PENERANGAN mengenai kepentingan menjaga kebersihan diri.
PENERANGAN mengenai kepentingan menjaga kebersihan diri.
Fairul Asmaini Mohd Pilus


KEBERSIHAN adalah hak asasi untuk semua termasuk kanak-kanak.

Malah golongan dewasa dan kanak-kanak juga berisiko terdedah kepada serangan penyakit.

Menyedari keperluan itu, Guardian Malaysia mengadakan program khidmat masyarakat, Kempen Bersama, Menjaga Kebersihan dan Kesihatan Kanak-Kanak bagi membantu kanak-kanak daripada keluarga berpendapatan rendah kekal bersih seterusnya kekal sihat.

Sebagai sebahagian daripada inisiatif #guardiancares iaitu program yang bermula pada 15 Disember lalu itu akan menyediakan produk penjagaan diri, terutama mandian badan untuk kanak-kanak daripada keluarga berpendapatan rendah.

Pengarah Pemasaran Jenama, Asia Tenggara, Guardian, Anna Ng berkata, pihaknya percaya bahawa setiap masyarakat berhak untuk bersih dan sihat kerana ia adalah hak asasi manusia.

Kata Anna, kanak-kanak daripada keluarga berpendapatan rendah terdedah kepada serangan penyakit kerana keluarga mereka tidak mempunyai sumber lebih-lebih lagi selepas Covid-19, untuk membeli produk kebersihan kerana keutamaan diberikan kepada membeli makanan.

ANNA dan Tengku Munazirah.
ANNA dan Tengku Munazirah.

Katanya, faktor kos sara hidup yang semakin meningkat menyukarkan lagi keadaan mereka apabila mengambil kira perbelanjaan utama lain seperti pengangkutan, pendidikan, sewa rumah dan pinjaman.

Namun, kebersihan dan kesihatan kanak-kanak tetap perlu dititikberatkan, sebagai contoh penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) meningkat 20 kali ganda tahun ini berbanding tahun lalu dan kanak-kanak adalah paling teruk terjejas.

"Dengan pengalaman berdepan penularan Covid-19, menjaga kebersihan khususnya kebersihan tangan yang baik kekal sebagai satu langkah penting dalam membantu mencegah penyebaran penyakit berjangkit.

"Kami percaya bahawa apabila seorang kanak-kanak itu bersih, ia dapat merangsang keyakinan diri dan meningkatkan kesejahteraan mental mereka," katanya pada majlis pelancaran kempen itu di Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Sri Damansara 1, Petaling Jaya, Selangor, baru-baru ini.

SEBAHAGIAN daripada pelajar dan warga SK Bandar Sri Damansara 1 yang menyertai Kempen Bersama, Menjaga Kebersihan dan Kesihatan Kanak-Kanak.
SEBAHAGIAN daripada pelajar dan warga SK Bandar Sri Damansara 1 yang menyertai Kempen Bersama, Menjaga Kebersihan dan Kesihatan Kanak-Kanak.

Hadir sama, Ahli Lembaga Pengarah MyPerintis, Tengku Munazirah Tengku Abdul Samad Shah Alhaj.

Pada majlis itu kira-kira 1,000 pelajar tahun satu hingga enam menerima mandian badan dan cenderahati dari Guardian.

Apa yang istimewa, kakitangan peneraju rangkaian kesihatan, kecantikan dan farmasi runcit itu turut membantu menyiapkan lukisan mural yang diilhamkan Haris Rashid di sekolah berkenaan yang menggambarkan kepentingan menjaga kesihatan dan kebersihan.

Menurut Anna lagi, pihaknya menyasarkan untuk menyediakan 20 juta mandian kepada kanak-kanak kurang bernasib baik bukan sahaja di Malaysia, tetapi di negara Asia Tenggara lain seperti Singapura, Indonesia, Kemboja dan Vietnam.

PELAJAR mempelajari kaedah mencuci tangan dengan betul.
PELAJAR mempelajari kaedah mencuci tangan dengan betul.

Kata Anna, inisiatif itu adalah program khidmat masyarakat di seluruh rantau ini yang meliputi lima negara di mana setiap negara bekerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tempatan supaya sumbangan sampai kepada kanak-kanak yang disasarkan.

Katanya, di Malaysia, mereka akan bekerjasama dengan Yayasan Perintis Malaysia bagi mengedarkan produk mandian dan mengenal pasti penerima kanak-kanak yang memerlukan.

"Kami akan memfokuskan kanak-kanak berumur 12 tahun dan ke bawah dari keluarga B40 yang tinggal di rumah pangsa dan rumah kos rendah berhampiran sekolah.

"Selain itu, untuk setiap satu liter produk mandian Guardian yang dijual di Malaysia, 15 sen akan didermakan kepada kanak-kanak kurang bernasib baik ini.

"Jadi, kami berharap supaya pelanggan menyokong usaha khidmat masyarakat itu dengan membeli produk mandian badan kami," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Disember 2022 @ 7:00 AM