WAJAH ayu Nilam bersama motosikal kesayangannya.
WAJAH ayu Nilam bersama motosikal kesayangannya.
Nurul Sabrina Jamali


PEMBABITAN wanita dalam dunia permotoran bukan lagi asing dan gadis ini antara salah seorang daripadanya.

Didorong minat yang mendalam sejak kecil, Nurnilam Sari Syam, 20, begitu gemar memandu motosikal sehingga sanggup membeli motosikal model Yamaha MT-15.

Berdarah kacukan Indonesia, bagaimanapun gadis yang mempunyai empat adik beradik ini dilahirkan dan dibesarkan di Malaysia.

Beliau yang mesra disapa Nilam terdetik untuk memiliki MT-15 atas beberapa faktor termasuk perwatakannya yang lasak dan gemarkan cabaran.

"Saya mempunyai perwatakan sedikit berbeza daripada gadis lain kerana sedikit lasak dan suka mengenakan pakaian seperti 'gaya lelaki," kata gadis berwajah ayu itu.

Tanpa berselindung, akui Nilam, minatnya yang mendalam untuk menunggang motosikal kerana pada masa sama dapat mengatasi ketakutan dalam dirinya.

Berkongsi lanjut, Nilam mengakui mendapat dorongan daripada semua adik-beradiknya dan rakan-rakannya. Apatah lagi semuanya terdiri daripada lelaki.

"Disebabkan masih lagi bergelar mahasiswa di Universiti Selangor (UNISEL) dan atas faktor tiada kenderaan juga mendorong saya untuk membeli motosikal demi memudahkan saya untuk bergerak ke kampus.

"Pada mulanya ibu dan ayah saya hanya mencadangkan saya membeli motosikal model skuter kerana lebih selamat, tetapi saya berkeras untuk memilih MT-15 ini," katanya.

Lebih menarik, ketika sesi temu bual bersama penulis juga Nilam turut memaparkan kecekapannya mengendalikan motosikal MT-15.

Kelebihan itu turut ditambah dengan wajahnya yang fotogenik sekali gus memudahkan jurugambar Genes Gulitah merakam aksi Nilam.

Menurut Nilam, MT-15 itu mempunyai bentuk lampu futuristik, tangki minyak yang melengkung dan tempat duduknya mengunjur jelas menarik perhatian.

Nilam yang mempunyai pengikut lebih kurang 162,100 di TikTok, dilihat sering memuat naik kandungan khususnya menunggang MT-15 menuju ke destinasi menarik.

Kata Nilam, beliau sering menerima kata-kata semangat dan positif daripada pengikutnya di TikTok.

"Saya jarang mendapat kecaman, tapi lebih kepada kata-kata pujian daripada orang di luar sana kerana berani menunggang motosikal ini," katanya.

Kegigihan Nilam mendepani cabaran termasuk ketinggian dan berat MT-15 nyata mencetuskan inspirasi kepada gadis-gadis muda lain untuk turut memiliki motosikal seperti ini terutama pengikutnya di TikTok.

Apatah lagi motosikal MT-15 itu yang mempunyai saiz tempat duduk 810 milimeter (mm) dan memiliki berat 133 kilogram (kg).

"Bagaimanapun dari segi kedudukan menunggang, nyata ia amat selesa apatah lagi jika untuk perjalanan jauh," katanya.

"Ada gadis yang takut menunggang motosikal, namun selepas menonton video saya mereka terdetik untuk membelinya juga," katanya yang turut ditemani seorang rakan yang juga mempunyai minat sama, Aiman Danial, 21, ketika sesi temu bual itu.

Bagi langkah-langkah keselamatan, Nilam tidak pernah mengabaikan penyelenggaraan motosikal itu.

"Pemakaian topi keledar muka penuh, baju berlengan panjang dan kasut sesuai amat penting ketika pemanduan.

"Selain itu, utamakan keselamatan, sentiasa berhemah dan patuhi peraturan jalan raya ketika menunggang apa juga kenderaan," pesan Nilam buat dirinya dan anda di luar sana.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Mei 2023 @ 7:00 AM