KOS sara hidup turut mempengaruhi keputusan untuk tidak berkahwin.
KOS sara hidup turut mempengaruhi keputusan untuk tidak berkahwin.
Muhamaad Razis Ismail


PENINGKATAN kos sara hidup antara topik hangat yang diperkatakan kerana bukan sahaja di Malaysia, malah seluruh dunia turut mengalami kesannya.

Situasi ini memberi impak secara langsung dan tidak langsung dalam kehidupan masyarakat antaranya dalam membuat keputusan mendirikan rumah tangga atau meneruskan hidup sebagai bujang.

Pensyarah Pusat Kajian Media dan Komunikasi, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Profesor Madya Dr Jamaluddin Aziz berkata, kos sara hidup akan memberi kesan dari aspek membuat keputusan berkaitan perkahwinan dan pembinaan keluarga.

"Secara logiknya, salah satu sebab wanita lewat berkahwin adalah kerana pendidikan yang lebih tinggi dan penyertaan mereka dalam bidang ekonomi.

"Namun, pendidikan yang tinggi dan penyertaan dalam bidang ekonomi masih tidak dapat meringankan beban atau masalah seorang wanita," katanya.

Menurutnya, selain itu, lelaki yang tidak begitu stabil dalam aspek ekonomi juga tidak mahu berkahwin awal.

"Apabila mereka sudah agak stabil, lelaki memikirkan kesuburan pasangan dengan tidak memilih wanita yang tidak terlalu berusia.

BIMBANG terbeban dengan tanggungjawab lebih besar.
BIMBANG terbeban dengan tanggungjawab lebih besar.

"Ini menyukarkan wanita berusia untuk mencari pasangan yang sebanding dengan mereka. Ingat secara biologinya, wanita dan lelaki adalah agak berbeza dan wanita ada 'biological clock" berkaitan dengan kadar kesuburan mereka," katanya.

Mengulas lanjut, kos sara hidup yang tinggi boleh membuatkan ada dalam kalangan wanita dan lelaki menunda perkahwinan sehingga diri mereka dan pasangan lebih stabil secara ekonominya.

"Jika mereka berkahwin, mereka juga perlu memastikan jumlah keluarga tidak lagi besar seperti zaman dulu memandangkan kadar perbelanjaan menjaga sesebuah keluarga adalah semakin tinggi.

"Rumah mampu milik biasanya hanya mempunyai tiga bilik tidur, dan ini secara langsung membentuk populasi isi rumah," katanya.

Beliau berkata, terdapat kajian yang menunjukkan bahawa faktor ekonomi juga menyumbang kepada kadar perceraian.

"Jadi, bagi mereka yang belum berkahwin, mereka mungkin berfikir apa guna berkahwin jika ianya akan menjurus kepada penceraian.

"Data dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan trend turun naik dalam aspek penceraian. Dari tahun 2019 hingga 2020, wanita bercerai pada median usia 34 tahun dan lelaki 37 tahun.

"Malah data yang sama menunjukkan median perkahwinan wanita adalah pada usia 26 tahun, dan lelaki 28 tahun. Jadi usia perkahwinan hanya dalam 10 tahun," katanya.

PROF Madya Dr Jamaluddin Aziz
PROF Madya Dr Jamaluddin Aziz

Jamaluddin berkata, situasi begini membuatkan ada wanita yang lebih selesa tidak berkahwin kerana tidak sanggup memikirkan masalah ekonomi keluarga.

"Ada juga yang risau jika menjadi ibu tunggal hanya selepas 10 tahun berkahwin dan banyak bebanan ekonomi mereka perlu galas sebagai ibu tunggal," katanya.

Bagaimanapun, beliau menegaskan dalam hal ini, semua pihak perlu menghormati keputusan setiap ahli masyarakat apabila ia berkait dengan kegembiraan seseorang individu, termasuk dalam keputusan sama ada ingin berkahwin lambat atau tidak kahwin.

"Kita tidak tahu apa yang seseorang itu lalui dalam kehidupan mereka dan kenapa mereka membuat keputusan sedemikian," katanya.

Sementara itu, Pakar Motivasi Kepimpinan Diri, Keluarga dan Organisasi, Dr Azuraida Shahadan turut bersependapat bahawa peningkatan kos sara hidup secara tidak langsung boleh memberi kesan terhadap keputusan untuk mendirikan rumah tangga.

WANITA lebih selesa tidak berkahwin kerana tidak sanggup memikirkan masalah ekonomi keluarga.
WANITA lebih selesa tidak berkahwin kerana tidak sanggup memikirkan masalah ekonomi keluarga.

"Individu yang masih bujang mempunyai pemikiran bahawa apabila berkahwin tanggungjawab dan beban akan lebih besar dalam keadaan kos sara hidup yang meningkat sekali gus akan mempengaruhi keputusan untuk berkahwin atau sebaliknya," katanya.

Katanya, kebimbangan untuk mendirikan rumah tangga berikutan kos sara hidup ini boleh memberi pengaruh yang besar dalam kehidupan.

"Justeru itu, saya menyarankan supaya setiap individu melatih diri untuk sentiasa berfikiran positif dalam berdepan segala perkara.

"Jangan takut untuk mengambil keputusan keluar daripada zon selesa.

Kita mampu mampu mengubah hidup apabila kita mampu menukar pemikiran sekali gus menghilangkan rasa bimbang dan keraguan dalam diri," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Julai 2022 @ 7:00 AM