BERSAMA ibu bapa yang banyak memberi sokongan dan dorongan.
BERSAMA ibu bapa yang banyak memberi sokongan dan dorongan.
JURUTERBANG helikopter memerlukan kemahiran teknikal dan pengetahuan mengenai helikopter.
JURUTERBANG helikopter memerlukan kemahiran teknikal dan pengetahuan mengenai helikopter.
Muhamaad Razis Ismail


KISAH pembabitannya sebagai juruterbang helikopter pelantar minyak agak unik kerana ia bukan cita-cita sebenar selepas menamatkan persekolahan.

Pada mulanya anak jati Banting, Selangor ini ingin menjadi kru kabin, namun dihalang ibunya sebelum Nur Liyana Yen Adnan menukar perancangan ingin menjadi juruterbang.

Namun, ibunya tetap risau dengan keputusan Nur Liyana yang masih muda ketika itu kerana kerjaya ini dilihat agak berisiko, bahaya selain memerlukan kos yang tinggi.

Bagaimanapun, anak bongsu daripada empat beradik ini tetap tekad dengan keputusan itu dan pernah 'merajuk' hampir setahun sebelum ibunya bersetuju memberi lampu hijau untuk mengejar cita-cita itu.

Dia tidak mensia-siakan peluang diberikan apabila membuktikan kemampuan diri dalam bidang penerbangan negara dengan menjadi wanita termuda memperoleh pangkat kapten juruterbang helikopter pelantar minyak iaitu pada usia 28 tahun, tahun lalu.

BERGELAR kapten, kini tanggungjawab lebih besar untuk memastikan penerbangan berjalan lancar.
BERGELAR kapten, kini tanggungjawab lebih besar untuk memastikan penerbangan berjalan lancar.

Difahamkan, selain Nur Liyana hanya ada tiga juruterbang helikopter pelantar minyak wanita di negara ini.

Nur Liyana berkata, ketika mendaftar masuk ke sekolah penerbangan, dia memilih menjadi juruterbang kapal terbang.

Katanya, bagaimanapun situasi semasa yang melihat peluang untuk terus mendapat pekerjaan selepas menamatkan pengajian agak sukar, dia mengubah haluan dengan memilih menjadi juruterbang helikopter.

"Alhamdulillah saya membuat keputusan tepat. Sebaik tamat pengajian, saya mendapat pekerjaan sebagai juruterbang helikopter di Langkawi yang menyediakan perkhidmatan 'joy ride' yang ingin menikmati keindahan pulau itu daripada atas.

"Selama setahun saya kumpul pengalaman dan jam penerbangan sebelum menyertai sebuah syarikat yang menyediakan perkhidmatan membawa pekerja pelantar minyak di Kerteh, Terengganu.

"Hampir enam tahun di syarikat terbabit, saya mengubah angin ke sebuah lagi syarikat yang berpangkalan di Kota Kinabalu, Sabah sehingga kini sebagai kapten," katanya.

MENJALANI latihan penerbangan bersama ‘Senior Training Captain’, Kapten Mohd Jaafar Hassan (kanan).
MENJALANI latihan penerbangan bersama ‘Senior Training Captain’, Kapten Mohd Jaafar Hassan (kanan).

Berkongsi mengenai pencapaiannya memperoleh pangkat kapten pada usia muda, Nur Liyana mengakui ia bukan satu perkara yang mudah kerana menuntut komitmen dan disiplin yang tinggi.

"Antara syarat yang diperlukan adalah memerlukan 3,000 jam penerbangan dengan pengalaman empat tahun menerbangkan helikopter ke pelantar minyak.

"Sebenarnya sejak mula bergelar juruterbang helikopter, saya sudah menetapkan objektif ingin memperoleh pangkat kapten itu sebelum berusia 30 tahun.

"Saya bersyukur kerana usaha keras saya mengumpul pengalaman dan jumlah jam penerbangan sepanjang berkecimpung dalam bidang itu membuahkan hasil.

"Malah, saya ingin buktikan bahawa wanita mampu melakukan apa sahaja asalkan mempunyai semangat dan keinginan yang tinggi untuk mencapai kejayaan," katanya.

Tambahnya, bergelar sebagai kapten, kini tanggungjawabnya menjadi lebih besar memastikan penerbangan berjalan lancar.

"Dalam setiap penerbangan, ada dua kru iaitu kapten dan pembantu juruterbang. Kami perlu bekerjasama dan membuat keputusan tepat untuk memastikan penerbangan berjalan dengan baik," katanya.

Katanya, menjadi juruterbang helikopter pelantar minyak mempunyai cabaran tersendiri.

"Apa sahaja yang berlaku sepanjang perjalanan pergi dan balik 'di bawah' adalah laut. Jika berlaku sebarang kecemasan sukar mencari tempat mendarat dalam masa singkat selain masalah komunikasi yang terhad.

"Oleh itu, juruterbang pelantar minyak memerlukan banyak latihan untuk memastikan kesiapsiagaan dalam menghadapi segala kemungkinan," katanya.

MENJALANI latihan penerbangan bersama ‘Senior Training Captain’, Kapten Mohd Jaafar Hassan (kanan).
MENJALANI latihan penerbangan bersama ‘Senior Training Captain’, Kapten Mohd Jaafar Hassan (kanan).

Jelasnya, sudah menjadi kewajipan sebelum membuat penerbangan, persiapan rapi dilakukan bukan sahaja terhadap helikopter dan pembantu juruterbang, malah keadaan cuaca di pelantar minyak dipantau rapi.

"Cuaca di sana sentiasa berubah dengan cepat berbanding di darat. Saya sendiri pernah alami pengalaman cemas melalui cuaca buruk sehingga terpaksa berpatah balik.

"Oleh itu, sebelum penerbangan, saya perlu dapatkan maklumat setiap jam dari pelantar berkenaan keadaan cuaca terkini untuk memastikan perjalanan berjalan lancar," katanya.

Mengulas lanjut, juruterbang helikopter yang baik juga perlu mempunyai kemahiran teknikal dan pengetahuan mengenai helikopter.

"Menguasai kemahiran seperti penerbangan navigasi, pengendalian helikopter dalam segala keadaan seperti kecemasan, mengharungi cuaca yang buruk dan sebagainya adalah sangat penting," katanya.

Ditanya perancangan masa hadapan, Nur Liyana ingin mengembangkan kerjaya menjadi jurulatih penerbangan helikopter untuk melahirkan lebih ramai juruterbang terutama wanita di negara ini.

"Pada usia sekarang saya cuba kumpul pengalaman dan jam penerbangan sebanyak mungkin kerana saya sedar apabila sampai satu tahap saya mungkin sudah tidak mampu terbang lagi.

"Dengan ilmu dan pengalaman yang ada, saya ingin kongsikan dengan menjadi jurulatih atau tenaga pengajar di sekolah penerbangan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Julai 2023 @ 7:00 AM