MUSA Hmeidi. FOTO AFP
MUSA Hmeidi. FOTO AFP
AFP

Jindayris, Syria: Pasukan penyelamat berjaya menarik empat orang termasuk seorang kanak-kanak berusia enam tahun hidup dari sisa runtuhan di Syria pada Jumaat, empat hari selepas gempa bumi yang dahsyat mengorbankan lebih 21,000 orang di Syria dan negara jiran Turkiye.

Sukarelawan di bandar barat laut Jindayris yang dikuasai pemberontak, berjaya menarik Musa Hmeidi yang masih bernyawa dari bawah serpihan bangunan, menyebabkan puluhan penduduk bersorak gembira, kata wartawan AFP.

Di bandar Jableh yang dikuasai kerajaan, pasukan kecemasan menarik tiga orang hidup-hidup dari bawah runtuhan, kata agensi berita negara, Sana.

Penemuan empat yang masih hidup itu menentang jangkaan kerana pakar mengatakan lebih daripada 90 peratus mangsa yang terselamat biasanya diselamatkan dalam tempoh tiga hari pertama operasi kecemasan selepas bencana besar.

Muka lebam kanak-kanak kecil itu ditutup dengan pembalut selepas doktor memberinya pertolongan cemas di tempat kejadian di Jindayris, salah satu bandar yang dikuasai pemberontak yang rosak teruk akibat gempa semalam.

"Musa diselamatkan dari bawah runtuhan pada hari kelima selepas gempa bumi," kata Abu Bakr Mohammed, salah seorang sukarelawan penyelamat yang menarik keluar budak berkenaan.

"Dia cedera ringan, manakala abangnya meninggal dunia. Ahli keluarganya (yang lain) masih berada di bawah runtuhan. Kami tidak tahu apa-apa mengenai nasib mereka setakat ini," katanya.

PENDUDUK duduk di atas tilam, ketika usaha mencari dan menyelamat mangsa gempa bumi diteruskan di Jindayris, bandar di Syria yang dikuasai pemberontak. FOTO AFP
PENDUDUK duduk di atas tilam, ketika usaha mencari dan menyelamat mangsa gempa bumi diteruskan di Jindayris, bandar di Syria yang dikuasai pemberontak. FOTO AFP

Penyelamat dan penduduk berlumba dengan masa untuk mencari mangsa yang terselamat dengan sedikit cara yang mereka boleh gunakan, kadangkala menggali dengan tangan kosong atau menggunakan peralatan rumah untuk mengalihkan batu.

Pada Selasa, anggota penyelamat di Jindayris menemui seorang kanak-kanak perempuan yang baru lahir dan masih hidup di bawah runtuhan, dengan tali pusatnya masih melekat pada ibunya yang sudah meninggal dunia.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Februari 2023 @ 12:31 PM