EMPAT wanita luar biasa yang terbabit dalam penerbangan (dari kiri) Nur Syamimi, Munirah, Izzah Fuzaina dan Nurfarah.
EMPAT wanita luar biasa yang terbabit dalam penerbangan (dari kiri) Nur Syamimi, Munirah, Izzah Fuzaina dan Nurfarah.
Muhamaad Razis Ismail


WANITA dan bidang penerbangan sering dikaitkan dengan kerjaya sebagai pramugari. Kini, keadaan itu mula berubah apabila tugas sebagai juruterbang, jurutera dan koordinator pemulihan pesawat yang biasanya dimonopoli lelaki mula mendapat tempat dalam kalangan wanita di negara ini.

Syarikat Malaysia Aviation Group (MAG) antara yang memberi peluang kepada wanita untuk bersama-sama menerbangkan nama negara ke mata dunia.

Buktinya, empat wanita luar biasa yang ini mewakili kelompok minoriti dengan memiliki kepakaran dalam bidang masing-masing. Mereka antara contoh individu yang berjaya memecahkan tembok pemisah jantina untuk bekerja dalam bidang penerbangan yang dikuasai lelaki.

Mereka adalah juruterbang, Kapten Nurfarah Syaza Yusuf, 29, juruterbang kanan, Munirah Muhsin, 35, jurutera pesawat, Izzah Fuzaina Yusof, 25, dan koordinator pemulihan pesawat, Nur Syamimi Zaidi, 31, yang mempunyai peranan besar dalam MAG.

NUR Syamimi tidak kekok biarpun bekerja dengan lelaki
NUR Syamimi tidak kekok biarpun bekerja dengan lelaki

Bagi Izzah Fuzaina yang berasal dari Tawau, Sabah kerjaya sebagai jurutera pesawat menjadi impiannya sejak berusia 14 tahun lagi.

“Sejak kecil saya amat meminati kapal terbang dan sering mencari maklumat mengenai bidang penerbangan di Internet.

“Selepas menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) saya terus membuat permohonan untuk menyambung pelajaran di Malaysia Airlines Training Centre.

“Alhamdulillah, saya berjaya dalam temu duga dan selepas lima tahun di sana, bermula pada 201

7, saya berjaya mencapai cita-cita menjadi jurutera pesawat,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Menurutnya, tidak ramai wanita terbabit dalam bidang itu kerana memerlukan kekuatan fizikal dan mental selain perlu bergelumang dengan minyak dan bahang.

IZZAH Fuzaina perlu bersama rakan sekerja yang kebanyakan lelaki dalam bidang kejuruteraan penerbangan
IZZAH Fuzaina perlu bersama rakan sekerja yang kebanyakan lelaki dalam bidang kejuruteraan penerbangan

“Tanggungjawab sebagai jurutera sangat besar kerana kami diamanahkan untuk memastikan pesawat dapat terbang dan mendarat dengan selamat. Semuanya perlu sempurna dalam masa yang terhad dan setiap hari kami perlu bersedia berdepan cabaran baru.

“Semua dilayan sama rata. Saya bersyukur biarpun wanita tidak ramai, kami dapat penuhi tanggungjawab diberikan dengan baik tanpa membebankan rakan sekerja lain,” katanya.

Dalam pada itu, Kapten Nurfarah Syaza berdepan tugas mencabar kerana bertanggungjawab menerbangkan pesawat Twin Otter atau lebih dikenali sebagai Viking milik MASwings di sekitar Sabah dan Sarawak.

Antara cabaran yang perlu dihadapi adalah keadaan bentuk muka bumi yang bergunung-ganang, berangin, keadaan cuaca sukar dijangka selain perlu mengendalikan pesawat di lapangan terbang yang mempunyai landasan dikatakan antara terpendek di dunia.

“Sebagai kapten, keselamatan penumpang dan pembantu juruterbang adalah di bawah tanggungjawab saya dan sedikit kesilapan boleh mengakibatkan kehilangan banyak nyawa. Namun dengan latihan diberikan jurulatih penerbangan, saya mampu mengendali pesawat dengan yakin.

“Saya bersyukur syarikat yakin dengan kemampuan dimiliki dengan memberi peluang kepada saya untuk berdiri sebaris dengan juruterbang lelaki yang saya anggap mereka sebagai keluarga sendiri,” katanya.

BIARPUN wanita, Izzah
BIARPUN wanita, Izzah

Sejujurnya impian zaman kanak-kanak ialah ingin menjadi pramugari namun dia memilih menjadi juruterbang untuk memenuhi impian ayahnya.

“Pada mulanya saya keberatan kerana kerjaya ini dimonopoli lelaki dan saya antara kumpulan minoriti wanita yang mencuba nasib dalam bidang ini.

“Tapi selepas bertapak dalam industri ini hampir 10 tahun, saya berasa amat selesa dan bersyukur kerana berjaya menunaikan impian ayah selain menyumbang bakti kepada rakyat Sabah dan Sarawak,” katanya.

Rasa bersyukur turut dipanjatkan Juruterbang Kanan, Munirah kerana berjaya mencapai cita-cita sebagai juruterbang wanita biarpun berdepan pelbagai cabaran.

“Saya bermula sebagai pramugari dan apabila berada di luar negara, saya mengetahui mengenai juruterbang wanita sekali gus membuatkan semangat saya semakin membara untuk mencapai cita-cita.

“Bermula daripada itu, saya mula mencari sekolah latihan penerbangan dan memperoleh lesen juruterbang komersial. Namun saya terpaksa menjadi suri rumah selama beberapa tahun kerana pada ketika itu, syarikat penerbangan masih terhad.

“Pada 2016, saya mendapat tawaran sebagai juruterbang di sebuah syarikat penerbangan dan pada tahun lalu saya sertai MAB,” katanya.

Menurutnya, sebagai isteri dan ibu, tugas sebagai juruterbang menjadi lebih mencabar kerana dia perlu bijak membahagikan masa antara kerjaya dengan keluarga.

“Kadangkala kerana tuntutan tugas saya perlu tinggalkan dua anak dalam tempoh yang lama.

“Mujurlah, suami saya yang juga juruterbang sangat memahami dan keluarga saya juga sentiasa membantu menjaga anak dengan baik. Sokongan keluarga dan majikan sangat membantu untuk saya seimbangkan antara karier dan keluarga,” katanya.

SEBELUM berlepas,sebagai juruterbang Munirah turut membuat  pemeriksaan awal
SEBELUM berlepas,sebagai juruterbang Munirah turut membuat pemeriksaan awal

Sementara itu, tugas Nur Syamimi sebagai koordinator pemulihan pesawat tidak kurang penting dalam mengawasi kakitangan di bawah seliannya yang berada di ‘ramp’ dan ‘gate’ rupanya dapat melakukan kerja dengan baik.

“Antara cabaran yang perlu dihadapi adalah, majoriti pekerja adalah lelaki yang bekerja lebih lama daripada saya sebelum ini.

“Saya perlu belajar hampir beberapa bulan bagaimana cara terbaik untuk bercakap dan memberi arahan kepada mereka dalam memastikan kerja dapat dilakukan dengan baik.

“Pada masa sama, saya perlu sentiasa bertenang dan perlu bijak membuat sebarang keputusan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Mac 2020 @ 7:00 AM