IBU bapa perlu didik mengenai penjagaan gigi sejak kecil. - FOTO Google
IBU bapa perlu didik mengenai penjagaan gigi sejak kecil. - FOTO Google
Muhamaad Razis Ismail

APABILA bercakap mengenai klinik gigi, segelintir daripada kita tidak kira sama ada dewasa mahupun kanak-kanak pasti mempunyai pengalaman pahit dan manis tersendiri.

Pensyarah dan Perunding Pergigian Pediatrik Fakulti Pergigian Kolej Universiti Lincoln, Prof Dr Noraini Nun Nahar Yunus berkata, perasaan takut adalah suatu perasaan semula jadi dalam diri kanak-kanak kecil.

Katanya, kanak-kanak yang takut berjumpa doktor gigi mungkin disebabkan pengalaman lampau dirinya sendiri ataupun pengalaman ahli keluarganya yang bersifat negatif terhadap rawatan gigi.

“Kanak-kanak yang belum pernah ke klinik pergigian ditakutkan dengan cerita menggerunkan mengenai rawatan gigi

“Persekitaran klinik dan perwatakan personel pergigian sedikit sebanyak mempengaruhi perasaan dan tingkah laku kanak-kanak, sama ada berasa takut atau sebaliknya,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Beliau berkata, kanak-kanak perlu dibawa untuk berjumpa doktor gigi seawal gigi pertamanya tumbuh.

“Doktor akan menerangkan kepada ibu langkah yang perlu diambil supaya gigi anak mereka terus sihat.

“Ketika lawatan ini, doktor memeriksa gigi bayi itu untuk memastikan gigi, gusi dan mulut bayi betul-betul sihat,” katanya.

KANAK-kanak tidak cemas kerana sudah biasa ke klinik pergigian dari kecil. - FOTO Google
KANAK-kanak tidak cemas kerana sudah biasa ke klinik pergigian dari kecil. - FOTO Google

Menurutnya, gigi kanak-kanak yang dipanggil gigi susu, walaupun tidak kekal adalah penting kerana mempunyai fungsi seperti pengunyahan makanan, pertuturan yang sempurna, menyimpan ruang supaya gigi kekal kelak tumbuh ditempatnya dengan sempurna, juga untuk pembentukan rupa atau roman wajah.

“Pemeriksaan gigi ini penting bagi memastikan gigi tetap sihat tanpa gejala dan tanda berlaku yang boleh menyebabkan fungsi ini terganggu.

“Kerosakan gigi yang sering dipanggil gigi berlubang atau kaviti, pada peringkat awal kejadiannya tidak menyebabkan rasa sakit, cuma terdapat perubahan warna. Tanpa pemeriksaan dan seterusnya pengendalian pencegahan awal, kerosakan boleh terus merebak menyebabkan rasa sakit ataupun komplikasi lain yang lebih serius seperti bengkak bernanah atau abses,” katanya.

Mengulas lanjut, terdapat beberapa kaedah terbukti berkesan dalam menghilangkan rasa takut dalam kalangan kanak-kanak yang datang ke klinik pergigian.

“Perhatian yang sewajarnya dengan sikap positif dan mimik muka yang menyenangkan, membabitkan pesakit kanak-kanak dalam proses rawatan dengan cara ‘Tell-Show-Do’, selalunya mengurang perasaan cemas.

“Mengalihkan perhatian kanak-kanak daripada prosedur yang dilakukan seperti penggunaan gajet realiti maya terbukti berupaya mengurangkan rasa cemas, selain penggunaan ubat sedasi untuk membuat kanak-kanak lebih tenang untuk memberi kerjasama terhadap prosedur yang bakal dilakukan,” katanya.

Katanya, paling penting untuk mendapatkan kerjasama dari kanak-kanak adalah berhubung untuk menjalin komunikasi yang berkesan supaya kanak-kanak mempercayai kita supaya prosedur pemeriksaan teliti dan rawatan yang diperlukan dilaksana dengan sempurna.

“Komunikasi verbal perlu dilakukan pada tahap intelektual kanak-kanak itu dan tidak menggunakan istilah bahasa atau lingo yang sukar difahaminya.

“Mengetahui hobi dan kegemaran seseorang kanak-kanak itu dan berupaya berinteraksi seperti genrenya boleh membuatkan kanak-kanak itu tertarik untuk berhubungkait dengan kita. Sebagai contoh, saya akan turut menonton kartun seperti Upin & Ipin, Boboiboy dan Ejen Ali supaya kita ada topik perbualan yang sama,” katanya.

Tambahnya, ibu bapa yang paling rapat dan dipercayai kanak-kanak berperanan memupuk sikap positif terhadap kesihatan gigi

“Selalunya kanak-kanak kecil suka meniru gaya orang dewasa yang dianggap sebagai hero. Oleh itu, ibu bapa dan adik-beradik lain boleh menunjukkan contoh yang baik dengan menjadikan aktiviti memberus gigi itu suatu aktiviti keluarga yang menyeronokkan baginya.

“Sekiranya seseorang kanak-kanak itu perlu mendapat rawatan pergigian, ibu bapa boleh membantu dengan memberi gambaran positif dan tidak membiarkan kanak-kanak itu ditakutkan dengan cerita negatif yang boleh membuatkan mereka berasa cemas dan takut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 April 2020 @ 6:30 AM