MEMBUAT pemeriksaan berkala perlu bagi memastikan keadaan gigi yang cedera pulih. - FOTO Google
MEMBUAT pemeriksaan berkala perlu bagi memastikan keadaan gigi yang cedera pulih. - FOTO Google
Hafiz Ithnin


MUNGKIN sudah menjadi perkara biasa dalam kalangan kanak-kanak yang lasak apabila terjatuh dan mengalami kecederaan sehingga menyebabkan gigi mereka patah.

Malah apabila berlaku insiden berkenaan, terdapat pelbagai reaksi ibu bapa antaranya mungkin hanya menganggap perkara itu biasa dan tidak kurang juga panik!

Pakar Pergigian Pediatrik, Fakulti Pergigian Universiti Malaya, Dr Sharifah Wade'ah Wafa Syed Saadun Tarek Wafa menjelaskan, disebabkan kemalangan seperti itu boleh menyebabkan gigi terkeluar dari soket atau istilah Bahasa Inggeris kecederaan gigi itu dipanggil 'avulsion.'

Katanya, gigi terkeluar dari soket adalah antara kecederaan gigi yang serius. Kecederaan ini berlaku kira-kira 0.5 hingga 16 peratus pada gigi kekal.

"Punca trauma ini boleh diakibatkan apabila terjatuh, ketika bersukan, kemalangan, pergaduhan atau dipukul objek.

"Kesan atau prognosis gigi yang mengalami kecederaan ini sangat bergantung kepada tindakan pantas dan betul ketika kecederaan berlaku," katanya.

Pakar itu berkata, kecederaan gigi termasuk terkeluar dari soket lebih kerap berlaku pada kanak-kanak lelaki berbanding perempuan kerana kanak-kanak lelaki lebih kerap melakukan aktiviti lasak.

"Selain itu, kanak-kanak yang mempunyai posisi gigi atas ke hadapan lebih dari 5 milimeter dan tidak mempunyai litupan bibir yang mencukupi, berisiko lebih tinggi untuk mengalami kecederaan gigi atas depan.

"Masih ramai dalam kalangan ibu bapa dan guru-guru masih kurang pasti apa yang perlu dilakukan apabila ia terjadi. Seperti yang saya katakan, tindakan pantas dan betul perlu dilakukan bagi memastikan gigi ini masih dapat diselamatkan," katanya.

Katanya, gigi kekal yang terkeluar boleh ditanam semula. Ia perlu dilakukan serta merta iaitu kurang dari 60 minit bagi mengurangkan komplikasi pada gigi.

"Pastikan gigi yang terkeluar adalah gigi kekal dan bukan gigi susu. Gigi susu tidak boleh ditanam semula," katanya.

GIGI yang tercabut sehingga menampakkan soket gigi. - FOTO Google
GIGI yang tercabut sehingga menampakkan soket gigi. - FOTO Google

Katanya, sekiranya perkara itu berlaku, ibu bapa atau guru-guru boleh melakukan perkara seperti di bawah:

1. Apabila gigi kekal terkeluar dari soket, cari gigi serta merta.

2. Pastikan pegang pada bahagian korona gigi (warna putih) bukan bahagian akar. Ini adalah untuk memastikan sel-sel di bahagian akar tidak rosak.

3. Bilas gigi ini di bawah air paip atau air bersih yang sejuk (tidak perlu terlalu lama dan tidak perlu gosok).

4. Masukkan gigi semula pada soket walaupun ada pendarahan pada gusi.

5. Untuk pastikan gigi tidak jatuh semula, gigit dengan gunakan gauze, sapu tangan atau kain yang bersih. Terus bawa anak anda ke klinik gigi yang berdekatan.

6. Sekiranya gigi tidak dapat diletakkan kembali ke dalam soket, simpan gigi di dalam susu segar sejuk atau saline.

*Jika tiada susu segar atau saline, gunakan bekas yang bersih, arahkan anak anda untuk meludah ke dalam bekas itu dan letakkan gigi yang terkeluar tadi. Jangan biarkan gigi dalam keadaan kering.

