TEKNIK solekan ini juga sesuai digayakan pemilik mata kecil atau mata kucing.
TEKNIK solekan ini juga sesuai digayakan pemilik mata kecil atau mata kucing.
Siti Zarinah Sahib

Dalam budaya Arab, kecantikan wanita sangat dihargai. Memiliki mata besar dan galak, hidung mancung dan bibir penuh, hampir semua mereka memiliki wajah rupawan terutama apabila dikenakan solekan. Tidak hairan mengapa mereka mengenakan niqab agar kecantikan dilindungi daripada pandangan mata lelaki nakal.

Pemakaian niqab juga menjadikan hiasan mata wanita Arab agak ‘berat’ dengan calitan rona pembayang mata yang gelap. Sekali pandang selain menampilkan elemen anggun dan menggoda, solekan wanita Arab juga memberikan kesan dramatis serta sesuai untuk acara tertentu terutama pada waktu malam.

Menurut jurusolek profesional Wan Abdul Adziim Wan Jaafar atau lebih dikenali sebagai Azim, solekan ala wanita Arab agak unik kerana kesudahannya akan memperlihatkan gaya lebih ‘misteri’ namun cantik.

Ini kerana dalam kebudayaan Arab, seperti dijelaskan sebelumnya, niqab sangat penting. Oleh itu bagi membuatkan mata tampak hidup dan seimbang pada bahagian wajah, karakter paling utama adalah garis hitam tebal mengelilingi mata.

“Malah bagi menampilkan wajah lebih anggun dengan mata galak bersinar, solekan mata kucing boleh diaplikasikan yang berfungsi memanjangkan bentuk mata, namun jika ingin tampil lebih semula jadi anda boleh menyederhanakan solekan mata dengan mengurangi intensiti warna pembayang mata tetapi menebalkan celak,” katanya.

Kata Azim, selain menggunakan rona gelap seperti hitam, coklat, biru gelap, tembaga, keemasan dan hijau pekat, solekan yang disudahi palitan berkilat (emas atau perak) pada bahagian mata ia pasti menimbulkan kesan tersendiri.

Untuk alis pula lakaran menggunakan celak pensel bagi membentuk alis runcing atau memiliki sudut sangat diperlukan bagi menjadikan solekan wanita Arab nampak sempurna.

Ini bersesuaian dengan alis semula jadi mereka yang tebal dan hitam. Penggunaan bulu mata palsu juga akan mewujudkan kesan lebih menyerlah pada bahagian mata. Ia membuatkan mata tampak lebih hitam, besar dan menawan terutama sekiranya memakai niqab.

“Hiasan mata smokey dengan pemakaian celak hitam pekat menjadi tanda pengenalan bagi solekan wanita di Timur Tengah. Rahsia mendapatkan garisan celak ini boleh dilakukan menggunakan celak berbentuk cecair kerana ia memiliki tekstur lembut, tetapi hasilnya sangat pekat. Untuk bahagian bawah mata pula celak mata putih, hijau, biru atau perak boleh diletakkan bagi menampakkan lebih berseni dan sempurna,” katanya.

Selain memakai celak, wanita Timur Tengah juga sering menggunakan maskara untuk mendapatkan bulu mata lebih lentik. Walaupun mereka sudah dianugerahi ulu mata tebal dan hitam, sehingga ada kala tidak perlu menggunakan bantuan produk kecantikan tetapi maskara dapat memperkemaskan solekan.

Biarpun teknik solekan gelap sering digayakan pada waktu malam, namun pemilihan warna bersesuaian misalnya, coklat atau tembaga bersama alas pembayang mata keemasan, akan menyerlahkan kejelitaan pada waktu siang. Teknik solekan ini juga sesuai digayakan pemilik mata kecil atau mata kucing sekali gus menjadikan mata lebih besar dan kelihatan ‘tajam’.

Namun sebelum memberi tumpuan pada solekan mata, sapuan bedak asas juga sama penting. Wanita dinasihatkan memilih bedak asas jenis cecair dan sapu menggunakan berus besar untuk mendapatkan kesan lebih rata. Sapuan bedak haruslah tidak terlalu tebal.

“Agar solekan mata tahan lebih lama, sapukan asas pembayang mata terlebih dahulu. Bagi yang bermata bundar, sapukan rona mata gelap pada penjuru mata dan lukis sekelilingnya menggunakan penggaris mata. Bagi mengelakkan garisan kelihatan comot, gunakan penggaris mata jenis pensel,” katanya.

Selepas solekan mata sudah disiapkan sapukan pemerah pipi dan terangkan pada bahagian tulang pipi bagi menampakkan senyuman lebih menonjol. Akhir sekali pakai gincu merah terang dilapisi dengan pengilat bibir untuk kesan seksi dan menyerlah.

“Pilih pakaian bersesuaian, terutama rona gelap bagi memenuhi tema acara makan malam anda. Berjalanlah dengan penuh yakin, dan berikan senyuman paling manis ketika bertemu tetamu lain,” kata Azim.

Petua melebatkan bulu kening:

1 . Daun lidah buaya

Ambil daun lidah buaya, ramaskan hingga melekit dan sapukan pada kening setiap malam. Anda akan berasa sedikit gatal tetapi ia akan memberikan hasil mengagumkan.

2. Minyak buah keras

Buang dulu kulit buah keras, kemudian bakar buah keras sehingga kehitaman dan keluar minyak. Sapukan minyak buah keras pada bulu kening dua kali sehari. Amalkan selama seminggu.

3 . Minyak lemak ayam

Sapukan minyak lemak ayam pada bulu kening. Amalkan dua kali sehari. Walaupun petua ini seperti tidak masuk akal tetapi, ia berkesan melebatkan bulu kening anda.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Mac 2018 @ 10:14 AM