KANAK-KANAK melihat struktur gigi menerusi paparan xtray.
KANAK-KANAK melihat struktur gigi menerusi paparan xtray.
Hafiz Ithnin


"Saya melihat apabila kanak-kanak ini diberi peluang untuk mempraktikkan cara penjagaan gigi yang betul mampu memberi kesan baik terutama mengurangkan rasa kebimbangan kanak-kanak untuk berjumpa doktor gigi.

"Malah, menerusi program lawatan seperti ini, saya boleh melihat kanak-kanak merasa teruja untuk berjumpa dengan doktor gigi dan dapat mempelajari cara penjagaan gigi yang penting untuk kesihatan diri," kata Guru Pusat Pendidikan Awal Kanak-Kanak UM (PPAKKUM), Zahrotul Alfila Mohd Zubir kepada penulis.

Baru-baru ini Falkulti Pergigian Universiti Malaya mengadakan program khidmat masyarakat dengan memberi pendedahan penjagaan gigi kepada kanak-kanak di seawal usia 6 tahun.

Menariknya, program itu memberi peluang kepada kanak-kanak untuk melihat secara dekat beberapa proses rawatan pergigian yang biasanya ditawarkan pusat rawatan pergigian.

Program itu yang dinamakan sebagai Projek Komuniti Malaya Bear Dental Clinic- Visit to Faculty of Dentistry, anjuran Jabatan Pergigian Pediatrik & Ortodontik, Fakulti Pergigian, Universiti Malaya (UM) bersama murid-murid PPAKKUM.

Kehadiran penulis ke program itu untuk membuat liputan terasa begitu meriahnya Menara Pakar Pergigian & Penyelidikan, Falkulti Pergigian UM kerana dipenuhi dengan 30 murid tadika yang begitu 'sibuk' menimba ilmu penjagaan gigi daripada bukan doktor pergigian biasa tetapi mereka yang bergelar pakar dan pelajar-pelajar sarjana dalam pelbagai bidang pergigian.

Si kecil yang mengambil bahagian di dalam program itu memegang erat 'teddy bear' masing-masing untuk memberi rawatan gigi kepada permainan kesayangan mereka.

Menariknya semua kakitangan di aras itu dari jururawat sehingga pakar pergigian melayan kerenah kanak-kanak seperti mereka adalah pelajar pergigian demi membangkitkan rasa keseronokan si kecil untuk datang berjumpa dengan doktor gigi.

Pensyarah Kanan dan Pakar Ortodontik Falkulti Pergigian yang juga pengarah program berkenaan, Dr Roziana Mohd Razi berkata, program itu untuk memberi pendedahan awal kepada kanak-kanak mengenai kepentingan kesihatan mulut.

DOKTOR memperkenalkan alatan membersihkan gigi.
DOKTOR memperkenalkan alatan membersihkan gigi.

Jelasnya, kanak-kanak itu juga diberi pendedahan cara penjagaan gigi yang betul dan paling penting dapat mengelakkan rasa kebimbangan untuk berjumpa dengan doktor gigi memandangkan menurut kajian 30 peratus rakyat di sesebuah negara bimbang untuk berjumpa dengan doktor gigi.

"Ia juga adalah projek komuniti antara Fakulti Pergigian UM dengan masyarakat luar. Secara tidak langsung, apabila kanak-kanak sudah biasa dengan persekitaran klinik gigi, pada masa depan terutama apabila sudah dewasa tidak ada persepsi bimbang untuk mendapatkan rawatan pergigian," katanya.

Katanya, sebenarnya program itu adalah lanjutan daripada lawatan kakitangan fakulti berkenaan ke tadika berkenaan sebelum ini dan lawatan ke fakulti untuk memberi pengalaman sebenar berjumpa dengan doktor gigi.

"Apabila kanak-kanak ini datang ke fakulti, kita mengadakan beberapa program dan lawatan. Kanak-kanak ini perlu melalui ke empat bahagian yang kita aturkan untuk mereka lawati.

"Pertama, bahagian untuk mengenali doktor gigi, peralatan dan pakaian doktor itu sendiri supaya mereka biasa dan tidak merasa bimbang apabila ingin datang mendapatkan rawatan pada masa depan serta membuatkan pemeriksaan rutin.

MEMBAWA permainan bersama ketika pemeriksaan gigi menjadikan kanak-kanak lebih tenang.
MEMBAWA permainan bersama ketika pemeriksaan gigi menjadikan kanak-kanak lebih tenang.

"Bagi merawat kanak-kanak, kami tidak memakai pakaian seragam putih kerana ia boleh menjadi faktor kebimbangan kanak-kanak untuk berjumpa doktor. Kami memilih warna-warna ceria supaya dapat membangkitkan rasa tenang kepada si kecil," katanya.

Seterusnya kanak-kanak itu dibawa ke bahagian mendapatkan rawatan dengan baring ke atas kerusi rawatan bersama 'teddy bear' masing-masing. Patung permainan mereka itu akan menjadi pesakit dan ternyata ia memberi keseronokan kepada kanak-kanak untuk bersama-sama memberi rawatan pergigian.

Jelasnya, situasi itu dapat membangkitkan rasa selesa kanak-kanak apabila berada di atas kerusi rawatan dan tidak merasa bimbang apabila menerima rawatan daripada doktor yang bertugas.

"Bahagian ketiga mereka dapat melihat filem X-ray bagi memberi pendedahan kepada kanak-kanak mengenai jenis gigi dan kedudukannya di dalam mulut menerusi visual berkenaan. Sekali gus, mereka dapat merasakan tanggungjawab menjaga kesihatan setiap gigi.

DOKTOR gigi mengajar cara memeriksa kesihatan gigi kepada kanak-kanak.
DOKTOR gigi mengajar cara memeriksa kesihatan gigi kepada kanak-kanak.

"Bahagian terakhir adalah kita membuat ulang kaji semula pendedahan penjagaan mulut yang sudah kami kongsikan dalam lawatan sebelum ini seperti cara menggosok gigi dan kesan tidak menjaga kesihatan gigi," katanya.

Menariknya, dalam siri ulang kaji itu, setiap kanak-kanak dibekalkan dengan sebuah 'pasport', My Dental Passport mengandungi pelbagai maklumat yang perlu mereka isikan mengenai penjagaan mulut.

Dr Roziana berkata, program itu juga memberi pendedahan kepada pelajar-pelajar di fakulti pergigian untuk mendekati pesakit dalam kalangan kanak-kanak.

KANAK-KANAK dan warga Falkulti Pergigian Universiti Malaya dalam Projek Komuniti Malaya Bear Dental Clinic.
KANAK-KANAK dan warga Falkulti Pergigian Universiti Malaya dalam Projek Komuniti Malaya Bear Dental Clinic.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Mac 2023 @ 6:40 AM