TABIAT si kecil gemar menghisap jari perlu dihentikan sebelum usia 7 tahun.
TABIAT si kecil gemar menghisap jari perlu dihentikan sebelum usia 7 tahun.
Hafiz Ithnin

IBU bapa mana yang tidak gusar apabila melihat susunan gigi anak mereka tidak begitu 'cantik' terutama jika si kecil melemparkan senyuman.

Malah, usikan berbentuk kecam badan atau lebih popular dengan istilah 'body shaming' sebenarnya boleh memberi tekanan psikologi kepada si kecil.

Mengenai gigi si kecil yang tidak teratur, Pakar Perunding Ortodontik, Jabatan Pergigian Pediatrik dan Ortodontik, Fakulti Pergigian, Universiti Malaya, Profesor Madya Dr Wan Nurazreena Wan Hassan berkata, kanak-kanak mula mengalami transisi perubahan gigi susu kepada gigi dewasa antara usia 6 hingga 12 tahun.

"Lazimnya, gigi dewasa geraham pertama akan mula tumbuh pada bahagian belakang. Kemudian gigi susu yang bermula dari bahagian hadapan akan mula goyang dan digantikan dengan gigi dewasa.

"Dalam tempoh ini, ibu bapa akan berusaha untuk berjumpa doktor gigi bagi merawat kedudukan gigi hadapan anak mereka yang tumbuh secara tidak tersusun dan jarang," katanya.

Pakar itu menambah, bukan semua kedudukan gigi yang tidak tersusun perlu dirawat. Keadaan seperti itu adalah norma fisiologi dikaitkan dengan 'itik hodoh' yang berubah menjadi angsa yang cantik.

"Antara usia 10 dan 11 tahun, gigi taring atas akan tumbuh dan menolak ruang antara gigi hadapan sehingga tersusun cantik tanpa melalui sebarang rawatan ortodontik.

IBU bapa perlu membawa si kecil berjumpa doktor segera jika mendapati berlaku masalah gigi pada kanak-kanak.
IBU bapa perlu membawa si kecil berjumpa doktor segera jika mendapati berlaku masalah gigi pada kanak-kanak.

"Susunan gigi pada kanak-kanak dipengaruhi pelbagai faktor dan pencegahannya boleh mengurangkan risiko masalah susunan kegigian pada usia dewasa kelak," katanya.

Dr Wan Nurazreena berkata, masalah susunan gigi boleh dirawat melalui rawatan ortodontik menggunakan pendakap gigi.

"Tetapi rawatan pintasan sebelum semua gigi dewasa tumbuh boleh dilakukan bagi mengurangkan risiko kerumitan rawatan ortodontik kelak.

"Kanak-kanak boleh mendapat faedah daripada rawatan pintasan ortodontik atau rawatan awal bergantung kepada kes kedudukan kegigian mereka," katanya.

Katanya, justeru, berikut adalah beberapa susunan kegigian yang boleh dirawat awal:

1. Gigi jongang (overjet)

Gigi kacip bawah biasanya terletak 2-4 milimeter secara melintang di belakang gigi kacip atas. Gigi menjadi jongang apabila gigi kacip bawah terletak jauh lebih belakang atau gigi kacip atas terletak jauh lebih hadapan.

Sementara gigi jongang pula sering dikaitkan dengan genetik rahang bawah yang lebih kecil berbanding rahang atas yang tidak harmoni.

Tabiat menghisap jari sejak dari bayi yang tidak dihentikan sehingga kanak-kanak juga punca gigi menjadi jongang.

Tekanan ketika menghisap jari menyebabkan gigi kacip atas akan lebih ke hadapan manakala gigi kacip bawah tertolak ke belakang. Gigi hadapan atas dan bawah juga kelihatan seperti terbuka dan tidak bertemu di antara satu sama lain (atau dikenali 'anterior open bite') kesan daripada tabiat itu.

GIGI jongang.
GIGI jongang.

Kedudukan gigi yang jongang secara tidak langsung boleh mengurangkan keyakinan diri kepada kanak-kanak kerana mereka sering menjadi bahan ejekan rakan sebaya.

Di samping itu, posisi gigi atas yang terkehadapan boleh meningkatkan risiko kecederaan kepada gigi berkenaan apabila kanak-kanak tersebut terjatuh semasa bermain.

2. Gigitan Silang (Crossbite)

Gigitan silang hadapan berlaku apabila gigi kacip bawah terletak di hadapan gigi kacip atas. Keadaan ini sering dikaitkan dengan ketidakharmonian di antara rahang (saiz rahang bawah yang lebih besar berbanding saiz rahang atas).

Ketidakharmonian rahang yang tidak terlalu ketara biasanya tidak memerlukan rawatan pembedahan ke atas rahang.

