PEGAWAI Pertama, Nur Waie Hidayah satu-satunya juruterbang wanita terbabit dalam operasi membawa vaksin Sinovac baru-baru ini.
PEGAWAI Pertama, Nur Waie Hidayah satu-satunya juruterbang wanita terbabit dalam operasi membawa vaksin Sinovac baru-baru ini.
Muhamaad Razis Ismail
razis@hmetro.com.my

BERITA penemuan vaksin memberi sinar baharu kepada dunia bahawa pandemik Covid-19 dapat ditangani dalam masa terdekat.

Pada 27 Februari lalu, jam 9 pagi pesawat Malaysia Airlines MH319 yang membawa bekalan vaksin Sinovac, dari China selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Sepang.

Bekalan vaksin yang diterbangkan menggunakan perkhidmatan MAS Kargo adalah yang kedua mendarat di negara ini selepas Pfizer-BioNTech tiba di KLIA melalui pesawat Malaysia Airlines MH604 pada 21 Februari.

Menariknya, salah seorang daripada lima juruterbang yang terbabit dalam operasi membawa vaksin Sinovac baru-baru ini adalah seorang wanita.

Pegawai Pertama, Nur Waie Hidayah Mohamad Rasidin, 23, ditugaskan mengendalikan pesawat Airbus 330-300 untuk penerbangan dari Beijing, China membawa bersama 'envirotainer' mengandungi 200 liter vaksin Sinovac ke negara ini.

Wanita kelahiran Kota Kinabalu, Sabah ini mengendalikan pesawat itu dari Lapangan Terbang Antarabangsa Beijing jam 2.30 pagi (waktu Malaysia) dan mendarat di KLIA, kira-kira jam 9 pagi.

BERSAMA juruterbang dan kru yang terbabit dalam operasi membawa vaksin.
BERSAMA juruterbang dan kru yang terbabit dalam operasi membawa vaksin.

Beliau ditugaskan untuk mengendalikan pesawat bersama empat juruterbang lain iaitu Kapten Datuk Tengku Ahmad Farizanudean Al-Haj, Pegawai Pertama, Chin Vun Ben untuk penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing, Kapten Mohamed Razif Abdul Aziz dan Kapten Khairul Syukri Khali untuk penerbangan pulang dari Beijing ke Kuala Lumpur.

Nur Waie Hidayah menyifatkan tanggal 27 Februari lalu adalah penerbangan yang cukup bermakna kepada dirinya apabila diberi peluang membawa vaksin untuk rakyat Malaysia biarpun masih baharu dalam bidang penerbangan.

Mengakui sangat gembira apabila menjadi sebahagian daripada sejarah negara kerana berjaya membawa pulang vaksin Covid-19 ke Malaysia dengan penerbangan Malaysia Airlines, MH319.

"Ia seperti penerbangan kargo yang lain, namun perasaannya lain, seperti kami membawa 'harapan' kembali ke Malaysia. Perasaannya sangat berbeza dan amat mengujakan.

"Apabila berjaya mendarat dengan selamat di KLIA, saya berasa sangat lega apabila berjaya menyelesaikan tanggungjawab yang diamanahkan rakyat di negara ini.

SEBELUM memulakan penerbangan.
SEBELUM memulakan penerbangan.

IBU bapa banyak memberi sokongan kepada Nur Waie Hidayah.
IBU bapa banyak memberi sokongan kepada Nur Waie Hidayah.

"Melihat kepulangan pesawat disambut sebaik tiba di Kuala Lumpur, membuatkan saya berasa sangat bangga apabila dapat menyumbang sesuatu kepada negara untuk menangani pandemik ini," katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Menurutnya, untuk membawa vaksin ini banyak persiapan dari pelbagai pihak bagi menentukan kejayaan operasi ini.

"Antaranya, kami perlu mempelajari mengenai 'envirotainer' iaitu bekas khas mengandungi vaksin jenis Sinovac yang berkemampuan mengekalkan suhu kandungan antara dua hingga lapan darjah Celsius.

"Saya berterima kasih kepada pasukan juruterbang yang masing-masing memainkan peranan penting untuk menjayakan misi ini dengan selamat," katanya.

Ditanya mengenai pembabitan dalam bidang penerbangan itu, sejak kecil, anak sulung daripada tiga beradik ini sangat suka melihat kapal terbang berlepas dan mendarat.

"Biarpun banyak kali melihat pengangkutan udara itu, saya tetap terpesona melihatnya.

"Sejak dari awal ibu bapa dan keluarga memberikan sokongan yang kuat dan menggalakkan saya untuk memilih kerjaya yang saya minat sehingga berjaya menjadi seorang juruterbang," katanya.

Mengulas lanjut, selepas menamatkan sekolah menengah pada 2014, beliau menyambung pengajian di Akademi Penerbangan Malaysia pada Januari 2015 dan berjaya mendapat lesen penerbangan dua tahun kemudian.

MEMINATI aktiviti berkuda.
MEMINATI aktiviti berkuda.

"Selepas beberapa siri temu duga dan sesi simulator dengan beberapa syarikat penerbangan tempatan, saya membuat keputusan untuk menyertai Malaysia Airlines pada Disember 2017.

"Pada Oktober 2018, saya tamat latihan dengan Malaysia Airlines dan secara rasmi menjadi pembantu juruterbang pesawat Boeing B737-800.

"Pada Disember 2019, saya mula dilatih mengendalikan pesawat Airbus A330 dan menamatkan latihan untuk pesawat A330 pada Ogos 2020. Kini saya adalah pembantu juruterbang pesawat A330," katanya.

Biarpun bekerja dalam bidang yang didominasi lelaki, Nur Waie Hidayah tidak kekok kerana dalam bidang penerbangan tiada perbezaan membabitkan jantina.

"Kami semua diberikan latihan dan prosedur sama. Jadi tidak timbul masalah jantina dalam bidang ini.

"Pada zaman ini, tanpa mengira jantina, kaum dan umur sekiranya seseorang itu berusaha, fokus serta komited pasti boleh mencapai apa yang diimpikan," katanya

.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Mac 2021 @ 7:00 AM