7. Bawa anak anda berserta gigi yang disimpan ke doktor gigi dengan segera. Doktor gigi akan bantu untuk tanam semula gigi.

Kata, Dr Sharifah Wade'ah Wafa, gigi kekal terkeluar dari soket antara rawatan kecemasan pergigian. Lebih cepat gigi ditanam semula, lebih baik prognosis gigi ini untuk jangka masa panjang.

Rawatan pergigian bagi gigi yang sudah ditanam semula:

1. Kawasan yang cedera akan dibersihkan, X-ray gigi akan diambil untuk memastikan posisi gigi adalah betul. Jika tidak, posisi gigi akan dibetulkan semula. Ia perlu dilakukan dalam tempoh 48 jam.

2. Gigi akan dipasangkan dengan 'splint stainless steel' (khas untuk rawatan pergigian) selama 2 minggu. Splint ini dilekat pada gigi yang terkeluar dan gigi bersebelahan.

Rawatan pergigian bagi gigi yang belum ditanam semula:

1. Gigi dan soket akan dibersihkan.

2. Gigi ditanam semula.

3. X-ray gigi akan diambil untuk memastikan posisi gigi adalah betul.

4. Gigi akan dipasangkan dengan 'splint stainless steel' (khas untuk rawatan pergigian) selama dua minggu. Splint ini dilekat pada gigi yang terkeluar dan gigi bersebelahan.

AKTIVITI lasak kanak-kanak terdedah kepada kecederaan gigi. - FOTO Google
AKTIVITI lasak kanak-kanak terdedah kepada kecederaan gigi. - FOTO Google

Katanya, penjagaan kesihatan mulut adalah penting bagi memastikan penyembuhan kecederaan yang baik. Pastikan gigi dan gusi digosok dengan baik. Gosok gigi yang tercedera dengan lembut.

"Kesan dan komplikasi kecederaan boleh dibahagikan kepada kesan serta merta dan komplikasi jangka masa panjang.

"Apabila gigi terkeluar dari soket, kanak-kanak mengalami pendarahan pada gusi, merasa sakit dan bengkak pada kawasan yang tercedera," katanya.

Jelasnya, manakala komplikasi jangka masa panjang tergantung sama ada kecederaan berlaku pada gigi susu atau gigi kekal.

"Ketika peringkat gigi susu, gigi kekal sedang terbentuk. Apabila berlaku kecederaan pada peringkat ini, gigi kekal turut mengalami komplikasi," katanya.

Katanya, jenis-jenis komplikasi pada gigi kekal adalah tergantung kepada jenis kecederaan dan juga umur ketika trauma berlaku.

"Antaranya gangguan warna dan struktur gigi, gangguan pertumbuhan gigi (lewat tumbuh), gigi dan akar tumbuh bengkok atau perubahan posisi gigi.

"Gigi yang ditanam perlu dipantau secara klinikal dan pengambilan X-ray secara berkala pada dua minggu (pembukaan splint), empat minggu, tiga bulan, enam bulan, setahun dan setiap tahun selama lima tahun," katanya.

Tambahnya, kelaziman gangguan pertumbuhan gigi kekal akibat kecederaan pada gigi susu adalah dalam lingkungan 20 hingga 74 peratus.

"Komplikasi yang tinggi ini adalah disebabkan posisi akar apeks (hujung) gigi susu yang sangat berdekatan dengan gigi kekal," katanya.

Katanya, International Association of Dental Traumatology (IADT) juga menyediakan aplikasi telefon pintar yang boleh dimuat turun secara percuma.

"Aplikasi ini menyediakan maklumat rawatan kecemasan trauma pergigian untuk golongan profesional (doktor gigi) dan ibu bapa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Jun 2021 @ 7:00 AM