampu yang menggunakan jumlah tenaga yang rendah memandangkan ia tidak mempunyai motor untuk dihidupkan,” katanya kepada Harian Metro ketika dihubungi, di sini, semalam.

Berdasarkan satu carta kadar penggunaan elektrik, jelas memperlihatkan terdapat kenaikan mendadak terutamanya di kawasan berpendudukan padat seperti Selangor, Johor, Kedah, Pulau Pinang dan Perak.

Kenaikan mendadak penggunaan domestik itu dipercayai berpunca daripada peralatan penyejuk elektrik iaitu pendingin hawa yang menggunakan jumlah tenaga lebih tinggi.

Ahmad berkata, peningkatan penggunaan domestik di beberapa negeri seperti Selangor mungkin berpunca daripada keadaan alam sekitar yang kurang kawasan hijau sebagai ‘penampan’ zon haba.

Selain itu, beliau berkata, kawasan itu juga mempunyai jumlah kediaman tinggi seperti kondominium dan pangsapuri yang mengalami keadaan panas berbanding rumah biasa.

“Sudah pasti kawasan itu, penghuninya menggunakan pendingin hawa dalam tempoh serta unit yang banyak daripada rumah biasa,” katanya.

Menurutnya, pengguna harus bijak dalam menggunakan peralatan elektrik yang menggunakan jumlah tenaga yang tinggi seperti mengehadkan penggunaannya untuk sesuatu tempoh.

“Cuba bayangkan jika sebuah rumah mempunyai tiga buah bilik dan setiap bilik mempunyai pendingin hawa, sudah pasti berlaku kenaikan kadar elektrik secara mendadak.

“Pengguna perlu lebih bijak dengan cara mengehadkan penggunaan untuk tempoh tertentu saja. Kita tidak dapat nafikan bahawa kenaikan itu berlaku tetapi kita boleh mengawalnya jika bijak,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 April 2016 @ 5:38 AM