LUKISAN seram medium pesakit mental luah emosi, melegakan ketidakselesaan secara kreatif. - FOTO Google
LUKISAN seram medium pesakit mental luah emosi, melegakan ketidakselesaan secara kreatif. - FOTO Google
Muhamaad Razis Ismail


TAHUKAH anda, melalui lukisan kita dapat mengetahui kekacauan yang wujud dalam fikiran seseorang yang sedang bergelut dengan masalah kesihatan mental.

Lukisan dihasilkan adalah gambaran emosi pesakit yang menjadi medium untuk meluahkan perasaan dan melegakan ketidakselesaan secara kreatif atau membantunya mengatasi ketakutan serta mimpi buruk yang sering mengganggu mereka.

Namun, bukan semua pesakit mengalami gangguan mental melukis lukisan menakutkan.

Pakar Psikiatri Unit Bimbingan Kanak-kanak dan Remaja Hospital Universiti Sains Malaysia (USM), Kubang Kerian, Dr Norzila Zakaria berkata, antara ciri-ciri lukisan ini termasuk ekspresi muka yang menggambarkan ketakutan, kebimbangan, kesedihan atau perasaan yang melampau.

Katanya, di samping itu penggunaan warna juga dapat diperhatikan lebih kepada kontras yang gelap dan suram seperti hitam, merah gelap atau biru gelap.

"Ciri-ciri lain adalah komposisi yang tidak seimbang, tidak teratur atau mengandungi unsur luar biasa atau tidak seimbang seperti saiz kepala atau anggota badan yang terlalu besar atau terlalu kecil.

"Pelukis juga menggunakan cahaya tidak semula jadi yang menimbulkan kesan sangat pelik dan menimbulkan rasa tidak selesa.

"Lukisan yang dihasilkan menggambarkan unsur yang biasanya dianggap tidak menyenangkan atau menakutkan seperti imej hantu, instrumen dalam bidang perubatan atau objek tajam," katanya.

LUKISAN yang dihasilkan menggambarkan unsur yang biasanya dianggap tidak menyenangkan atau menakutkan seperti imej hantu
LUKISAN yang dihasilkan menggambarkan unsur yang biasanya dianggap tidak menyenangkan atau menakutkan seperti imej hantu

LUKISAN adalah gambaran emosi pesakit.
LUKISAN adalah gambaran emosi pesakit.

Menurutnya, penggunaan warna gelap dan lakaran yang tidak seimbang menggambarkan ketidakseimbangan yang berlaku dalam fikiran seseorang.

"Ekspresi muka yang mengejutkan atau menakutkan, penggunaan cahaya dan bayang yang dramatik serta gambaran unsur-unsur yang tidak menyenangkan mencerminkan perasaan yang kuat.

"Ia termasuk ketakutan atau kebimbangan yang sering menjadi sebahagian daripada pengalaman orang yang mengalami masalah kesihatan mental," katanya.

Mengulas lanjut, ada pelbagai masalah kesihatan mental yang boleh menyebabkan seseorang menghasilkan lukisan menakutkan.

"Antaranya adalah gangguan kebimbangan (lukisan menakutkan), gangguan mood (lukisan gelap dan suram), gangguan psikotik (lukisan pelik) dan gangguan makanan (lukisan imej badan tidak sihat atau herotan badan)," katanya.

Beliau berkata, pencetus kepada lukisan menakutkan yang dihasilkan individu yang mengalami masalah kesihatan mental berpunca daripada pelbagai faktor seperti persekitaran, pengalaman lalu, tekanan, ketidakseimbangan kimia dalam otak dan faktor genetik.

"Pencetus ini boleh menyebabkan individu berasakan perasaan yang sangat sengit (intense) seperti ketakutan, kebimbangan, kesedihan atau putus asa yang kemudian dicerminkan dalam lukisan yang dihasilkan," katanya.

Ada beberapa jenis penyakit mental yang dikaitkan dengan penghasilan karya seni yang tidak biasa atau menyeramkan. Salah satu contoh adalah skizofrenia, di mana individu yang mengalami masalah ini boleh mengalami halusinasi dan delusi yang mempengaruhi persepsi mereka terhadap dunia.

"Beberapa seniman terkenal yang mengalami penyakit mental (kebimbangan, kemurungan dan skizofrenia) termasuk Vincent van Gogh, Edvard Munch dan Louis Wain menghasilkan lukisan yang ekspresif dan penuh emosi.

IBU bapa boleh membantu dalam memahami perasaan dan pengalaman kanak-kanak lebih mendalam. - FOTO Google
IBU bapa boleh membantu dalam memahami perasaan dan pengalaman kanak-kanak lebih mendalam. - FOTO Google

"Selain itu, gangguan personaliti pinggiran (borderline personality disorder) dan gangguan keperibadian psikopatik (psychopathic personality disorder) juga dikaitkan dengan seni yang tidak biasa atau menyeramkan. Contohnya, individu dengan gangguan personaliti pinggiran cenderung untuk melukis gambar yang sangat emosional dan 'intense'," katanya.

Dr Norzila berkata, sesetengah orang yang mempunyai penyakit mental menghasilkan karya seni yang menyeramkan atau luar biasa.

"Namun, tidak semua penghidap penyakit mental menghasilkan karya seni seperti ini.

"Karya seni sebenarnya boleh menjadi cara yang berguna untuk penghidap penyakit mental meluahkan emosi mereka," katanya.

Beliau juga menekankan bahawa jika kanak-kanak atau remaja yang mengalami masalah kesihatan mental tertentu sering melukis gambar menakutkan, ini boleh menjadi petunjuk bahawa mereka mengalami gangguan emosi dan mungkin mengalami kesukaran untuk meluahkan emosi itu secara lisan.

"Oleh itu, sebagai ibu bapa yang mengetahui mengenai kecenderungan kanak-kanak melukis gambar yang menakutkan boleh membantu dalam memahami perasaan dan pengalaman kanak-kanak yang lebih mendalam.

"Ini boleh membantu kanak-kanak atau remaja berasa disokong dan difahami, sekali gus membuka jalan untuk mereka mendapatkan sokongan kesihatan mental yang mereka perlukan.

"Selain itu, mengetahui minat artistik anak anda atau remaja boleh membantu menentukan cara terbaik membantu mereka mengekspresikan diri secara kreatif dan positif," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Februari 2023 @ 7:00 AM