KETAKUTAN melampau kanak-kanak boleh dicetus daripada tindakan golongan dewasa kurang peka perkembangan emosi mereka.
KETAKUTAN melampau kanak-kanak boleh dicetus daripada tindakan golongan dewasa kurang peka perkembangan emosi mereka.
Nurul Husna Mahmud


PAKAR Psikologi Amerika Syarikat John William Atkinson yang dikenali antara perintis teori motivasi dalam psikologi manusia pernah membahaskan jenis emosi iaitu emosi positif dan negatif penting dan kesannya terhadap individu.

Mengenai emosi negatif meskipun hadir dalam keadaan tidak selesa terutama keresahan dan takut, ia sesuatu norma untuk dirasai bertujuan mewujudkan keseimbangan kepada tingkah laku selain dilihat sebagai 'pendorong' baik untuk individu menyelesaikan tugasan harian.

amun pengurusan emosi negatif perlu juga 'dilentur' dengan baik seawal usia kanak-kanak dan mendedahkan mereka kepada situasi yang boleh merangsang pembentukan emosi negatif secara tidak sihat dan memberi kesan buruk pada perkembangan mental fasa seterusnya.

Menurut Perunding Psikologi Klinikal Dr Noor Aishah Rosli, mendedahkan anak kepada elemen yang boleh mempengaruhi emosi negatif bukan secara alami hanya menjejaskan mental mereka.

Itu fenomena yang biasa dalam kalangan ibu bapa baik zaman dahulu sehinggalah sekarang yang gemar menggunakan pendekatan tidak sihat untuk pelbagai alasan termasuklah melatih anak lebih berani atau sebagai gurauan.

Hakikatnya sikap ibu bapa tidak matang inilah menjadi punca tahap kesihatan mental anak terganggu terutama sudut emosi negatif takut dan keresahan keterlaluan.

"Tidak dinafikan sifat ibu bapa yang 'klasik' gemar menakutkan anak-anak dan dahulu dimomokkan kewujudan hantu atau penculik, kini trend masih sama.

"Lebih tidak matang ialah ibu bapa sekarang apabila ia menjadikan rasa takut dan resah anak mereka sebagai kandungan hiburan dalam media sosial tanpa menyedari aspek emosi anak 'tercalar' teruk.

"Emosi takut dan gelisah saling berkait. Tetapi dua emosi ini memiliki takrifan tersendiri dan dikelaskan dalam kumpulan yang berbeza.

"Takut adalah emosi berkait dengan ketakutan kepada sesuatu yang pasti terjadi. Sementara keresahan lebih adalah emosi iaitu bimbang atau rasa tidak menyenangkan kepada sesuatu belum berlaku. Lebih tepat adalah pemikiran tidak rasional (irrational thinking)," katanya.

IBU bapa sekarang gemar jadikan rasa takut, resah anak sebagai kandungan hiburan dalam media sosial.
IBU bapa sekarang gemar jadikan rasa takut, resah anak sebagai kandungan hiburan dalam media sosial.

Mengenai ciri-ciri abnormal atau gangguan keresahan dan ketakutan dalam diri kanak-kanak, situasinya berbeza apabila tahap pemikiran kanak-kanak tidak boleh merasionalkan situasi dihadapi dengan baik serta menyebabkan kesan lebih buruk.

"Kanak-kanak biasanya merasai pengalaman pertama takut pada usia empat atau lima tahun ketika mereka dalam perkembangan mengenal identiti diri.

"Mereka akan jelajah atau teroka pengalaman di persekitaran sendiri dan menemui rasa takut dalam proses berkenaan. 

"Contohnya ketika bermain atau berlaku insiden dalam rutin harian menyebabkan mereka pelajari situasi yang tidak menyenangkan.

"Tetapi jika pendedahan kepada punca takut atau keresahan itu sengaja dicetuskan ibu bapa atau orang dewasa yang rapat boleh menjejaskan emosi dan mental mereka.

TEMPAT tidur anak adalah ruang sensitif.
TEMPAT tidur anak adalah ruang sensitif.

"Apatah lagi insiden yang berlaku itu di ruang yang sepatutnya kanak-kanak itu berasa selamat seperti rumah atau tempat tidur, membuatkan kesan lebih 'parah.'

"Kanak-kanak hilang kepercayaan terhadap ibu bapa dan akhirnya mereka menghadapi krisis keyakinan diri yang teruk," kata pakar itu.

Berkongsi pengalaman dalam membantu memulihkan kanak-kanak yang mengalami gangguan emosi keterlaluan terutama membabitkan takut dan keresahan, kata pakar itu tempoh intervensi lebih panjang bergantung kepada intensiti insiden atau berapa lama mereka terdedah kepada punca emosi terbabit.

"Terdapat dua kes membabitkan intervensi terhadap kanak-kanak dalam memulihkan mereka daripada kesan emosi negatif.

"Salah satunya membabitkan kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun yang dirawat kerana rasa takut yang melampau sehingga menjejaskan keyakinan dirinya.

"Kes itu dirujuk oleh saudara kandungnya yang bersimpati dengan keadaan adik mereka yang mudah terkesan setiap kali terdengar bunyi kuat dan melihat adegan ganas di televisyen.

SARINGAN psikologi penting membantu mengenal pasti tahap gangguan emosi negatif kanak-kanak.
SARINGAN psikologi penting membantu mengenal pasti tahap gangguan emosi negatif kanak-kanak.

"Puncanya, kanak-kanak terbabit membesar dalam keadaan ketakutan kerana tinggal dalam rumah bersama bapanya yang juga pesakit skizofrenia. 

"Saya terpaksa jalankan rawatan selama setahun bagi membantu mengembalikan emosi positif untuk kelangsungan kanak-kanak terbabit," katanya.

Kes lain dikendalikan pakar itu membabitkan kanak-kanak berusia lima tahun yang mempunyai emosi ketakutan melampau selepas menonton filem seram komedi tempatan.

Perubahan drastik kanak-kanak itu disedari orang tuanya. Kanak -kanak itu memiliki personaliti ceria dan pandai berdikari berubah menjadi penakut sehingga terpaksa ditemani ibu bapa meskipun pergi ke tandas di rumah sendiri.

"Apabila emosi negatif mula mengganggu fungsi normal harian seperti dilalui kanak-kanak berkenaan menunjukkan ibu bapa perlu mengambil pendekatan lebih sesuai.

"Kalau ibu bapa mendapati perubahan sikap anak drastik selain gemar mengasingkan diri dan termenung, perlulah segera merujuk kepada pakar.

"Pendedahan lebih baik terutama kemahiran boleh digunakan ibu bapa bagi membantu anak mereka pulih daripada dibelenggu emosi negatif," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 September 2022 @ 6:20 AM