Hafiz Ithnin


TABIAT menghisap ibu jari dalam kalangan kanak-kanak adalah perkara yang biasa kita lihat terutama ketika usia masih bayi. Malah, ada juga si kecil yang meneruskan tabiat menghisap jari sehingga masuk alam sekolah.

Pakar Pergigian Pediatrik, Jabatan Pergigian Pediatrik Dan Ortodontik, Fakulti Pergigian Universiti Malaya, Dr Sharifah Wade'ah Wafa Syed Saadun Tarek Wafa berkata, menghisap ibu jari adalah tabiat semula jadi dalam kalangan bayi. Jelasnya, tabiat itu bermula dari bayi di dalam rahim ibu sehingga bayi berumur dua tahun.

"Bayi mempunyai dua jenis hisapan iaitu nutritive sucking (NS) dan non-nutritive sucking (NNS). Nutritive sucking (NS) apabila kanak-kanak menghisap susu ibu atau botol. Manakala NNS adalah tabiat seperti menghisap puting dan jari.

"Terdapat beberapa kelebihan NNS dalam kalangan bayi iaitu dapat menenangkan bayi, membantu bayi tidur dan mengurangkan risiko sindrom kematian bayi mengejut (SIDS)," katanya.

Pakar itu berkata, walaupun terdapat banyak kelebihan NNS terutama di peringkat awal perkembangan bayi, namun jika tabiat ini dibiarkan berpanjangan ia boleh menyebabkan perubahan pada perkembangan gigi dan rahang.

"Apabila tabiat ini berterusan lebih dari usia dua tahun, ia boleh menyebabkan perubahan pada gigi susu atau gigi kekal yang boleh menggangu fungsi, perkembangan rahang dan estetik wajah.

"Kesan buruk akibat tabiat menghisap jari bergantung kepada kekerapan dan tempoh masa, magnitud serta kekuatan daya hisapan," katanya.

MENGHISAP jari dalam kalangan bayi adalah tabiat semula jadi.
MENGHISAP jari dalam kalangan bayi adalah tabiat semula jadi.

Jelasnya, tabiat menghisap jari didapati lebih lama dan lebih susah untuk berhenti berbanding tabiat menghisap puting. Ia kerana puting boleh dipisahkan dari kanak-kanak. Rata-rata kanak-kanak mempunyai tabiat ini sehingga usia empat tahun.

"Antara kesan buruk tabiat kronik ini adalah gigi jongang, masalah gigitan, di mana gigi kacip atas dan bawah tidak rapat (terbuka) dan gigitan gigi belakang bersilang.

"Penggunaan puting ortodontik dikatakan dapat mengurangkan kesan sampingan berbanding puting bayi biasa," katanya.

Katanya, masalah maloklusi gigi dan rahang akan pulih secara semula jadi tanpa memerlukan rawatan sekiranya tabiat NNS ini diberhentikan lebih awal.

"Ia boleh mengambil masa selama dua hingga lima tahun untuk susunan gigi dan rahang kembali normal untuk kanak-kanak berumur empat hingga lima tahun ke bawah.

"Sekiranya ia berlarutan sehingga usia enam tahun ke atas, maka masalah perubahan gigi dan rahang perlu dirawat dengan bantuan alat ortodontik," katanya.

‘ORAL appliance habit breaker’ untuk memberhentikan tabiat menggigit jari.
‘ORAL appliance habit breaker’ untuk memberhentikan tabiat menggigit jari.

‘OPEN bite’ gigitan gigi atas dan bawah tidak rapat disebabkan tabiat kronik menghisap jari.
‘OPEN bite’ gigitan gigi atas dan bawah tidak rapat disebabkan tabiat kronik menghisap jari.

Dr Sharifah Wade'ah berkata, ada beberapa cara yang boleh dicuba ibu bapa untuk membantu anak-anak mereka berhenti untuk menghisap jari atau puting bayi.

"Antaranya, berikan motivasi, galakan dan pujian kepada kanak-kanak apabila mereka dalam proses untuk berhenti. Berikan ganjaran sekiranya mereka berhenti menghisap jari atau puting.

"Balut jari atau memakai sarung tangan terutama ketika waktu tidur atau penggunaan ubat sapuan pahit yang boleh disapu pada jari bagi menghalang kanak-kanak menghisap jari," katanya.

Katanya, sekiranya cara-cara itu tidak berjaya, maka kanak-kanak ini perlu dibawa berjumpa doktor gigi. Terutama sekali apabila gigi kacip kekal sudah tumbuh iaitu sekitar usia tujuh hingga lapan tahun.

"Doktor gigi akan mencadangkan penggunaan alat (oral appliance) yang dipasang pada gigi. Alat ini mempunyai unjuran dawai yang menghalang jari diletakkan dengan selesa dalam mulut.

"Walaupun tabiat menghisap jari adalah tabiat semula jadi, namun apabila dibiarkan berlarutan akan mendatangkan kesan buruk pada perkembangan bayi. Ibu bapa dan doktor gigi perlu cakna dalam menangani tabiat ini lebih awal," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 January 2022 @ 7:00 AM