GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
BERNAMA

Melaka: Seramai 2,157 individu berusia 40 tahun menjalani saringan penanda tumor di Melaka di bawah Program MBio Sihat setakat 8 Julai lalu, menurut EXCO Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Fairul Nizam Roslan.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, 52 lelaki dan 12 wanita dikesan menghidap barah kolon, 51 lelaki lagi mengalami barah prostat manakala 48 wanita mengalami barah ovari.

"Tujuan 'tumor marker' (penanda tumor) adalah untuk kesedaran peringkat awal serta mengenal pasti tanda-tanda awal yang perlu disusuli dengan beberapa ujian tambahan untuk kepastian (mengalami kanser)," katanya.

Beliau menjawab soalan Dr Mohd Yadzil Yaakub (PN-Bemban) yang ingin tahu status program MBio Sihat pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) Melaka di sini, hari ini.

Sementara itu, ketika ditemui di luar dewan, Fairul Nizam berkata, kerajaan negeri memperuntukkan RM540,000 bagi program saringan berkenaan pada tahun ini.

"Pada awalnya, program ini disasarkan kepada 5,400 penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Melaka berumur 40 tahun ke atas, namun kerana kurang sambutan daripada golongan itu, bermula Mei lalu, kita buka kepada semua penduduk di negeri ini yang berusia 40 tahun ke atas juga.

"Melalui program ini, peserta akan menjalani dua saringan barah secara percuma berbanding saringan di fasiliti kesihatan yang boleh mencecah lebih RM100 bagi satu saringan," katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri menerusi Perbadanan Bioteknologi Melaka berhasrat untuk memperluas saringan kepada barah hati dan payudara pada tahun depan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Ogos 2023 @ 1:11 PM