ANEKA hidangan asli Thai disediakan Esther (kiri) dan Iman bagi memastikan rasa makanan disediakan sama.
ANEKA hidangan asli Thai disediakan Esther (kiri) dan Iman bagi memastikan rasa makanan disediakan sama.
Zaitie Satibi

OTAK-otak adalah juadah ringan yang popular di negara kita, selain untuk minum petang ia juga lazim dihidangkan kepada pengunjung kedai makan sementara menanti makanan yang dipesan tiba.

Makanan berasaskan isi ikan berempah itu dibungkus dalam daun kelapa dan dipanggang. Namun ada juga otak-otak yang dibungkus dengan kulit popia dan digoreng dengan minyak panas.

Bagi menambah variasi otak-otak buat penggemar makanan berkenaan, restoran masakan Thailand, Mueang Kao Thai Cuisine di Damansara Jaya, Selangor, menawarkan otak-otak berkuah yang disediakan mengikut resipi asal dari negara Gajah Putih itu.

Menurut pengurus komunikasi restoran, Iman Rosul, otak-otak berkuah disediakan bersama makanan laut segar lain seperti udang dan sotong yang dimasak bersama kuah santan dan cili.

OTAK-OTAK berkuah disediakan dalam kelapa muda sebagai tarikan.
OTAK-OTAK berkuah disediakan dalam kelapa muda sebagai tarikan.

“Walaupun rasanya menyerupai otak-otak tempatan, kuahnya yang lemak pedas dan pekat memberikan pengalaman rasa berbeza kepada penggemarnya.

“Otak-otak versi Thailand ini dimasak dengan cara dikukus bersama bahan rempah dan dihidangkan dalam sebiji kelapa muda. Selain sebagai santapan ringan untuk minum petang, ia juga sesuai sebagai hidangan pembuka selera,” katanya.

Katanya, Mueang Kao Thai Cuisine memperkenalkan hidangan khusus dari bahagian tengah Thailand yang menawarkan sajian asli masakan tradisional penduduk negara berkenaan.

“Di Thailand ada empat jenis masakan mengikut daerah sama ada di Thailand utara, Thailand timur laut, Thailand tengah dan Thailand selatan.

“Setiap daerah mendapat pengaruh daripada masakan Cina dan negara jiran kecuali Thailand tengah yang masih mengekalkan keaslian masakan tradisional penduduk.

“Sementara di negara kita, rata-rata hidangan Thailand adalah dari bahagian selatan yang mempunyai cita rasa tempatan. Oleh itu, menu kami menampilkan juadah asli yang memiliki kehalusan teknik masakan dan ramuan dari pengaruh hebat empat bandar utama Ayutthaya, Sukhotai, Bangkok dan Kanchanaburi,” katanya.

 KUDAPAN tradisional dengan rasa pedas manis dimakan bersama daun kaduk.
KUDAPAN tradisional dengan rasa pedas manis dimakan bersama daun kaduk.

Aneka pilihan hidangan enak untuk disajikan kepada pengunjung disediakan sendiri pengurus operasi restoran, Esther Yap, yang mempunyai kemahiran menyediakan masakan asli bahagian tengah Thailand itu. Antara menu yang popular, ikan kukus bersama cili dan limau nipis menggunakan ikan puyu Australia pasti menaikkan selera sesiapa saja.

Juadah lain yang disyorkan untuk mencubanya sendiri seperti miang kham iaitu kudapan tradisional dengan rasa pedas-pedas manis dimakan bersama daun kaduk, tom yam putih dengan bumbu udang menawarkan gabungan rasa pedas masam dan kangkung goreng Thai bersama sos istimewa yang dimakan dengan nasi panas atau sebagai kudapan yang boleh dinikmati begitu saja.

Bagi pencuci mulut pula, selain pulut mangga, cuba nikmati ais krim kelapa atau sangkaya. Taburan biskut kelapa dan kacang rangup menjadikan rasa ais krim ini sungguh sempurna. Bubur berisi nangka dan buah kabung, red ruby antara pencuci mulut wajib cuba.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Oktober 2018 @ 3:30 AM