Balqis Jazimah Zahari

Ipoh: "Angin menolak dari semua arah, kedua-dua pedal helikopter tidak dapat dikawal dan dalam keadaan hilang kawalan itu saya terpaksa teruskan pendaratan cemas," kata Kapten Fedzrol Norazam, 43.

Juruterbang itu yang dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun, di sini menceritakan kembali insiden cemas helikopter kendaliannya terhempas di Brinchang dekat Tanah Rata, semalam.

Pesawat turut dinaiki lima petugas kesihatan bagi Perkhidmatan Pasukan Doktor Udara (PDU) dan mereka dalam perjalanan pulang ke daerah ini dari Kampung Gawin, Gua Musang.

Menurutnya, perjalanan pada tengah hari itu melalui laluan biasa dari Kampung Gawin ke Kampung Raja dan terus ke Ipoh.

"Tetapi ketika di Kampung Raja sudah hujan, jadi saya terpaksa melencong ke kawasan yang tidak hujan untuk melepasi Banjaran Titiwangsa di kawasan pergunungan Cameron Highlands.

"Banyak tempat tapi kita memilih yang paling hampir," katanya ketika ditemui selepas menerima lawatan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin hari ini.

Akuinya, ketika itulah pesawatnya menerima penolakan angin luar biasa yang bermula dari bawah.

"Saya sudah rasa penolakan angin dari bawah tetapi saya tidak beritahu penumpang kerana takut mereka panik.

"Saya cuba mengawal helikopter sebaik mungkin, namun sedikit demi sedikit ia semakin susah untuk dikawal... helikopter semakin naik ke atas sedangkan sepatutnya ia ke bawah," katanya.

FEDZROL ketika menerima lawatan Khairy dan pegawai Kementerian Kesihatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) hari ini. FOTO Bernama.
FEDZROL ketika menerima lawatan Khairy dan pegawai Kementerian Kesihatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) hari ini. FOTO Bernama.

Fedzrol berkata, dia juga cuba untuk berpatah balik tetapi usahanya gagal apabila berdepan angin yang menolak helikopter merapat ke arah bukit di ketinggian kira-kira 5,000 kaki.

"Saya tidak dapat mengawal sehingga terpaksa menarik minyak sampai habis, helikopter ketika itu sudah berada dalam keadaan tidak stabil untuk terbang.

"Dari segi kelajuan, semakin lama semakin perlahan, angin menolak dari semua arah dan apabila semakin hampir ke arah bukit, saya tiada pilihan lagi dan terpaksa membuat pendaratan cemas," katanya.

Fedzrol turut mengakui permukaan bumi yang tiada kawasan lapang lebih menyukarkan helikopter untuk mendarat cemas dan beliau menggunakan kemahirannya untuk memastikan hentaman bermula dari ekor pesawat, supaya kabin selamat.

Katanya, beliau juga tidak sedar ketika helikopter terhempas dan tidak tahu berapa lama pengsan.

"Saya hanya tersedar apabila dengar orang berulang kali memanggil 'kapten'. Rupanya sayalah orang terakhir dibawa keluar daripada pesawat.

"Paling penting saya rasa bersyukur kerana semua selamat, saya minta maaf kerana ini semua terjadi, mungkin ada juga sebahagiannya kesilapan saya.

"Namun ini juga sudah ketentuan Tuhan," katanya yang mengalami pendarahan di kepala.

Walaupun melalui insiden itu, beliau masih bersemangat untuk meneruskan penerbangan selepas ini dan tidak mahu mempersia-siakan kebolehannya selaku juruterbang berpengalaman.

"Kalau esok ini mereka (majikan atau pihak berkaitan) suruh saya terbang, saya akan terbang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Oktober 2022 @ 7:20 PM