BAWA anak-anak berjumpa doktor untuk pemeriksaan secara berkala seawal gigi pertama tumbuh. - FOTO Google
BAWA anak-anak berjumpa doktor untuk pemeriksaan secara berkala seawal gigi pertama tumbuh. - FOTO Google
PEMAKANAN kanak-kanak beri kesan pada gigi. - FOTO Google
PEMAKANAN kanak-kanak beri kesan pada gigi. - FOTO Google
PENJAGAAN gigi kanak-kanak bermula di rumah. - FOTO Google
PENJAGAAN gigi kanak-kanak bermula di rumah. - FOTO Google
Hafiz Ithnin


IBU bapa mana yang tidak gembira apabila melihat si kecil mereka sudah menunjukkan pertumbuhan gigi pertama.

Malah, ia juga menjadi petanda bahawa kanak-kanak itu boleh diberi makanan yang lebih pejal, sekali gus membantu si kecil menerima lebih banyak khasiat daripada pemakanan.

Namun, dalam kegembiraan melihat pertumbuhan gigi kanak-kanak, sebenarnya mereka juga perlu dibawa berjumpa doktor untuk pemeriksaan secara berkala.

Pakar Pergigian Pediatrik, Fakulti Pergigian Universiti Malaya, Dr Sharifah Wade'ah Wafa Syed Saadun Tarek Wafa berkata, pakar pergigian sedunia mengesyorkan untuk membawa anak berjumpa doktor gigi seawal gigi pertama tumbuh atau pada umur satu tahun.

Katanya, karies gigi adalah masalah utama pada gigi kanak-kanak. Di Malaysia sahaja, 70 peratus kanak-kanak di bawah umur lima tahun mengalami masalah karies gigi.

"Karies gigi ini jika dibiarkan dan tidak dirawat boleh mengakibatkan sakit gigi yang boleh menganggu makan dan tidur, bengkak gusi dan selulitis muka (bengkak muka).

"Masalah karies gigi ini juga memberi kesan kepada kualiti hidup kanak-kanak. Banyak kajian menunjukkan apabila kanak-kanak mengalami sakit gigi, mereka tidak boleh hadir sekolah dan ini menyebabkan mereka ketinggalan dalam pembelajaran," katanya.

Jelasnya, selain dari itu, tidur mereka juga boleh terganggu kerana sakit gigi, berat badan berkurang akibat susah untuk makan dan perasaan kurang percaya diri kerana warna dan bentuk gigi yang tidak cantik.

Tambahnya, apabila kanak-kanak dibawa berjumpa doktor gigi sejak awal, maka masalah karies gigi ini dapat dicegah dan dikawal dari menjadi lebih teruk.

"Nasihat penjagaan gigi dapat diberikan dari peringkat awal pertumbuhan gigi kanak-kanak. Ibu bapa mendapat nasihat mengenai penjagaan mulut dan gigi yang betul dan mengenali punca kerosakan gigi.

"Justeru, langkah pencegahan boleh diamalkan di rumah," katanya.

Dr Sharifah Wade'ah Wafa berkata, sekiranya karies gigi dikesan di peringkat awal, maka rawatan gigi adalah lebih konservatif dan pendekatan yang lebih mudah dapat diambil.

"Ia juga dapat mengekalkan gigi susu sehingga gigi kekal tumbuh. Selain itu, nasihat mengenai tabiat menghisap jari, penggunaan botol susu berpanjangan dan nasihat pemakanan yang baik dapat diberikan.

"Maka kebiasaan yang kurang baik ini dapat diberhentikan lebih awal sebelum memberikan kesan buruk terhadap kesihatan dan perkembangan gigi dan mulut," katanya.

Katanya, antara kebaikan lain lawatan awal ke klinik gigi adalah untuk mencegah perasaan cemas atau 'dental anxiety' yang sangat tinggi dalam kalangan kanak-kanak.

"Mereka ini diberikan pendedahan awal kepada doktor gigi, peralatan pergigian dan suasana di klinik gigi. Maka si kecil akan terbiasa dengan rawatan pergigian dan berasa selesa setiap kali berjumpa doktor gigi.

"Sekiranya dibawa apabila gigi sudah rosak dan sakit, kanak- kanak akan mengaitkan doktor gigi dengan pengalaman negatif," katanya.

Katanya, perkara itu menyebabkan kanak-kanak takut berjumpa doktor gigi dan lebih sukar dirawat.

"Kemungkinan rawatan perlu dilakukan di bawah bantuan sedasi inhalasi (melalui hidung) atau di bawah bius am.

"Kesedaran mengenai lawatan gigi pertama masih rendah dalam kalangan ibu bapa. Ia bukan hanya di Malaysia, malah juga di negara lain," katanya.

Tambahnya, keadaan itu mungkin disebabkan ibu bapa berasakan gigi susu adalah tidak penting dan digantikan dengan gigi kekal.

Jelasnya, lawatan pertama ke doktor gigi selalunya adalah pendek, mudah dan cepat. Doktor gigi bertanyakan beberapa soalan dan memeriksa gigi, gusi dan mulut. Selanjutnya doktor gigi memberikan nasihat penjagaan mulut dan gigi.

"Doktor gigi juga bertanyakan antaranya berkenaan tabiat penyusuan, pemakanan dan penggunaan puting bayi. Nasihat yang lebih khusus diberikan bersesuaian dengan umur, perkembangan kanak-kanak dan masalah pergigian sekiranya ada," katanya.

Ditanya mengenai lawatan pertama dalam situasi pendemik Covid-19, katanya, pandemik ini menyebabkan banyak aktiviti perlu ditangguhkan, termasuk temu janji klinik gigi.

"Di kawasan zon merah, hanya kes kecemasan pergigian yang diterima. Kemungkinan untuk mendapatkan temu janji adalah sedikit sukar ketika ini.

"Pastikan untuk membuat temu janji terlebih dahulu jangan 'walk-in' ke klinik gigi. Sekiranya temu janji tidak dapat dibuat dalam masa terdekat, cuba usahakan penjagaan gigi yang baik di rumah," katanya.

Tambahnya, ada banyak maklumat penjagaan gigi dan mulut serta nasihat pakar pergigian yang boleh diakses ibu bapa.

"Pastikan maklumat dari sumber yang boleh dipercayai seperti akaun Instagram Malaysia Association of Paediatric Dentistry (MAPD)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Julai 2021 @ 7:00 AM