MAKANAN yang mempunyai sumber protein dalam menghasilkan asid amino yang tidak dihasilkan oleh badan.
MAKANAN yang mempunyai sumber protein dalam menghasilkan asid amino yang tidak dihasilkan oleh badan.
Muhamaad Razis Ismail


RAMAI percaya bahawa pemakanan sukan sesuatu yang kompleks, tetapi secara realiti, segalanya berpaksikan apa yang dimakan dan waktu ia dimakan.

Sebagai contoh, dengan mengaplikasikan prinsip pemakanan yang baik, kita hanya perlu menambah faktor komponen masa iaitu makanan apa yang diambil sebelum, ketika dan selepas sesi senaman anda.

Pengarah Prestasi, Pemakanan dan Pendidikan Sukan Herbalife International, Dr Dana Ryan berkata, pemakanan sukan amat penting dalam membantu kesihatan dan kesejahteraan seseorang atlet secara keseluruhannya.

Katanya, ia bukan sahaja untuk atlet profesional, malah sesiapa sahaja yang mengamalkan gaya hidup aktif.

"Pemakanan sukan juga dapat mengoptimumkan prestasi kita kerana ia memberi tenaga dan nutrien sesuai berdasarkan aktiviti fizikal yang kita lakukan.

"Contohnya apabila kita bersenam, badan kita mengalami banyak ketegangan dan tekanan kerana ketika serat otot terurai, kita mengalami penyahhidratan dan sumber karbohidrat kita juga berkurangan.

"Pemakanan sukan bukan sahaja memberi kita tenaga ketika bersenam, malah membantu proses pemulihan supaya kita dapat menjalani aktiviti sukan dengan lebih baik," katanya selepas berkongsi berkenaan kepentingan pemakanan sukan dalam membantu perkembangan dan prestasi atlet.

Lebih 100 pelajar, atlet Universiti Teknologi Mara (UiTM), ahli Institut Sukan Negara dan Kelab Bola Sepak Selangor, pakar pemakanan/diet korporat dan ahli fakulti mengikuti sesi ini.

Menurutnya, perkara penting yang perlu diberikan perhatian adalah mengelakkan melakukan kesilapan dalam pengambilan makanan.

DR Dana berkongsi berkenaan pemakanan sukan dengan penuntut di Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi dan atlet UiTM.
DR Dana berkongsi berkenaan pemakanan sukan dengan penuntut di Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi dan atlet UiTM.

"Antara kesilapan yang paling kerap dalam pemakanan sukan termasuk menyingkirkan karbohidrat dengan hanya memakan protein dan tidak mengetahui masa untuk mengambil minuman berelektrolit berbanding air," katanya.

Dr Dana berkata, asid amino ialah blok binaan protein yang diperoleh daripada sumber seperti soya, produk tenusu dan daging.

"Terdapat asid amino penting yang tidak dihasilkan badan dan hanya boleh diperoleh menerusi makanan yang betul.

"Oleh yang demikian, anda hendaklah mendapatkan nasihat pemakanan sewajarnya mengenai diet mereka supaya prestasi dan kesihatan keseluruhan mereka tidak terjejas. Protein memainkan peranan penting dalam fungsi membina otot, menghilangkan berat badan dan dalam penuaan yang sihat," katanya.

Tambahnya, apabila membuat keputusan sama ada ingin makan protein haiwan atau protein tumbuhan, anda perlu memastikan bahawa mereka mendapatkan semua asid amino yang penting.

"Protein berasaskan tumbuhan kecuali protein soya tidak menyediakan asid amino yang secukupnya.

"Mereka yang mengamalkan diet berasaskan tumbuhan dinasihatkan mengambil kombinasi makanan yang merangkumi protein lengkap seperti bijiran dan kekacang," katanya.

Jelasnya, pengambilan makanan sukan mengambil kira jenis keupayaan fizikal yang diperlukan dan tempoh senaman.

"Sekiranya anda bersenam untuk satu tempoh yang lebih lama, anda memerlukan lebih banyak karbohidrat. Manakala bagi senaman daya ketahanan, anda memerlukan lebih karbohidrat disertai dengan protein.

"Ini kerana anda mempunyai simpanan karbohidrat dalam badan yang hanya bertahan selama 90 minit," katanya.

PEMAHAMAN mengenai keperluan untuk mencapai prestasi fizikal tertinggi adalah kunci kepada pemakanan yang sihat.
PEMAHAMAN mengenai keperluan untuk mencapai prestasi fizikal tertinggi adalah kunci kepada pemakanan yang sihat.

Dr Dana yang pernah bekerja dengan beberapa atlet sukan bertaraf dunia termasuk Cristiano Ronaldo berkata, pemakanan sukan bukan hanya terhad kepada atlet, malah orang awam juga sesuai menjadikannya sebagai gaya hidup dalam menjalani kehidupan harian.

"Setiap individu memerlukan protein dan karbohidrat untuk sebab yang sama.

"Oleh itu, jika anda menggerakkan badan, berpeluh dan menaikkan kadar degupan jantung, secara asasnya anda memberi tekanan pada badan pada kadar yang sama seperti atlet. Ini bermakna anda perlu mengamalkan pemakanan yang sama seperti atlet," katanya.

Beliau berharap atlet di Malaysia perlu melihat perkembangan pemakanan sukan sebagai satu keperluan bermula pada usia yang lebih muda.

"Salah satu perkara penting yang boleh dilakukan adalah mendidik belia mengenai kepentingan pemakanan sukan supaya ia menjadi satu tabiat yang dipupuk sepanjang hidup mereka," katanya.

Sementara itu, Dekan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi UiTM Shah Alam, Profesor Dr Mohad Anizu Mohd Nor berharap menerusi perkongsian Dr Dana ini, pihak fakulti serta semua peserta memberi kesedaran mengenai pentingnya pemakanan sukan untuk membantu perkembangan dan prestasi atlet.

"Penuntut di Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi, UiTM ada pemahaman mengenai pemakanan sukan, namun dengan pengetahuan, pengalaman dan ilmu yang dikongsi penceramah dari Herbalife Nutrition, saya positif mereka akan mendapat pemahaman lebih jelas dan mendalam," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 November 2022 @ 7:01 AM