GEMPA bumi yang melanda Turkiye dan Syria baru-baru ini mengorbankan ribuan mangsa.
GEMPA bumi yang melanda Turkiye dan Syria baru-baru ini mengorbankan ribuan mangsa.
Fairul Asmaini Mohd Pilus


Bukan sahaja kemusnahan harta benda tetapi ramai mangsa gempa bumi di Turkiye dan Syria kehilangan ahli keluarga mereka dalam sekelip mata.

Kemusnahan besar akibat bencana gempa bumi itu sememangnya memerlukan sokongan penuh masyarakat di seluruh dunia untuk membantu mangsa yang terjejas.

Justeru, Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) Malaysia menyasarkan untuk mengumpul sebanyak AS$1 juta (kira-kira RM4.33 juta) bantuan kemanusiaan khususnya kepada kanak-kanak yang menjadi mangsa bencana itu di dua negara berkenaan.

Wakil UNICEF Malaysia, Robert Gass berkata, pihaknya sudah melancarkan kutipan dana kecemasan di negara ini untuk membantu kanak-kanak dan keluarga mereka yang dipindahkan ekoran kemusnahan akibat bencana itu.

Kata Gaas, pihaknya berkongsi rasa sedih dan terkejut atas kemusnahan yang disebabkan gempa bumi di Turkiye dan Syria.

"UNICEF sedang menyelaraskan kerjasama dengan kerajaan untuk membantu kanak-kanak dan keluarga mereka yang terbabit supaya dapat meringankan beban yang ditanggung," katanya menerusi kenyataan media.

RAMAI kanak-kanak dan wanita  kehilangan tempat berteduh.
RAMAI kanak-kanak dan wanita kehilangan tempat berteduh.

Sebelum ini, media melaporkan jumlah kematian akibat gempa bumi dan gegaran susulan yang melanda Turkiye dan Syria sehingga kini sudah melepasi 21,000 orang dengan angka dijangka meningkat setiap hari.

Angka kematian itu turut membabitkan kanak-kanak dengan ribuan yang lain cedera dalam kemusnahan akibat bencana itu.

Menurut Gass, di Turkiye, UNICEF sedang melakukan penyelarasan dengan Kerajaan Turkiye dan Presidensi Pengurusan Bencana dan Kecemasan (AFAD) negara itu untuk mengenal pasti keperluan mangsa.

Katanya, keutamaan mereka ketika ini adalah untuk memastikan kanak-kanak dan keluarga mangsa terjejas menerima sokongan yang mereka perlukan.

"UNICEF akan bekerjasama dengan kerajaan Turkiye untuk memastikan perlindungan kanak-kanak di wilayah yang terjejas dan menyediakan pakaian musim sejuk yang hangat dan selimut untuk beribu-ribu kanak-kanak serta bayi.

"Kami turut menyediakan kit asas kebersihan untuk keluarga yang berpindah serta kit ibu dan bayi," katanya.

KLINIK bergerak UNICEF turut membantu mangsa di Syria.
KLINIK bergerak UNICEF turut membantu mangsa di Syria.

Untuk mangsa di Syria pula Gass berkata, tumpuan segera diberikan untuk memastikan kanak-kanak dan keluarga yang terjejas mempunyai akses kepada air minuman selain sanitasi yang selamat serta kritikal dalam mencegah penyakit pada hari-hari awal krisis bencana berkenaan.

Kata Gass, pihaknya juga sedang menilai kesan gempa ke atas stesen pembekal air utama, selain mengutamakan penyediaan bekalan air selamat untuk mereka yang berpindah.

"Selain itu, keutamaan kami juga adalah dari segi perlindungan kanak-kanak.

"Ia termasuklah usaha menyatukan semula kanak-kanak yang terpisah dengan keluarga mereka serta memberikan sokongan psikososial.

"Ini kerana ramai kanak-kanak mungkin mengalami trauma teruk susulan kejadian gempa bumi kuat itu yang mungkin pertama kali dilalui mereka," katanya.

Sehubungan itu, Gass berkata, UNICEF menyeru masyarakat antarabangsa untuk mengutamakan keperluan kanak-kanak memandangkan golongan itu antara yang terjejas teruk selepas kejadian gempa berkenaan.

SEORANG ayah bersama empat anaknya yang terselamat daripada gempa bumi di Turkiye.
SEORANG ayah bersama empat anaknya yang terselamat daripada gempa bumi di Turkiye.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Februari 2023 @ 6:48 AM