RASA autentik Itali antara pengeluar produk makanan antarabangsa.
RASA autentik Itali antara pengeluar produk makanan antarabangsa.

Tidak terlewat untuk peminat hidangan Itali menikmati sajian kegemaran mereka menerusi Week of the Italian Cuisine in the World (Minggu Sajian Itali) yang bakal berakhir pada 11 Disember ini.

  Mengetengahkan budaya Itali menerusi makanan dan ramuan asli negara itu menjadi elemen penting dalam kempen kali ke-7 diiringi tema 'Conviviality, Sustainability and Innovation: The Ingredients of Italian Cuisine for People's Health and the Protection of the Planet' (Kemesraan, Kelestarian dan Inovasi: Ramuan Sajian Itali Demi Kesihatan Insan dan Perlindungan Bumi).

  Tidak hanya Malaysia, kempen anjuran Kementerian Luar Itali turut diraikan lebih 100 negara di seluruh dunia.

  Kedutaan Itali dan Agensi Perdagangan Itali di Kuala Lumpur berkerjasama dengan Persatuan Perniagaan Itali-Malaysia giat mengetengahkan produk makanan dan hasil tani Itali yang berkualit, bagi memartabatkan nilai-nilai gaya hidup sihat dan lestari Itali berasaskan diet Mediteranean.

  Menurut Duta Itali ke Malaysia, Massimo Rustico, masakan Itali amat digemari di negara ini.

  "Makanan Itali memang makanan kegemaran rakyat Malaysia apatah lagi hidangan Itali autentik dikenali antara hidangan mampu memenuhi peminat sajian lazat. 

  "Fakta lain menarik mengenai rakyat Malaysia itu sendiri pada pengamatan saya adalah sikap terbuka mereka apabila berani mencuba makanan baharu membuatkan sajian Itali mendapat sambutan baik.

  "Ketika edisi keenam penganjuran Minggu Sajian Itali di Dunia pada tahun lalu, kami mengetengahkan tradisi makanan milenial dalam diet Mediteranean dan mencatatkan kejayaan yang besar. Hasrat penganjuran kali ini untuk meneruskan momentum itu pada tahun ini," katanya. 

MENARIK sajian disediakan untuk pengamal media.
MENARIK sajian disediakan untuk pengamal media.

  Tambah Massimo lagi, dalam kempen ini 20 restoran Itali di Malaysia mengambil bahagian dalam usaha menyajikan hidangan Itali yang autentik dan unik.

  "Kami teruja dan berbangga untuk berkongsi minat terhadap budaya, makanan dan ramuan menerusi kempen ini yang mencerminkan 100 peratus buatan Itali iaitu kemesraan, kelestarian dan inovasi untuk melindungi tradisi dan budaya makanan kami, termasuk insan yang menyediakannya. 

  "Restoran yang sertai kempen memiliki logo kempen 'Settimana della cucina Italiana nel Mondo 2022' yang diluluskan Kedutaan Itali dan Agensi Perdagangan Itali di Kuala Lumpur. 

  "Penggemar dan peminat budaya Itali boleh menyertai kelas pakar (masterclasses) yang mengetengahkan tradisi asli, produk berkualiti tinggi dan hidangan serantau Itali. 

  Untuk melancarkan kempen, empat cef diterbangkan dari Itali khusus untuk kempen kali ini termasuklah Chef Simone Guglielmo dari Restoran 'I Rocci di Casciano Barbara' dari Apulia. 

  Mereka menghidangkan sotong bakar dengan paprika manis, puri tomato, kentang confit, bawang panggang, dan serbuk zaitun hitam, Squid Ink Gnocchi dan filet Tuna Trufel yang dimasak dengan dua cara.

  Bagi yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut boleh layari www.italianfestival.info/

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Disember 2022 @ 6:43 AM