Muhamaad Razis Ismail

Bukan sesuatu perkara yang mudah untuk mengendalikan helikopter kerana juruterbang memerlukan pakej kemahiran dan teknikal yang tinggi.

Bagaimanapun bagi Sarah Sufiana Saroji, 32, cabaran itu menjadi pendorong kepadanya bergelar juruterbang helikopter sebagai kerjaya sepenuh masa.

Kini sudah enam tahun dia bertugas sebagai juruterbang helikopter Weststar Aviation di Kota Bharu, Kelantan yang bertanggungjawab menerbangkan pekerja dan kakitangan ke pelantar minyak dengan helikopter jenis Agusta Westland 139.

Selain itu, dia dan juruterbang lain di Weststar Aviation juga terbabit dalam melaksanakan misi penerbangan kecemasan medikal atau dikenali sebagai 'medivac' pada bila-bila masa diperlukan.

Anak kedua daripada empat beradik ini berkata, minat terhadap helikopter timbul selepas beberapa tahun berada dalam bidang penerbangan.

"Saya mendapati terdapat kerumitan yang berbeza dalam sesebuah helikopter berbanding kapal terbang. Perkara itu membuatkan saya tertarik dengan cabaran untuk menguasai mesin yang rumit ini.

"Set kemahiran juruterbang bagi pesawat jenis helikopter ini adalah lain daripada yang lain yang memerlukan tahap kemahiran penerbangan dan teknikal yang lebih tinggi," katanya.

Menurutnya, dia juga ingin membuktikan kepada diri sendiri dan orang lain bahawa wanita juga mampu berjaya dalam bidang penerbangan, khususnya dalam bidang penerbangan helikopter.

"Bilangan juruterbang helikopter wanita di dunia ini adalah jauh lebih rendah jika nak dibandingkan dengan bilangan juruterbang pesawat.

"Saya bangga menjadi sebahagian dari sebilangan kecil itu dan berharap bilangan ini akan bertambah di masa hadapan," katanya.

JURUTERBANG helikopter perlu mempunyai kemahiran teknikal dan pengetahuan mengenai helikopter.
JURUTERBANG helikopter perlu mempunyai kemahiran teknikal dan pengetahuan mengenai helikopter.

Dia bersyukur kerana penerimaan keluarga terhadap kerjayanya sebagai juruterbang helikopter sangat memberangsangkan.

"Saya sangat bertuah mempunyai ibu bapa, keluarga dan rakan-rakan yang sentiasa memberi input yang positif. Tanpa sokongan, doa dan kekuatan yang diberikan, sukar untuk saya berada di tahap ini.

"Keluarga saya juga memahami setiap risiko dan cabaran yang mungkin akan saya hadapi dalam dunia kerjaya sebagai seorang juruterbang helikopter," katanya.

Jelasnya, pengalaman menjalankan misi yang mencabar memberikannya motivasi untuk terus bekerja dengan gigih dan memberikan yang terbaik.

"Melalui setiap penerbangan dan tugas yang dijalankan, sentiasa ada perkara baru yang dapat saya pelajari.

"Apabila berjaya membawa setiap penumpang pulang bertemu ahli keluarga dan mendarat dengan selamat adalah satu pencapaian yang gembira bagi setiap juruterbang," katanya.

Mengulas lanjut, bukan mudah untuk menjadi juruterbang helikopter kerana ia memerlukan kombinasi latihan yang rumit dan berterusan dan pengalaman yang luas.

"Minat dalam dunia penerbangan amatlah diperlukan kerana ia boleh membuatkan pekerjaan menjadi lebih seronok dan bernilai.

PENGALAMAN membawa pesakit Covid-19.
PENGALAMAN membawa pesakit Covid-19.

"Juruterbang helikopter yang baik juga perlu mempunyai kemahiran teknikal dan pengetahuan mengenai helikopter. Menguasai kemahiran seperti penerbangan navigasi, pengendalian helikopter dalam segala keadaan seperti kecemasan, mengharungi cuaca yang buruk dan sebagainya adalah sangat penting.

"Selain itu, kecekapan dalam mengendalikan situasi darurat, kepimpinan dan kerjasama dalam pasukan adalah antara kemahiran yang diperlukan," katanya.

Sepanjang terbabit dalam bidang penerbangan, Sarah mengakui melalui beberapa pengalaman yang tidak boleh dilupakan termasuk pernah diarahkan bersama kapten menerbangkan helikopter ke pelantar minyak pada lewat malam untuk operasi kecemasan.

"Kami bersama pegawai perubatan terpaksa mengharungi cuaca buruk dan pada sebelah malam untuk membawa pulang seorang pekerja yang mengalami masalah serangan jantung.

"Selain itu, saya dan rakan setugas turut ditugaskan untuk menerbangkan helikopter ketika seluruh dunia dilanda pandemik Covid-19 untuk membawa penumpang yang disahkan positif.

SARAH (dua dari kanan) bersama rakan setugas.
SARAH (dua dari kanan) bersama rakan setugas.

"Pengalaman penerbangan untuk membawa pegawai bertugas serta peti undi ke kawasan kawasan pedalaman ketika musim pilihan raya juga antara pengalaman yang sangat menarik untuk dikongsikan," katanya.

Sarah berharap pembabitannya dalam bidang ini dapat menggalakkan dan memotivasikan wanita lain di luar sana untuk mengambil langkah berani dan mencabar kemampuan diri mereka menceburi bidang yang didominasi kaum lelaki ini.

"Jangan takut untuk mencabar diri sendiri dan setiap wanita yang ingin berjaya perlu berani mencuba serta jangan biarkan persepsi orang lain menghalang impian anda. Teruskan untuk meningkatkan kemahiran dan kebolehan anda.

"Buktikan bahawa wanita juga boleh berdiri sama tinggi dengan kaum lelaki. Jika saya boleh, anda semua juga mampu untuk berjaya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Mei 2023 @ 7:00 AM