BERKEBUN adalah antara aktiviti ringkas yang sesuai dilakukan. - FOTO Google
BERKEBUN adalah antara aktiviti ringkas yang sesuai dilakukan. - FOTO Google
Profesor Madya Dr Nor Azlin Mohd Nordin


UMUM mengetahui bahawa penyakit strok mengakibatkan kesukaran untuk bergerak disebabkan keadaan lumpuh atau 'lemah' pada sebelah kanan atau kiri tubuh terutama tangan dan kaki.

Ada individu yang tidak mengalami masalah yang ketara untuk bergerak selepas strok, namun bilangannya amat kecil.

Manakala dalam kalangan individu yang masih mampu bergerak pascastrok, pergerakan keseluruhan lazimnya tidak secekap sebelum serangan strok disebabkan perubahan pada sifat otot, sendi dan saraf sensori.

Pergerakan sering kali amat meletihkan atau mendatangkan ketidakselesaan, terutama ketika aktiviti yang memerlukan tenaga seperti berjalan dan menaiki tangga.

Akibatnya, kebanyakan individu pascastrok memilih untuk membataskan pergerakan mereka dan hanya bergerak bila perlu.

Malangnya, amalan membataskan pergerakan ini menyebabkan otot bertambah lemah akibat kurang rangsangan untuk berkontraksi, seterusnya kelemahan otot ini meningkatkan lagi kesukaran untuk bergerak.

Keadaan ini berterusan dalam satu kitaran dan berisiko menyebabkan hilang keupayaan bergerak dalam jangka panjang terutama dengan meningkatnya usia.

Amalan membataskan pergerakan dalam kalangan individu pascastrok ini menyumbang kepada gaya hidup sedentari (tidak aktif) yang boleh menjurus kepada keterukan penyakit kardiovaskular, seterusnya insiden strok berulang dalam kalangan individu pascastrok.

Insiden serangan strok kali kedua atau kali ketiga dalam kalangan individu yang pernah mengalami strok menjadi semakin lazim di masa ini. Gaya hidup sedentari ini adalah punca utama selain daripada amalan pemakanan tidak sihat dan masalah menguruskan tekanan emosi.

Justeru, bagi mengekang kesan negatif akibat gaya hidup sedentari, individu pascastrok perlu didorong dan dibantu untuk kekal aktif secara fizikal.

INDIVIDU pascastrok perlu didorong dan dibantu untuk kekal aktif secara fizikal. - FOTO Google
INDIVIDU pascastrok perlu didorong dan dibantu untuk kekal aktif secara fizikal. - FOTO Google

RAMAI yang mengalami pascastrok memilih untuk membataskan pergerakan mereka. - FOTO Google
RAMAI yang mengalami pascastrok memilih untuk membataskan pergerakan mereka. - FOTO Google

Sebenarnya ada banyak aktiviti ringkas yang boleh dilakukan antaranya senaman di katil seperti berguling ke kanan dan ke kiri secara berulang dan senaman di kerusi seperti duduk-bangun secara berulang, aktiviti di halaman rumah seperti berkebun, berjalan santai di sekeliling rumah dan mencuci atau mengelap kenderaan mahupun aktiviti domestik seperti membersihkan persekitaran dalam rumah, menguruskan dobi dan sebagainya.

Bagi individu pascastrok yang mempunyai persekitaran luar rumah yang selamat, aktiviti berjalan santai di kawasan kejiranan amat digalakkan.

Penjaga atau ahli keluarga disaran membantu individu pascastrok untuk mengenal pasti aktiviti yang sesuai dengan minat dan kemampuan mereka dengan panduan dari ahli fisioterapi bertauliah.

Bagi individu pascastrok yang mempunyai penjaga atau ahli keluarga yang mampu memantau secara rapi, program senaman lengkap dan berstruktur boleh dilakukan di rumah dengan berpandukan risalah atau modul senaman yang dibekalkan ahli fisioterapi.

Penjaga atau ahli keluarga juga boleh dilatih memantau kesan senaman termasuk kesan sampingan ringan sementara yang mungkin dialami di peringkat awal seperti keletihan dan sengal otot.

Keupayaan penjaga atau ahli keluarga dalam membantu, menyelia serta memantau amalan senaman asas dalam kalangan populasi pascastrok sudah dibuktikan dalam banyak kajian di dalam dan luar negara.

Manfaat aktiviti fizikal termasuk senaman sudah tidak asing lagi bagi masyarakat umum. Kesan utama termasuk mengawal berat badan bagi mencegah obesiti, melancarkan peredaran darah lantas mengurangkan risiko penyakit kardiovaskular, menguatkan sendi dan otot serta stamina dan meningkatkan kesihatan minda.

Bagi individu pascastrok, aktiviti fizikal turut membantu memulihkan fungsi kognitif, keseimbangan badan, kualiti pergerakan tubuh dan kesihatan psikologi yang terjejas akibat strok.

Semua kesan positif ini menyumbang kepada keupayaan melakukan aktiviti harian dan kualiti hidup lebih baik, justeru pentingnya untuk memastikan individu terjejas kekal aktif selepas strok.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Mei 2023 @ 6:44 AM