Bagi keadaan sebegini, pengunyahan makanan akan terganggu apabila gigi kacip bawah berlaga dengan gigi kacip atas.

Pesakit akan cuba untuk beradaptasi dengan menggerakkan rahang bawah ke hadapan sedikit untuk mendapatkan kedudukan gigitan yang selesa.

Kekerapan gigi perlakuan adaptasi ini akan menyebabkan permukaan gigi pecah akibat trauma di antara gigi atas dan bawah.

Gigi kacip bawah juga akan tersasar ke hadapan disebabkan daya tolakan yang besar dari gigi kacip atas. Gusi hadapan yang mengelilingi gigi itu juga akan merosot dan seterusnya mendedahkan permukaan akar gigi kacip bawah.

GIGI si kecil yang teratur memberi kesan baik untuk kesihatan diri.
GIGI si kecil yang teratur memberi kesan baik untuk kesihatan diri.

3. Gigi terbenam (Impacted tooth)

Gigi dewasa lazimnya tumbuh mengikut aliran usia yang tertentu. Gigi terbenam yang lewat tumbuh mungkin sebenarnya terhalang untuk keluar dan keadaan ini digelar gigi 'impacted'.

Mana-mana gigi boleh terhalang tetapi gigi kacip atas dan gigi taring atas sering dikaitkan dengan masalah itu.

Gigi kacip atas yang sepatutnya tumbuh dalam usia 7 tahun mungkin tidak tumbuh kerana sejarah kecederaan kepada gigi kacip susu semasa kecil.

Kecederaan kepada gigi kacip susu mungkin menyesarkan kedudukan gigi kacip kekal sehingga ia tidak tumbuh pada masa yang sepatutnya.

Gigi yang masih berada di dalam tulang rahang dan tidak tumbuh boleh meningkatkan risiko pembentukan sista (cyst).

Sista itu lama-kelamaan boleh menyesarkan gigi lain sehingga menyebabkan perubahan kedudukan gigi lain. Sista juga boleh mengakibatkan penyerapan akar gigi lain sehingga menjadi pendek.

Oleh itu, rawatan perlu diberikan supaya risiko komplikasi sista itu dapat dielakkan.

4. Gigi berlapis (crowding)

Gigi berlapis adalah keadaan apabila gigi dewasa tidak dapat tumbuh di tempat yang sepatutnya kerana ruang lengkungan pergigian yang sempit.

Ia mungkin kerana genetik akibat ketidakharmonian jumlah saiz gigi yang lebih besar daripada saiz lengkungan pergigian.

Kehilangan gigi susu terlalu awal akibat karies atau kecederaan sering menjadi punca gigi berlapis kerana gigi bersebelahan bergerak ke ruangan gigi susu dan sudah mengambil ruangan gigi dewasa berkenaan.

Gigi berlapis kerap mendorong ibu bapa untuk mendapatkan rawatan ortodontik supaya gigi anak-anak mereka kelihatan cantik.

Kajian tempatan mendapati 96 peratus remaja sekolah merasakan susunan kegigian mereka mempengaruhi kesejahteraan psikososial dan keyakinan diri mereka.

Di samping itu, gigi yang berlapis menyukarkan kanak-kanak untuk membersihkan gigi, secara tidak langsung menyumbang kepada masalah penyakit gusi dan gigi.

Pakar itu berkata, ibu bapa boleh berusaha untuk menghentikan tabiat menghisap jari sebelum usia 7 tahun dengan memberi ganjaran kepada anak mereka sebagai penghargaan menghentikan tabiat itu.

"Mereka juga boleh menutup jari dengan plaster atau sarung tangan sebagai peringatan kepada kanak-kanak itu untuk tidak menghisap jari.

"Sekiranya usaha itu masih tidak berjaya, ibu bapa boleh mendapatkan rawatan daripada pakar pergigian dalam bidang ortodontik," katanya.

Jelasnya, rawatan gigi jongang dan gigitan silang boleh dirawat menggunakan pendakap gigi yang dilekatkan pada permukaan gigi atau yang boleh ditanggalkan pesakit, bergantung kepada keperluan kes.

"Gigi terbenam mungkin memerlukan rawatan sampingan surgeri untuk mendedahkan gigi itu untuk ditarik keluar secara rawatan ortodontik.

"Manakala ruang gigi susu yang hilang terlalu awal boleh dikekalkan menggunakan pendakap gigi supaya gigi bersebelahan tidak mengambil ruang tersebut dan gigi dewasa dapat tumbuh di kedudukan sepatutnya," katanya.

Katanya, ibu bapa dinasihatkan untuk mendapat perundingan rawatan bersama doktor gigi dan pakar ortodontik sekiranya musykil akan perkembangan pertumbuhan gigi dewasa anak-anak mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Mei 2021 @ 7:00 AM