Siti Zarinah Sahib

Koleksi klasik raya Hurriya menampilkan tiga rekaan gabungan tradisi dan kontemporari istimewa, direka untuk wanita berukuran sederhana dan bersaiz besar.

Diterjemahkan mengikut ilham dan inspirasi peribadi pemilik jenama ini, Hurriya Harlinda Zainudin memilih untuk mengekalkan unsur tradisional dengan menggabungkan elemen kontemporari dalam setiap perincian koleksinya kali ini.

Bagi wanita yang menggemari rekaan klasik, Hurriya menyediakan koleksi kurung Pahang Zaiton polos yang direka daripada fabrik benang kapas bagi memenuhi kehendak pemakai yang amat mementingkan keselesaan, santai dan ringkas.

Warisan tradisi Melayu, kurung Pahang Zaiton ini sesuai digayakan pada bila-bila masa, terutama musim lebaran mahupun ke majlis rasmi atau kasual. Kurung Pahang Zaiton ini nampak lebih manis dan mudah disuai padan dengan aksesori seperti rantai labuh, kerongsang antik, tampalan corak dokoh, jahitan manik atau mengenakan tudung bercorak klasik.

Selain itu, koleksi Puspa Wangi menampilkan rekaan kebaya bersulam dipadankan pario bermotifkan batik yang sinonim dengan tradisi budaya Melayu dan Nyonya. Pario boleh dipadankan dengan kebaya dan kasut bertumit tinggi atau sandal.

Menurut Harlinda, koleksi Puspa Wangi adalah inspirasi daripada watak utama, Puspa Wangi dalam filem Musang Berjanggut iaitu filem klasik arahan dan lakonan Tan Sri P Ramlee.

“Gaya ini amat sesuai untuk mereka yang mahukan kepelbagaian dalam menggayakan cara mengikat batik pario. Bagi wanita berbadan besar, mereka boleh mengenakan pario dengan mengubahsuai cara pemakaian iaitu ikatan mengikut saiz pinggang serta boleh digayakan mengikut kesesuaian masing-masing,” katanya.

Koleksi kurung seluar Fauziah pula menampilkan potongan moden kontemporari dengan kelainan baju kurung dipadankan palazo. Gaya ini kelihatan seperti kurung moden dengan padanan kain selisih ditambah perincian taburan manik berkualiti tinggi manakala pandangan dari belakang seluar kelihatan seperti celana palazo.

Ia inspirasi istimewa Hurriya yang memperterjemahkan kerinduannya terhadap arwah ibunya yang dulu amat sukakan mutiara dan manik semasa masih hidup.

Baju kurung seluar Fauziah ini sangat berbaloi untuk dimiliki memandangkan ia boleh dipakai secara berasingan. Himpunan manik pada palazo selisih ini dijahit sehingga ke pinggang membolehkan pemakai memadankan dengan baju lain yang lebih pendek untuk kesan dramatik. Bajunya juga boleh dipakai secara berasingan dan dipadankan dengan kain motif berbunga atau seluar untuk tujuan beriadah, berziarah atau ke majlis rumah terbuka.

Koleksi klasik raya kurung Pahang Zaitun, kebaya pario Puspa Wangi serta kurung seluar Fauziah boleh didapati di lima cawangan Parkson di sekitar Lembah Klang, termasuk Parkson IOI City Mall, Subang Parade, Setia Alam, Maju Junction dan NU Sentral. Harga setiap koleksi adalah mampu milik bermula daripada RM159.90 hingga RM399.90 sepasang.

Untuk maklumat lanjut layari laman sesawangnya,www.hurriya.com.my.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Julai 2016 @ 5:04 AM