COVID-19 beri kesan sampingan jangka pendek, panjang kepada 40 peratus bekas pesakit. - FOTO Google
COVID-19 beri kesan sampingan jangka pendek, panjang kepada 40 peratus bekas pesakit. - FOTO Google
Nurul Husna Mahmud


ZAMAN pasca Covid-19 membuka lembaran dan cabaran baharu kepada kehidupan manusia, terutamanya kualiti tidur.

Perpustakaan Maklumat Ubat & Bioteknologi Kebangsaan mendapati bahawa Covid-19 memberi kesan sampingan jangka pendek dan juga panjang dengan 40 peratus daripada individu melaporkan kesukaran tidur ketika pandemik dan 31 peratus pula menderita akibat gangguan tidur selepas Covid-19.

Manakala laporan diterbitkan Jurnal Perubatan dan Sains Kesihatan Asia mendapati sembilan daripada 10 rakyat Malaysia mengalami satu bentuk insomnia (kesukaran tidur) dan menghadapi satu atau lebih masalah tidur.

Seramai 35 peratus rakyat Malaysia pula dibelenggu gangguan tidur dengan lebih daripada 53 peratus tenaga kerja Malaysia mendapat kurang daripada jumlah tidur minimum iaitu tujuh jam sehari dan sekurang-kurangnya 51 peratus mengalami tekanan berkaitan kerja.

Statistik itu juga menyokong tinjauan menerusi talian mengenai kesihatan kerja yang dijalankan Pusat Perkhidmatan Kesihatan Komuniti, Fakulti Sains Kesihatan dan beberapa universiti tempatan utama seperti Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Malaya (UM) pada 2021, mendapati 54 peratus daripada 11,356 dewasa yang bekerja tidak mendapat tidur secukupnya.

Faktor mendorong kepada masalah itu adalah pelbagai termasuk menjaga anak, gaya hidup, keadaan tidur kurang baik dan isu kesihatan mental.

Kepentingan mendapat tidur yang mencukupi dan berkualiti adalah isu cukup besar kepada kesihatan individu.

Menurut Pakar Psikologi Kesihatan Klinikal dan Pakar Perubatan Tidur, Dr Ariel B. Neikrug, tidur berkualiti cukup membantu terutama dalam menangani isu penuaan.

JAUHKAN gajet dari anda membantu  memberi isyarat lepada tubuh untuk rehat. - FOTO Google
JAUHKAN gajet dari anda membantu memberi isyarat lepada tubuh untuk rehat. - FOTO Google

TIDUR mencukupi membantu fokus terhadap rutin harian. - FOTO Google
TIDUR mencukupi membantu fokus terhadap rutin harian. - FOTO Google

"Tidur memainkan peranan sangat penting dalam proses penuaan, kesihatan mental dan kesejahteraan umum kita.

"Malah tidur turut memainkan peranan terutamanya dalam proses baik pulih badan dan otak kita.

"Isu seperti tidur yang tidak mencukupi boleh menjejaskan sistem fungsi tubuh meliputi kesihatan fizikal dan mental," katanya.

Beliau tidak menolak tidur juga menjadi elemen penting terutama dalam saringan tahap kesihatan mental.

"Apabila individu mengalami masalah gangguan mental atau stres, gejala ketara adalah tidur malam mereka mudah terganggu.

"Jika mereka berterusan mengalami masalah terbabit kebimbangan adalah kegiatan atau rutin harian mereka terjejas.

"Mereka perlu dapatkan bantuan dan rawatan bagi membantu mereka menikmati kualiti hidup yang lebih baik," katanya dalam satu program berkenaan kesedaran memiliki kualiti tidur baru-baru ini.

Sementara itu, Usahawan Bidang Penjagaan Warga Emas, Pelopor Inovasi dan Doktor Perubatan, Dr Lim Geng Yan pula berkongsi mengenai kombinasi tidur berkualiti dan terapi sel stem antara inovasi dalam kaedah merawat degenerasi atau kemerosotan sel dan mempertingkatkan tahap imun individu.

"Walaupun strategi rawatan Covid-19 tidak boleh membantu sel organ yang rosak untuk dihasilkan semula, banyak kajian perubatan mendapati sel stem mesenkima (MSC) mempunyai keupayaan untuk memulihkan organ yang rosak akibat Covid-19.

"MSC antara kaedah berpotensi membalikkan kesan sampingan Covid-19 jangka panjang. Tidur antara proses alami penting dalam membantu sistem badan memulih termasuklah sel," katanya.

TIDUR berkualiti juga mewujudkan persekitaran positif baik ketika bersama keluarga. - FOTO Google
TIDUR berkualiti juga mewujudkan persekitaran positif baik ketika bersama keluarga. - FOTO Google

Pada masa sama, AmLife yang mengambil inisiatif memberi kesedaran kepentingan tidur kepada rakyat Malaysia melihat ia satu isu penting apabila berkait soal kesihatan.

Pengasas dan Presiden AmLife, Lew Mun Yee melihat pendidikan tidur kini semakin penting memandangkan gangguan tidur boleh mencetus pelbagai masalah kronik termasuk diabetes jenis 2, sakit jantung, kegemukan, kemurungan dan penyakit berkaitan keimunan.

"Dalam jangka panjang, kekurangan tidur boleh menyebabkan penyakit degeneratif. Kajian saintifik mendapati bahawa tidur ialah cara terbaik untuk menguatkan sistem imun dan mengurangkan risiko jangkitan virus!

"Tidur dan penuaan berhubung kait rapat kerana gangguan tidur menjejaskan kesihatan, keimunan dan fungsi keseluruhan badan dan mempercepatkan penuaan," katanya.

Antara tip dikongsi pakar ialah mematikan lampu apabila pulang ke rumah selepas bekerja dan meletakkan peranti elektronik jauh dari tempat tidur. Langkah itu bagi memberi isyarat kepada tubuh menandakan masa berehat sudah sampai.

Inisiatif pendidikan kesihatan tidur itu turut disertai Malaysia, Hong Kong dan Taiwan menerusi kerjasama dengan Persatuan Tidur Sedunia dan Persatuan Penjagaan Tidur Taiwan (TSCA).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 April 2023 @ 7:00 AM